Tuesday, July 31, 2012

Tidak banyak masa yang tinggal untuk Perdana Menteri Najib Razak

Tidak banyak masa yang tinggal untuk Perdana Menteri Najib Razak.  Ramai yang berkata, seandainya pilihan raya umum ke-13 tidak diadakan pada September tahun ini, maka ia kemungkinan besar akan jatuh pada awal tahun depan. Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU) telah membuat satu analisa berdasarkan tarikh pembubaran parlimen, hari pencalonan dan pengundian untuk 12 PRU dari tahun 1959 hingga 2008, sejak kemerdekaan.  Analisa ini mendapati, daripada 12 kali pembubaran parlimen, enam kali berlaku pada awal tahun, iaitu Februari, Mac atau April; empat kali pada pertengahan tahun, iaitu Jun atau Julai, dan dua kali pada akhir tahun, iaitu Oktober atau November. Beberapa bulan lalu ketika Najib mengumumkan pembentangan Belanjawan 2013 pada 28 September, ramai mula meramalkan tarikh PRU 13 berkisarkan tarikh ini.  Padahal, tarikh pembentangan belanjawan telah ditetapkan sebelum bermulanya Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen ke-12.  Ketika Abdullah Ahmad Badawi menyandang jawatan Menteri Kewangan, tarikh pembentangan belanjawan juga diawalkan dari Oktober (secara tradisional) kepada 29 Ogos, disebabkan bulan puasa dan faktor teknikal yang lain.Untuk meramalkan tarikh pembubaran parlimen dari sudut teknikal, selain mengambil kira tempoh dari hari penamaan calon hingga pengundian, iaitu tempoh kempen, kita juga perlu mengambil kira bilangan hari dari pembubaran parlimen hinggalah hari pencalonan.  Dalam tempoh ini, aktiviti rasmi yang paling mustahak adalah pengumuman pembubaran parlimen selepas PM menghadap DYMM Yang Dipertuan Agong, dan pengumuman tarikh hari pencalonan dan pengundian oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).  Secara ringkas, ia diperlihatkan dalam tiga pola untuk 12 PRU yang telah diadakan.Yang pertama, dari PRU 1959 hingga 1969.  Dalam tiga PRU yang diadakan ini, dari hari pembubaran parlimen sehingga pencalonan, purata tempohnya adalah 19 hari.  Tempoh kempen adalah sama, iaitu 35 hari.  Oleh itu, jumlahnya adalah 54 hari.  Yang kedua, dari PRU 1974 hingga 1995.  Dalam enam PRU yang diadakan, dari hari pembubaran parlimen sehingga hari pencalonan, puratanya adalah 8 hari, dengan tempoh kempen secara puratanya 13 hari.  Oleh itu, jumlahnya adalah 21 hari.  Ketiga, dari PRU 1999 hingga 2008.  Dalam tiga PRU yang diadakan, dari hari pembubaran parlimen sehingga hari pencalonan, puratanya adalah 10 hari.  Tempoh kempen hampir sama, dengan purata 10 hari.  Oleh itu, jumlahnya adalah 20 hari.Darurat diisytiharkan selepas tragedi 13 Mei 1969, dan parlimen kembali beroperasi hanya pada tahun 1971.  Namun, tempoh kempen sebanyak 35 hari sebelum tragedi 13 Mei telah dikurangkan secara mendadak kepada 16 hari dalam PRU 1974, atau secara puratanya 13 hari untuk enam PRU selanjutnya.  Bukan itu sahaja, mungkin apa yang diabaikan, tempoh antara pembubaran parlimen dan pencalonan juga berkurang dari purata 19 hari kepada 8 hari.Dengan kata lain, dari pembubaran parlimen hingga hari pengundian, tempohnya telah berkurang dari 54 hari kepada 21 hari, iaitu dikurangkan 33 hari - maknanya satu bulan!Hari ini, apabila kami menuntut tempoh kempen yang lebih panjang, dan tidak membincangkan tempoh dari pembubaran parlimen hingga hari pencalonan - maka regim Najib dan SPR yang licik dalam permainan politiknya, boleh memanjangkan tempoh kempen kepada 14 hari, pada masa yang sama, mengurangkan tempoh dari hari pembubaran parlimen ke hari pencalonan kepada 8 hari.  Maka, tempoh dari pembubaran parlimen ke pengundian hanya sejumlah 22 hari, sekadar dua hari lebih daripada 20 hari dalam tiga PRU yang terdekat.Atau, mereka memanjangkan tempoh kempen kepada 17 hari (tempoh kempen yang terpanjang selepas tragedi 13 Mei 1969, iaitu PRU tahun 1978), dan kemudian memendekkan tempoh dari tarikh pembubaran parlimen hingga hari pencalonan kepada 5 hari (tempoh terpendek dari hari pembubaran parlimen ke pencalonan selepas tragedi 13 Mei 1969, iaitu PRU 1986), jadi tempoh antara pembubaran parlimen hingga hari pengundian tetap sama, iaitu 22 hari!Jikalau PRU jatuh pada September - kita andaikan 16 September adalah hari pengundian (hanya ramalan), dan andaikan 22 hari antara pembubaran parlimen hingga hari pengundian, maka parlimen perlu dibubarkan paling lewat pada 25 Ogos, iaitu beberapa hari selepas Hari Raya Puasa.Jadi, tindakan regim Najib menjadikan slogan kempen Barisan Nasional "1Malaysia Janji Ditepati" sebagai tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia jelas telah hijack sambutan hari kemerdekaan.  Najib cuba wujudkan suasana feel good dengan gelombang sambutan kemerdekaan.  Ia bagai bayang dalam air, bagai mimpi dalam khayalan.  Padahalnya, umpama program transformasi Najib, tidak memiliki sebarang makna yang konkrit.Jadi, seandainya parlimen tidak dibubarkan kelak, maka saya akan menulis lagi untuk mengulas mengapa transformasi kerajaan Najib juga bagai bayang dalam air, tidak membantu untuk kemajuan negara demokrasi. *Ooi Heng ialah Pengarah badan pemikir Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU) dan kolumnis MerdekaReviewbahasa Melayu dan bahasa Cina. Diterjemah dan disunting dari teks asal yang disiarkan pada 25 Julai 2012. Layari http://pkrtgkarang.blogspot.com/

Monday, July 30, 2012

REFORMASI POLITIK SABAH

KENYATAAN MEDIA  |  30 JULAI 2012  KEADILAN melihat perkembangan politik Negeri Sabah sebagai kejayaan agenda reformasi yang disemai lebih 10 tahun yang lalu dan kini menyaksikan hasilnya dengan kebangkitan rakyat Sabah yang berani meruntuhkan tembok ketakutan dan kezaliman; lalu menuntut reformasi yang tulen. Dua pengumuman penting di Tuaran dan di Beaufort pastinya mengubah landskap politik Sabah dan menzahirkan iltizam politik rakyat Sabah untuk mencetus serta melaksanakan agenda perubahan.  KEADILAN mengalu - alukan pengumuman Datuk Seri Panglima Haji Lajim Haji Ukin dan Datuk Seri Panglima Wilfred Mojilip Bumburing yang meletakkan semua jawatan dari parti masing-masing; UMNO dan UPKO serta kesediaan mereka untuk bersama Pakatan Rakyat dalam usaha melakukan perubahan dalam sistem kenegaraan. Kita juga menyambut baik iltizam mereka untuk menjana kekuatan rakyat bagi melakukan perubahan di Negeri Sabah. Makanya kerana komitmen yang jelas di kalangan pimpinan Negeri Sabah yang berani mengambil risiko; KEADILAN tidak teragak-agak untuk bersama-sama mereka demi rakyat Sabah. Kerjasama yang disepakati bersama Pakatan Rakyat merupakan titik permulaan kepada perubahan politik Malaysia dalam Pilihan Raya Umum ke 13. Slogan 'Ini kali-lah' menandakan angin perubahan telah sampai ke bumi Sabah. Sudah tiba masanya untuk rakyat Sabah sendiri menentukan masa depan Negeri Sabah serta menikmati hasil kekayaan Negeri yang selama ini diagihkan secara tidak adil oleh pentadbiran UMNO - Barisan Nasional (BN). Rakyat Sabah juga perlu menolak UMNO - BN yang mengkhianati semangat pembentukan Malaysia. Dua pengumuman penting yang bersejarah itu menjadi bukti betapa rakyat Sabah sudah hilang keyakinan kepada kepimpinan Dato' Seri Najib Tun Razak dan BN. Tambah pula, pentadbiran Dato' Seri Najib hanya sekadar menabur janji dan sepanjang beliau menjadi Perdana Menteri, ianya ditandai kegagalan untuk menepati janji. Tekad rakyat Sabah untuk bersama Pakatan Rakyat pada hari ini adalah berpaksikan kepada keyakinan mereka terhadap agenda Pakatan Rakyat untuk melaksanakan perubahan. Mereka yakin dengan dasar - dasar Pakatan Rakyat yang terkandung dalam Buku Jingga dan perlaksanaannya akan menepati dan memenuhi hasrat dan cita - cita murni rakyat Malaysia yang mahukan urus tadbir yang baik serta pengagihan ekonomi yang adil kepada semua rakyat.  KEADILAN turut mengalu - alukan penubuhan Pakatan Perubahan Sabah (PPS) dan Angkatan Perubahan Sabah (APS) serta kesediaannya bersatu di bawah payung Pakatan Rakyat untuk menjana arus perubahan dalam Pilihan Raya Umum ke 13. Ini menandakan keyakinan rakyat Sabah kepada Dato' Seri Anwar Ibrahim sebagai peneraju utama dalam Pakatan Rakyat yang insha Allah akan dinobatkan sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ke 7. Semoga kebangkitan rakyat Sabah pada hari ini akan menghasilkan kejayaan dengan tertubuhnya Kerajaan Rakyat Negeri Sabah dalam Pilihan Raya Umum ke 13.   Salam reformasi Mohamed Azmin AliTimbalan Presiden Layari http://pkrtgkarang.blogspot.com/

Sunday, July 29, 2012

Ucapan Yahya Sahri dalam program Penyampaian Sumbangan Anak Yatim, Fakir Miskin dan Ibu Tunggal Kampung Bukit Belimbing Tanjong Karang, 28 Julai 2012 jam 10.30 malam.

Bismillahirohmanirrohim...Alhamdullilah panjatkan penuh kesyukuran hadrat Allah SWT dapat kita bertemu di dalam rumah Allah ini. Kita bersyukur kerana Allah pilih kita semua daripada ribuan orang untuk dapat menjadi tetamu rumah Allah. Tentunya dapat solat Isya, Solat Sunat Hajat, Solat Sunat Terawikh serta mendengar Tazkirah merupakan satu tuah kepada kita kerana setiap ibadah Allah akan gandakan dengan puluhan serta ribuan kali ganda dalam bulan Ramadhan yang mulia ini. 

Saya mengucapakan Tahniah kepada Tuan Nazir Masjid  serta AJK , Tuan Imam , Ketua Kampung serta AJK JKKK Kampung Bukit Belimbing yang dapat mengatur program menyemarkan ibadat dalam bulan Ramadhan ini. Saya juga rakamkan ucapan tahniah di atas kesungguhkan semua AJK Masjid dan JKKK Kampung Bukit Belimbing ini untuk mengumpulkan dana untuk disumbangkan kepada Anak-anak Yatim, Keluarga Fakir dan Miskin serta Ibu-Ibu Tunggal. Kepada para penerima sumbangan kena bersyukur kehadrat Allah kerana kemulian Ramadhan ini menjadikan hati-hati manusia menjadi lembut dan mudah untuk membuat pelbagai kebajikan terutamanya menghulurkan sumbangan kewangan, saya rakamkan jutaan terima kasih kepada para penyumbang muga Allah SWT memberikan rahmat serta keberkatan kepada semua.

Ramadhan merupakan Madrasah pendidikan jiwa , puasa melembutkan hati-hati dan jiwa manusia, puasa menyihatkan diri, puasa memberikan keinsafan kepada manusia bahawa ada ramai insan yang tidak dapat menikmati makanan kerana kedhaifan serta kemiskinannya. Perasan mereka yang tidak punya makanan serta kemewahan hidup dapat dirasai sedikit oleh mereka yang berpuasa. Kegirangan serta keseronokan berpuasa bila dapat berbuka juga menjadikan satu pelajaran bagaimana perasaan mereka yang kelaparan mendapat bantuan makanan dan minuman. 

Islam menganjurkan agar kita semua dapat menjadikan diri kita berdisiplin dengan menjadikan siang kita berpuasa tetapi kita berkerja untuk kehidupan dunia, malam kita bangun di tengah malam dianjurkan dua pertiga malam untuk bermunajat kepada Allah SWT. Kita tunaikan solat sunat taubat, solat sunat hajat, solat sunat tasbih juga solat tahajjud memohon doa. Saya mohon Pak Iman, Pak Nazir , AJK Masjid serta seluruhnya dalam doa saudara-saudara selitkan doa untuk mohon kesejahteraan para pemimpin peringkat kampung, daerah, negeri dan negara agar semua pemimpin dapat mengurus serta mentadbir dengan penuh amanah serta bertanggungjawab dan tidak mengamalkan rasuah.

Terima Kasih, Wassalam

Ucapan dalam program Penyampaian Sumbangan Anak Yatim, Fakir Miskin dan Ibu Tunggal Kampung Bukit Belimbing Tanjong Karang, 28 Julai 2012 jam 10.30 malam.

Layari http://pkrtgkarang.blogspot.com/

PROGRAM JOM SHOPPING BONUS SELANGORKU UNTUK ANAK-ANAK SIMANJA TAWAS DUN PERMATANG DAN DUN SG BURUNG TG KARANG

AsSalamualaikum wbkt, Selamat Berpuasa. 
Terima Kasih dan tahniah kepada Yayasan Waris Anak Selangor (YAWAS). Ibu-ibu bapa-bapa anak-anak Si Manja TAWAS seluruh tenaga urusetia TAWAS, Pusat Khidmat Masyarakat DUN Sg Burung dan Pusat Khidmat Rakyat DUN Permatang.

Alhamdullilah kita semua panjatkan penuh kesyukuran kehadrat Allah SWT yang memberikan kita kekuatan serta kesihatan serta rezeki untuk bertemu hari ini dalam program Jom Shopping Bonus SelangorKu buat kali pertama di Tg Karang selepas fasa pelancaran pada bulan Jun 2012 yang lepas. Hari ini seramai 240 anak-anak TAWAS yang telah berdaftar yang lahir pada bulan Mac hingga Julai 2008 mendapat giliran awal untuk menadapat hadiah berbelanja pada hari ini. Ibubapa boleh beli apa sahaja yang anak-anak hajati tetapi nilai belanjanya tidak boleh lebih daripada RM 100.00, sekiranya lebih saudara kena bayar sendiri. 

Program Jom Shopping BONUS SelangorKu ini adalah tambahan daripada program Skim Simpanan Pendidikan anak-anak TAWAS iaitu anak-anak yang lahir di Selangor pada Mac 2008 hingga kini boleh mendaftar dengan TAWAS melalui pelbagai saluran yang telah ditetapkan antaranya melalui Ketua-Ketua Kampung, Ahli-Ahli Majlis PBT, Pusat-Pusat Khidmat DUN dan Parlimen serta boleh terus ke pejabat Tawas juga boleh melalui online. Anak-anak yang telah berdaftar dalam Tawas ini akan menerima kad pendaftaran Tawas serta kad AM Bank atas nama anak dengan nilai dalam bank bermula daripada RM  100.00  duit ini tidak boleh dikeluarkan pada bila-bila masa pun sehinggalah anak ini mencapai usia 18 tahun barulah ianya boleh dicairkan dengan nilai RM 1500.00. Nilai RM 1500.00 tidak banyak tetapi Skim ini adalah satu suntikan kepada galakan untuk ibubapa menyimpan bagi masa depan anak-anak khusunya pendidikan.

Kita semua mesti bersyukur serta berdoa kepada Allah SWT agar terus mencurahkan rezeki kepada kita semua serta melengkapkan setiap diri pimpinan negeri serta pentadbiran kerajaan dengan amanah serta bertanggungjawab dan tidak rasuah. Semua boleh lihat bagaimana YAB Tan Sri Dato' Seri Abdul Khalid Ibrahim, Dato Menteri Besar Selangor serta semua Exco Kerajaan Negeri Selangor yang dapat mengurus serta mentadbir kewangan negeri dengan begitu baik sekali, buktinya perakuan daripada Ketua Audit Negara.

Saudara sekalian sekali saya mengucapkan Terima Kasih dan Tahniah kepada IbuBapa yang dapat bersama dalam Program Jom Shopping Bonus SelangorKu hari ini. 

Ucapan aluan kehadiran peserta program pada 28 Julai 2012, jam 10.30 pagi di Pasaraya Billion Tg Karang.

Layari http://pkrtgkarang.blogspot.com/

Ucapan Yahya Sahri Sempena Majlis Makan Malam Tokong Wan Fo Shi Pasir Penambang Tg Karang

Ucapan Yahya Sahri Ketua Cabang Tg Karang dalam Majlis Makan Malam Tokong Wan Fo Shi Pasir Penambang. 

Terima kasih kepada Pengerusi dan AJK Tokong Wan Fo Shi.
Saya mencari dalam Google melalui internet berkaitan dengan kisah sejarah asal usul kewujudan Tokong Wan Fo Shi ini. Maka saya temui ini dan saya serahkan kepada saudara sekelian untuk menilai apa yang telah saya perolehi samada tepat atau sebaliknya. Saya sebagai orang Islam yang mengamalkan Islam dalam kehidupan saya mesti mematuhi segala apa yang telah islam gariskan contohnya sekarang ini Umat Islam seluruh Dunia sedang berpuasa di dalam bulan Ramadhan. Saudara juga pastinya akan amalkan apa yang saudara percayai dan anuti.

Saudara saudara sekalian apa yang saya perolehi kisah Wan Fo Shi ini bermula ribuan tahun dahulu bermula dengan Dewa Se Pak Lo Han  yang berasal dari agama Buddha (Shi CIA Mo Ni) yang bertapak di Negara India ketika itu. Shi CIA Mo Ni menpunyai 10 orang anak murid atau pengikut agama Buddha. Selepas proses penyebaran agama Buddha masa yang berlalu,maka wujudnya Se Liew Lo Han yang bermaksud 16 Lo Han. Penyebaran Agama Buddha ke Negara China pada zaman Dinasti Tang, yang dibawa oleh Ta Mo yang berasal Dari Negara India. Pada zaman Dinasti Tang, Agama Buddha disebarkan dengan berleluasa adalah kerana lahirnya seorang Sami Buddha yang bernama Tang Sang Chang. Beliau telah diarahkan oleh Maharaja Tang untuk menjelajah ke barat iaitu Negara India untuk mendapatkan kitab ajaran agama Buddha, selepas berjaya mendapatkan kitab tersebut tersebarlah dengan luasnya ajaran Agama Buddha di Negara China, maka wujudnya Se Pak Lo Han yang bermaksud (Lo Han 18) di Negara China. 

Hari ini  menurut catitan di internet ini saudara sekalian  berterima kasih  kepada Tokong Wan Fo Shi Pasir Penambang,yang telah dibina pada tahun 1990 oleh 12 orang penganut , sehingga kini telah hampir 22 tahun. Menurut kajian ini tokong ini telah banyak berjasa kepada penduduk tempatan dan diseluruh negara , kerana berjaya menyelesaikan masalah penganut dan penduduk yang berkaitan dengan keluarga, kehidupan harian dan sebagainya. Tokong Wan Fo Shi, Pasir Penambang yang diketuai oleh Dewa Ta Mo, adalah untuk meneruskan kesinambungan semangat yang ditunjukan oleh Se Pak Lo Han yang mengajar manusia agar mematuhi landasan kehidupan yang baik antaranya: 

 1) Hati manusia yang bersih, tidak tamak, tidak melakukan kejahatan dan kemungkaran sesama manusia di dunia. 
 2) Tidak ada kesiksaan hidup di dunia dan di akhirat, sekiranya manusia melakukan perkara yang baik dan tidak adanya kitaran hidup dan mati. 
 3) Pembahagian sumber kekayaan dan makanan atau hasil didunia yang adil kepada semua manusia (Tidak tamak) 

Menurut catitan ini lagi Se Pak Lo Han juga mempunyai kuasa sakti yang membawa kebaikan kepada manusia jauhi dari ganguuan syaitan dan membantu manusia jauhi dari kesiksaan dan kemungkaran, serta mendapat cahaya hidup yang sempurna di dunia dan jauhi daripada neraka. Penganut Dewa ini banyak terdapat di Negara Thailand, Sri Langka ,Taiwan  dan China. 

Maka dengan semangat kebaikan untuk kehuidupan manusia , Se Pak Lo Han yang dibawa oleh Tokong Wan Fo Shi Pasir Penambang sudah tentu mempunyai hubungkait atau agenda yang akan dibawa oleh Pakatan Rakyat yaang mengutarakan Buku Jingga dalam Agenda perubahan kepada pemerintahan negara yang akan mengamalkan ketelusan dalam pemerintahan. Pengagihan kekayaan ekonomi yang merakyat dan bukan diagih kepada beberapa kelompok elit dan keluarga sang penguasa. Terjemahan Buku Jingga sedang ditunjukan dalam pemerintahan negeri-negeri yang dikuasai oleh Pakatan Rakyat Kelantan, Kedah, Pulau Pinang dan Selangor. Merakyatkan Ekonomi serta menjadikan kebajikan rakyat sebagai agenda utama.

Tuan Puan Saudara sekalian, sekali lagi saya bagi mewakili seluruh pimpianan Pakatan Rakyat Tg Karang serta Kerajaan Negeri Selangor mengucapkan Tahniah serta terima kasih atas kejayaan penganjuran majlis dan megharapkan saudara sekalian akan hidup bahagia dan sejahtera. Sieh-Sieh Ta Cia....


Majlis Makan Malam 28 Julai 2012, jam 8.00 malam Di Stadium Tertutup Kuala Selangor.


Layari http://pkrtgkarang.blogspot.com/

Monday, July 23, 2012

Ucapan DATO' MENTERI BESAR SELANGOR MAJLIS JAMUAN RAKYAT sempena ROGRAM KHAS TERIMA KASIH RAKYAT

Ucapan YAB TAN SRI DATO' SERI ABDUL KHALID BIN IBRAHIM DATO' MENTERI BESAR SELANGOR Pada MAJLIS JAMUAN RAKYAT sempena ROGRAM KHAS TERIMA KASIH RAKYAT DAERAH KUALA SELANGOR Tarikh 13 JULAI 2012 (JUMAAT) 23 SYAABAN 1433 Tempat DEWAN ORANG RAMAI SUNGAI BULOH JERAM Masa 9.00 MALAM Terima kasih kepada Saudara Pengacara Majlis. Assalamualaikum Warahmatullah Hiwabarakatuh, Selamat Sejahtera, dan Selamat Malam. >Yang Berhormat Dato’ Teng Chang Khim, Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor; >Yang Berhormat Dato’ Haji Mohommed Khusrin bin Haji Munawi, Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor; >Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor; >Yang Berhormat Dr. Dzulkefly Bin Ahmad Ahli Parlimen Kuala Selangor; >Yang Berhormat Ir. Muthiah A/L Maria Pillay Ahli Dewan Negeri Bukit Malawati; >Yang Dihormatkan Penggawa Permatang Paduka Maha Bijaya Dato' Mohamad Yaacob Bin Dato' Ismail Orang Besar Daerah Kuala Selangor; >Yang Berbahagia Pegawai Daerah Kuala selangor Dato’ Haji Mohd Misri bin Haji Idris; >Yang Berbahagia Puan Noraini binti Roslan, Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Selangor; >Yang Berusaha Ketua-Ketua Jabatan Peringkat Negeri dan Daerah; >Yang Berbahagia Ahli-Ahli Majlis, Dato’-Dato’, Datin Paduka-Datin Paduka, Datin-Datin; >Yang Berusaha Pegawai Penyelaras DUN Daerah Kuala Selangor, Ketua-Ketua Kampung, Ahli JKKK serta seluruh warga kerja dan penduduk setempat yang hadir dalam Perhimpunan pagi ini. (1) Syukur Alhamdulillah, kerana pada malam yang mulia ini, kita diizinkan lagi oleh Allah Subhanahuwataala untuk bertemu mesra dalam Majlis Jamuan Rakyat sempena Program Khas Terima Kasih Rakyat yang dimulakan pada siang hari tadi. Saya seterusnya mengucapkan Salam Mesra dan Selamat menjamu selera kepada semua yang hadir. (2) Program sebegini haruslah diperbanyak bagi mengerat hubungan antara kita dan mempermudah komunikasi agar sentiasa memahami antara satu sama lain. Pada malam ini, jika kita lihat betapa pentingnya perpaduan yang dibina antara kaum di negeri ini sejak sekian lama. Daripada 5.4 juta orang penduduk Selangor, kaum Melayu sekitar 50 peratus, kaum Cina sekitar 28 peratus, kaum India sekitar 16 peratus manakala kaum lain sekitar 6 peratus. (3) Perangkaan tahun 2010 menunjukkan bahawa penduduk Daerah Kuala Selangor berjumlah sekitar 210 ribu orang. Mukim Tanjong Karang berpenduduk paling ramai, iaitu kira-kira 50 ribu orang, kedua, Jeram, 47 ribu, dan ketiga, Besatari Jaya, kira-kira 28 ribu orang manakala Hulu Tinggi paling sedikit penduduk, iaitu kira-kira 700 orang. Ahli-Ahli Yang Berhormat, Dato’-Dato’, Datin Paduka-Datin Paduka, Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang Dihormati; (4) Perkara yang perlu diketahui oleh rakyat Daerah Kuala Selangor ini khususnya, adalah bahawa sejak empat tahun lebih ini Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat berusaha “bikin apa yang kita cakap” kepada rakyat, bukan sekadar “omong kosong atau janji kosong”. Tidak sesekali kami mengeluarkan kata-kata ugutan kepada rakyat supaya terus setia kepada parti dan pemimpin dalam usaha mengekalkan kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor! (5) Oleh itu, janganlah kita sesama rakyat negeri ini cuba memainkan isu perkauman, misalnya mempermain-mainkan isu agama atau menghina kepercayaan kaum lain kerana perbuatan sedemikian boleh memecahbelahkan perpaduan ini. Padahal Allah sudahpun mengingatkan kita sejak 1400 tahun lalu melalui firman-Nya dalam surah al-An’am, ayat 108, yang bermaksud; “Dan janganlah kamu cerca benda-benda yang mereka sembah selain Allah, kerana mereka kelak mencerca Allah secara melampau batas akibat mereka tiada pengetahuan...” (6) Sebenarnya, negeri kita ini boleh terus menjadi kuat dan rakyat sentiasa selamat apabila kita semua bersatu dan saling hormat sesama kita termasuk kepada raja negeri ini. Saya perlu tegaskan di sini, bahawa dasar Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat di Selangor sejak empat tahun lebih ini adalah untuk membantu rakyat dan menyelesaikan pelbagai masalah mereka tanpa memilih kaum tertentu atau agama tertentu, ataupun mengutamakan ahli-ahli atau para penyokong parti politik tertentu. (7) Oleh itu, saya bagi pihak Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat Selangor memang wajar dan patut mengucapkan terima kasih kepada rakyat Selangor khususnya penduduk Daerah Kuala Selangor kerana memberi kemenangan kepada calon-calon daripada PKR, DAP dan PAS hingga kita berjaya menubuhkan Kerajaan Negeri menjelang fajar subuh 9 Mac tahun 2008. Maka, pada hari ini, saya dan barisan pemimpin mendapat peluang dan ruang yang penting untuk memberitahu rakyat di Daerah Kuala Selangor ini tentang semua bentuk bantuan yang disediakan kerajaan bagi kesejahteraan rakyat terutama golongan berpendapatan kurang RM2000 sebulan. Para Hadirin yang Berbahagia; (8) Di sebelah siang tadi, antara atur cara dalam Program Khas Terima Kasih Rakyat, saya dan barisan pemimpin Kerajaan Negeri Selangor duduk semeja bersama rakyat untuk mendengar luahan, masalah, hasrat dan impian rakyat Daerah Kuala Selangor ini terhadap Kerajaan Negeri sekarang. Banyak maklum balas yang kita terima dan kita bersedia untuk melakukan tindakan yang cepat dan tepat bagi manfaat rakyat Selangor khususnya rakyat di Daerah Kuala Selangor ini. (9) Pada waktu tengah hari tadi, saya dan penduduk kampung Kampung Sungai Terap bersolat Jumaat di Masjid Al-Hidayah. Selepas solat, saya makan tengah bersama jemaah dengan juadah yang disediakan oleh orang kampung secara “rewang” yang juga disebut kenduri rakyat. Selepas makan, kami mengadakan sesi penerangan ‘Geran Selangorku’ supaya rakyat mendapat maklumat lengkap mengenai tumpuan Kerajaan Negeri terhadap rancangan dan tindakan untuk membantu rakyat menerusi program-program dalam agenda merakyatkan ekonomi negeri Selangor. (10) Sebagai aktiviti santai, kami menggunakan Gelanggang Futsal di Dewan Orang Ramai, Kampung Sungai Terap, untuk perlawanan futsal antara belia di kampung Sungai Terap dan sekitarnya. Saya juga berkesempatan untuk menyertai pasukan futsal MB Selangor menentang pasukan futsal Pegawai Daerah Kuala Selangor. Para Hadirin Sekalian; (11) Selama empat tahun lebih mentadbir urus negeri Selangor, dengan tema “Selangor Negeri Idaman, Maju, Sejahtera dan Berkebajikan,” Kerajaan Pakatan Rakyat sudah melaksanakan hampir semua janji dalam Manifesto Pilihan Raya Umum ke-12 pada Mac 2008. Dalam tempoh itu, barisan pemimpin Kerajaan Negeri dan kakitangan kerajaan di peringkat daerah, mukim, kampung dan bagan, serta penglibatan ketua-ketua cabang, para penggerak belia, Ahli-Ahli Majlis, JKKK dan ahli-ahli parti komponen Pakatan Rakyat, terbukti dapat memperlihatkan persefahaman dan kerjasama bagi memantapkan dasar dan gaya tadbir urus Kerajaan yang telus, adil, bersih, berhemat dan berhemah. (12) Perlu ditegaskan di sini, bahawa dasar Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat di Selangor sejak empat tahun lebih ini adalah untuk membantu rakyat dan menyelesaikan pelbagai masalah mereka tanpa mengutamakan kaum tertentu atau agama tertentu, ataupun mengutamakan ahli-ahli atau para penyokong parti politik tertentu. Di sinilah, perbezaan antara Kerajaan Negeri sekarang daripada Kerajaan Negeri terdahulu! (13) Dalam sesi “Penerangan tentang Geran Selangorku” pada sebelah petang tadi, kami sudah jelaskan kepada rakyat tentang peruntukan Kerajaan Negeri berjumlah RM300 juta untuk diberikan kepada rakyat menerusi beberapa program lagi bertujuan menaik taraf pembangunan sosio-ekonomi rakyat Selangor, termasuk penduduk Daerah Kuala Selangor. (14) Antara bantuan yang menggunakan geran Selangorku adalah Pengenalan Gaji Minimum, RM10 juta; Membaik Pulih dan Menambah Baik Infrastuktur, RM 50 juta; Program Usahawan Muda, RM 30 juta; Pemerkasaan Wanita, RM30 juta; Program Sokongan Pendidikan, RM30 juta; Pembinaan Infrastruktur Sukan, RM30 juta; dan program lain yang melibatkan geran berjumlah sehingga RM22 juta bagi manfaat penduduk Luar Bandar, Peningkatan Kemahiran Penjawat Awam, Kebudayaan dan Peningkatan Kualiti Hidup Rakyat seluruhnya. Para Hadirin yang Berbahagia; (15) Perkara yang perlu juga diketahui oleh rakyat Selangor adalah bahawa Kerajaan Selangor sekarang berjaya mengutip cukai dengan cekap. Seterusnya, kita gunakan cukai tersebut untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat termasuk meningkatkan tahap ekonomi negeri agar pembangunan dapat dilakukan. Bahkan, dalam tempoh empat tahun lebih ini Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor menerima jumlah pelaburan melebihi RM36 bilion dan kita berjaya mewujudkan sebanyak 95,013 peluang pekerjaan. (16) Oleh itu adalah wajar Kerajaan Negeri Selangor sekarang menekankan perkara-perkara kebajikan dan kesejahteraan rakyat pelbagai kaum dan melakukan perubahan kerana kita mengutamakan kepentingan rakyat dan meminggirkan kepentingan peribadi dalam kalangan pemimpin. Tidak terlintas dalam fikiran kami untuk memberi kekayaan kepada kroni pemimpin Pakatan Rakyat atau ketua-ketua jabatan dan penjawat awam lain sebagaimana “lazim” berlaku semasa Kerajaan Umno-BN berkuasa. (17) Berhubung dengan pemberian geran pemilikan tanah, Kerajaan Negeri sedang berusaha untuk meluluskan 100 ribu permohonan geran tanah sebelum akhir tahun ini. Dalam tempoh empat tahun lebih ini, kira-kira 50 ribu pemohon yang layak sudah diberikan notis borang 5A atau surat kelulusan pemberimilikan tanah, menerusi program kediaman persendirian. Dalam bidang pendidikan, setiap tahun Kerajaan Negeri memberikan bantuan RM6 juta kepada sekolah agama rakyat, RM6 kepada sekolah Cina dan RM4 juta kepada sekolah Tamil. Bahkan gaji bulanan guru-guru Kafa dinaikkan dari RM400 ke RM1300. (18) Insya-Allah, jika Kerajaan Pakatan Rakyat kekal menerajui Negeri Selangor selepas Pilihan Raya Ke-13 nanti, kita berikan pendidikan percuma dari tahap rendah hingga ke institusi pengajian tinggi. Malahan, sekarangpun pelajar-pelajar di INPENS, Unisel atau Kuis, yang memperoleh GPA 3.7 ke atas, skim pinjaman PTPTN itu kita tukar jadikan biasiswa. (19) Di samping itu, banyak program kebajikan lagi disediakan untuk rakyat. Antaranya, sekarang ini kemudahan perkhidmatan jalur lebar WiFi sedang rancak dibangunkan agar seluruh rakyat Selangor boleh melayari internet secara percuma pada akhir tahun 2012. Ahli-Ahli Yang Berhormat, Dato’-Dato’, Datin Paduka-Datin Paduka, Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang Dihormati; (20) Kita maklum, mana-mana kerajaan, termasuk di peringkat pentadbiran kerajaan pusat di Putrajaya, kadang-kadang terpaksa menghadapi masalah yang menggangu kelancaran tadbir urus kerajaan dan pelaksanaan program-program pembangunan untuk rakyat ini. Di Selangor pun, kita hadapi beberapa masalah kecil, misalnya masalah kecurian pasir yang berterusan dan kutipan sampah yang belum lancar. Tetapi Kerajaan Pakatan Rakyat terus berusaha untuk mengatasi masalah seumpama. Yang pasti, Kerajaan Negeri tidak mengabaikan tanggungjawab membantu rakyat secara adil dan menyeluruh. (21) Oleh itu, menerusi Program Khas Terima Kasih Rakyat, saya dan ketua-ketua jabatan, para pegawai dan kakitangan kerajaan, termasuk Penghulu, Pengerusi dan Ahli JKKK, AJK Masjid dan AJK Surau, Penggerak Belia dan barisan pemimpin parti-parti komponen Pakatan Rakyat, mahu turun padang sekerap mungkin untuk menemui rakyat supaya lebih mendengar dan lebih memahami masalah rakyat. Rakyat pula, dari usia bayi hingga usia emas, berhak mengetahui tentang pelbagai program yang disediakan untuk mereka dan berhak menikmati bantuan dan pelbagai projek kebajikan tersebut tanpa ada “sekatan” atau “ketirisan” di mana-mana peringkat pengagihannya. (22) Kita semua perlu berasa bangga bahawa Selangor adalah negeri yang mempelopori pogram-program kebajikan melalui agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) dan ‘Hasil Negeri untuk Rakyat’, dan kemudiannya diteruskan dengan slogan ‘Selangorku’. Melalui slogan ini, kita mengajak seluruh rakyat Selangor supaya bersama-sama bertanggungjawab membangunkan negeri Selangor dan mempertahan usaha-usaha murni negeri melalui pentadbiran yang tidak rasuah, adil dan bertanggungjawab. (23) Saya berharap dan berdoa agar program yang dijalankan sejak pagi tadi ini dapat memberikan banyak manfaat kepada semua lapisan rakyat di Daerah Kuala Selangor ini khususnya. (24) Akhir kata, saya ucapkan terima kasih sekali lagi kepada rakyat Selangor khususnya penduduk di Daerah Kuala Selangor yang bekerja bersama saya dan barisan pemimpin negeri serta bertekad untuk mengekalkan keamanan dan meningkatkan taraf hidup di negeri Selangor Darul Ehsan. Semoga Allah terus melindungi dan memberkati segala usaha murni Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat di Selangor demi kemakmuran negeri dan kesejahteraan rakyat. Sekianlah sahaja ucapan saya. Terima kasih. Wassalamualaikum Warahmatullah Hiwabarakatuh dan Salam Perpaduan. Layari http://pkrtgkarang.blogspot.com/

Ucapan DATO' MENTERI BESAR SELANGOR PERHIMPUNAN BULANAN SUK 23 Julai 2012 / 3 Ramadhan 1433

Ucapan YAB TAN SRI DATO' SERI ABDUL KHALID BIN IBRAHIM DATO' MENTERI BESAR SELANGOR Pada PERHIMPUNAN BULANAN SUK ANJURAN LEMBAGA PERUMAHAN DAN HARTANAH SELANGOR Tarikh 23 JULAI 2012 (ISNIN) 3 RAMADAN 1433 Tempat DEWAN JUBLI PERAK BANGUNAN SSAAS SHAH ALAM Masa 8.30 PAGI Bismillahirrahmanirrahim, Assalamualaikum Warahmatullah, Selamat Sejahtera dan Selamat Pagi. >Yang Berhormat Dato’ Teng Chang Kim, Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor; >Yang Berhormat Dato’ Haji Mohammed Khusrin bin Haji Munawi, Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor; >Yang Berhormat Datin Paduka Zauyah Be binti Loth Khan, Penasihat Undang-Undang Negeri Selangor; >Yang Berhormat Dato’ Mohd. Arif bin Ab. Rahman, Pegawai Kewangan Negeri Selangor; >Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor; >Yang Berbahagia Datin Paduka Alinah binti Ahmad, Ketua Pengarah Eksekutif Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor; >Yang Berusaha Ketua-Ketua Jabatan Peringkat Negeri, Daerah dan Persekutuan; >Yang Berusaha Pegawai-Pegawai Kanan dan Warga Kerja Pelbagai Jabatan, serta Para Wartawan yang Budiman. (1) Alhamdulillah, dengan izin dan perlindungan Allah Subhanahuwataala, pada pagi Syahru Ramadan ini kita dapat berkumpul di Auditorium Dewan Jubli Perak ini bagi menjayakan Perhimpunan Bulanan Jabatan Kerajaan Negeri Selangor, yang dihoskan oleh Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS). Saya ucapkan terima kasih kepada semua yang hadir. (2) Di kesempatan ini saya merakamkan ucapan tahniah kepada LPHS kerana menyediakan buku Pelan Strategik LPHS 2012-2022 yang bakal dilancarkan sebentar lagi. Usaha LPHS menghasilkan buku pelan strategik ini, secara jelas menampilkan komitmen serta kesungguhan agensi ini melaksanakan peranannya sebagai penasihat kepada Kerajaan Negeri dalam bidang perumahan dan hartanah bagi memastikan pembangunan yang mampan serta lestari di negeri Selangor. Dato’-Dato’, Datin Paduka-Datin Paduka, Ahli-Ahli Yang Berhormat, Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang Dikasihi Allah; (3) Pada hakikatnya, segala pencapaian perkhidmatan organisasi merupakan sinergi atau penggemblengan antara semua pihak termasuk setiap lapisan kakitangan yang menunjukkan prestasi yang baik dan profesional. Saya berasa bangga kerana biasanya masa ke hujung tahun semasa, terdapat jabatan atau agensi kerajaan negeri mengadakan majlis penganugerahan hadiah perkhidmatan cemerlang kepada sejumlah kakitangan yang menunjukkan prestasi terbaik atau cemerlang pada tahun sebelumnya. (4) Misalnya, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri ini mengadakan anugerah perkhidmatan cemerlang bagi tahun 2011, pada bulan lalu, dan pada awal Julai ini, Majlis Bandaraya Shah Alam juga mengadakan majlis yang serupa. Jika kita renungi, majlis seumpama tidak lain, adalah untuk menghargai tugas dan jasa bakti setiap pekerja di jabatan dan agensi. Ia bermakna, hanya pekerja yang terbukti menunjukkan hasil kerja yang menepati sasaran atau melebihi standard yang ditetapkan, yang dipilih untuk menerima penghargaan daripada organisasi. (5) Namun begitu, dalam aspek lain, tujuan pemberian penghargaan ini, adalah juga untuk merangsang mana-mana pekerja yang kurang berprestasi baik atau memuaskan supaya lebih berusaha untuk melakukan tugas dan tanggungjawab dengan lebih baik atau memenuhi standard yang ditetapkan oleh organsisasi. (6) Kerajaan Negeri wajar mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada semua penjawat awam yang menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat dengan penuh prihatin, adil dan saksama. Saya begitu teruja terhadap sikap profesional kalangan penjawat awam negeri Selangor yang sedia melaksanakan setiap dasar dan keputusan Kerajaan Negeri sekarang dengan cepat, tepat dan menyeluruh. (7) Semua tindakan sedemikian adalah wajar dilakukan lantaran perkhidmatan awam perlu bersifat sistematik dan pragmatik dalam setiap tindakan serta mahir menilai kemahuan dan kehendak rakyat selaku pembayar cukai dan sebagai pelanggan. Kita maklum, penduduk negeri Selangor yang kini berjumlah sekitar 5.4 juta orang, yang pelbagai ragam dan peringkat, dan bahkan pelbagai fahaman politik, yang sudah tentu sentiasa mengharapkan perkhidmatan yang terbaik daripada kalangan penjawat awam. (8) Oleh itu, semangat untuk sentiasa memberikan yang terbaik ini mesti disemai dan dipraktiskan oleh setiap kakitangan awam bagi membentuk satu pasukan yang mantap dengan satu wadah yang sama, iaitu berpaksikan falsafah untuk merakyatkan ekonomi, dan berorientasikan kebajikan sebagaimana dimanifestasikan dalam agenda “Merakyatkan Ekonomi Selangor”, yang dilancarkan pada 21 Jun 2008, iaitu genap 100 hari Pakatan Rakyat menerajui Kerajaan Negeri Selangor. (9) Ia juga bermakna, ketua-ketua jabatan, para pegawai dan kakitangan kerajaan negeri Selangor supaya kerap turun padang menemui rakyat untuk lebih mendengar dan lebih memahami masalah rakyat, sebagaimana yang kita lakukan menerusi Program Khas Terima Kasih Rakyat ke seluruh daerah di Selangor. Rakyat pula, dari usia bayi ke usia emas, sewajarnya diberitahu tentang pelbagai program yang disediakan untuk mereka dan menikmati pelbagai projek kebajikan tersebut tanpa ada “sekatan” atau “ketirisan” di mana-mana peringkat pengagihannya. Para Hadirin yang Dihormati; (10) Saya bersyukur, kini program-program, skim dan insentif dalam agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor berjaya menambah sumber pendapatan rakyat terutama golongan petani, ibu tunggal dan pekerja ladang. Misalnya, kini rata-rata keluarga petani di Daerah Kuala Selangor dan Daerah Sabak Bernam mula menikmati peningkatan pendapatan di antara RM1500 dan RM2000 sebulan. (11) Ribuan rakyat di desa dan di bandar yang miskin pula kini boleh menceburi bidang perniagaan atau usahawan kecil dan sederhana menerusi skim pinjaman tanpa faedah yang disediakan oleh Kerajaan sekarang, bagi menambah sumber pendapatan dan sekali gus meningkatkan kualiti hidup bersesuaian dengan status negeri ini yang diisytihar negeri maju pada tahun 2005. Bahkan penjawat awam beserta ahli keluarga turut dibantu sekiranya berhasrat untuk melanjutkan pelajaran. (12) Oleh itu, diharapkan, dan saya yakin, rakyat Selangor pelbagai peringkat terutama golongan petani, nelayan, ibu tunggal dan warga emas dapat menyambut Hari Raya Aidilfitri sejak dua tiga tahun ini dengan lebih ceria dan bergaya! Dif-Dif dan Para Hadirin yang Berbahagia; (13) Sekarang kita kembali memperkatakan ehwal sektor perumahan yang menjadi tugas utama Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS). Sesungguhnya, tugas menyelaras projek-projek perumahan ini memang merupakan antara agenda utama Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat yang mendapati sebanyak 140 projek perumahan terbengkalai semasa Umno-BN menerajui Kerajaan ini dalam tempoh begitu lama, lebih 50 tahun. (14) Kerajaan Negeri sekarang lantas menunjukkan keprihatinan dalam usaha membantu para pembeli projek perumahan terbengkalai. Misalnya sejak dua tahun ini, pihak Kerajaan Negeri seperti Permodalan Negeri Selangor, Perbadanan Negeri Selangor dan Pemerbadanan Menteri Besar (MBi), berjaya menyelesaikan beberapa projek perumahan terbengkalai. Projek yang terbesar daripada segi bilangan rumah adalah Projek di Bukit Botak melibatkan 1,422 unit rumah berkembar, dan projek perumahan terbengkalai di Taman Alam Perdana di Kuala Selangor, melibatkan sebanyak 1116 unit. (15) Kerajaan negeri juga berusaha untuk mengatasi masalah setinggan, misalnya menawarkan pembinaan rumah-rumah kos rendah bagi tujuan penempatan semula setinggan. Misalnya, projek Pangsapuri Berembang Indah Ampang, yang merupakan satu lagi komitmen dan inisiatif Kerajaan Negeri dengan kerjasama semua pihak yang terlibat, yang prihatin terhadap masalah yang dialami oleh penduduk di sini. (16) Saya selaku Dato’ Menteri Besar negeri ini, sewajarnya berasa gembira terhadap usaha dan kesungguhan LPHS melahirkan pelan strategik yang dapat menggariskan hala tuju organisasi dalam tempoh 10 tahun mendatang. Pihak Kerajaan Negeri, melalui Jawatankuasa Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan yang kini diterajui oleh arkitek berpengalaman, Yang Berhormat Tuan Iskandar Abdul Samad, termasuk Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan pihak lain, sedia menggembleng tugas yang diamanahkan untuk kepuasaan para pembeli rumah pelbagai kategori. (17) Saya percaya buku yang dihasilkan LPHS ini adalah bukti kesungguhannya dalam usaha mempertingkat kualiti sistem penyampaian dan memperkasa khidmatnya kepada pelanggan. Kita maklum, perumahan merupakan agenda utama bagi setiap negara di dunia. Ia demikian kerana perumahan bukan sahaja merupakan struktur fizikal yang menyediakan perlindungan kepada penghuninya tetapi juga berkait rapat dengan sosioekonomi, politik, kejiranan dan persekitaran. (18) Selain itu, sektor perumahan merupakan pemangkin terhadap pembentukan sesebuah institusi keluarga. Jika baik, sejahtera dan bahagia sesebuah keluarga maka berkemungkinan baik, sejahtera dan bahagialah generasi yang dilahirkan dalam sesebuah masyarakat. Sekiranya wujud kepincangan dalam institusi keluarga maka kesan sosial dan ekonominya bakal turut dirasai oleh generasi berikutnya. Para Hadirin yang Budiman; (19) Kerajaan Negeri sekarang juga berusaha untuk menyediakan kediaman yang mampu dibeli oleh setiap keluarga, khususnya mereka yang berpendapatan rendah. Komitmen Kerajaan Negeri ini boleh dilihat melalui kajian keperluan perumahan yang dilakukan bagi membantu golongan yang berpendapatan sederhana yang terdiri daripada 40 peratus daripada penduduk negeri Selangor, iaitu mereka yang mempunyai pendapatan isi rumah di antara RM2,500.00 dan RM5,000.00 sebulan. (20) Hasil kajian tersebut melahirkan konsep asas perumahan mampu milik yang menetapkan kadar harga jualan di antara RM85,000.00 dan RM120,000.00 seunit dengan spesifikasi keluasan di antara 800 kaki persegi hingga 1,000 kaki persegi. Kediaman mampu milik ini dilengkapi kemudahan asas dan awam seperti perpustakaan, tadika, kawasan riadah, dan surau atau dewan komuniti. Bangunan hijau atau “Green Building” juga merupakan antara ciri reka bentuk terkini yang ditekankan dalam pembinaan rumah mampu milik. (21) Di samping itu, saya perlu tegaskan di sini bahawa agensi-agensi kerajaan yang terbabit melaksanakan projek-projek perumahan perlu memastikan agar usaha ini dilaksanakan dengan lancar dan siap mengikut jadual serta berkualiti. Jika berlaku kelewatan ia bermakna melambatkan manfaat daripada projek-projek tersebut dinikmati oleh golongan sasar, iaitu rakyat. Pemaju yang gagal menyiapkan projek menurut perjanjian, boleh dikenakan tindakan sewajarnya. Para Hadirin yang Mulia; (22) Dalam hal untuk memperbaik sistem pemilikan tanah, Kerajaan Negeri sekarang melancarkan skim pemberian geran bagi rakyat yang menduduki tanah-tanah TOL ( temporary occupancy license) lebih 10 tahun diusahakan agar diberi hak milik kekal dengan bersyarat. Proses pemberian geran sah ini dilakukan secara berkelompok kerana Kerajaan Umno-BN dahulu memberinya secara terpilih, iaitu daripada 200 keluarga di satu-satu kampung itu, tidak sampai 10 peratus mendapat geran. Itupun mengikut kepentingan politik Umno-BN. (23) Dasar tanah Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat adalah untuk menyelesaikan keseluruhan pemberian hak milikan ini tanpa mengambil kira fahaman politik mereka kerana sebagai rakyat Selangor mereka berhak mendapat geran tersebut. Sejak tahun 2009, lebih 10 ribu penduduk di Selangor sudah menerima notis borang 5A atau surat kelulusan pemberimilikan tanah, menerusi program kediaman persendirian. Misalnya, pada minggu lepas, sebanyak 177 borang 5A disampaikan kepada pemohon-pemohon di Taman Daya Selayang. (24) Pada keseluruhannya, di kawasan petempatan ini seperti di Sabak Bernam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Kuala Langat dan Hulu Langat, juga dilakukan usaha menambah baik dan menaik taraf infrastruktur dan kemudahan awam bagi keselesaan penduduk. Saya cukup bangga kerana Pejabat Daerah bekerjasama erat bagi memenuhi setiap permohonan untuk memiliki tanah sendiri yang diduduki lebih 10 tahun tanpa taraf milikan yang sah. (25) Saya berharap pelaksanaan Pelan Strategi LPHS ini mendapat kerjasama daripada warga kerja dan pihak-pihak lain yang berkepentingan dengan LPHS. Kita maklum, sesuatu agenda ataupun matlamat yang sudah dirangka itu tidak dapat direalisasikan tanpa kerjasama dan sokongan padu daripada pihak-pihak lain. Di pihak Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat Selangor, dalam usaha untuk membantu rakyat ini, kita sentiasa bersikap “kalau nak seribu daya, kalau tak nak seribu dalih.” Para Hadirin sekalian; (26) Isu terkini yang juga mahu diselesaikan oleh Kerajaan Negeri dengan kerjasama semua pihak terutama para penjawat awam, adalah isu pengambilalihan operasi Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas). Saya percaya sebilangan hadirin sudah mengikuti isu tentang cadangan dan rundingan termasuk tawaran wang bagi pengambilalihan syarikat-syarikat konsesi ini sejak tahun 2009 lagi. Namun, oleh sebab tiga daripada empat syarikat konsesi ini masih berdolak dalik, di samping Kerajaan Negeri tidak mendapat ”lampu hijau” daripada Kementerian berkenaan, maka sehingga hari ini misi Kerajaan Negeri menemui jalan buntu. (27) Pihak Syabas pula, yang mungkin tindak-tanduknya direstui oleh pihak di luar Selangor, semakin menunjukkan belang dengan mengeluarkan amaran demi amaran tentang perlunya dicatu pengedaran air terawat. Dengan yang demikian, berdasarkan bidang kuasa Kerajaan Negeri yang tercatat dalam perjanjian tahun 2004, maka sekarang kita terpaksa ”step in” untuk menguruskan pengedaran dan perawatan air yang lebih efisien berbanding yang dilakukan oleh Syabas. (28) Sekiranya, kerajaan pusat terus melengahkan keadaan, maka tiada pilihan lain Kerajaan Negeri mahu membawa kes ini ke mahkamah kerana kita ada kuasa ke atas syarikat konsesi ini sebagaimana dimaterai dalam perjanjian 2004 itu. Tetapi pada masa yang sama, kita mahu segera mengambil alih pengurusan air ini daripada Syabas, tambahan pula kita ada sejumlah pakar dalam bidang pengurusan dan perawatan air yang sedia berkhidmat untuk rakyat Selangor! Dato’-Dato’, Datin Paduka-Datin Paduka, Ahli-Ahli Yang Berhormat, Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang Dikasihi Allah; (29) Bersempena dengan bulan kemerdekaan yang bakal menjengah tidak lama lagi, marilah kita bersama-sama menyuntik semangat patriotik dalam diri dengan menjayakan Kempen Kibar Jalur Gemilang, yang bakal dilancarkan sebentar lagi. Semoga suntikan semangat patriotik ini secara tidak langsung dapat mengeratkan lagi silaturahim, persefahaman, kemesraan dan kerjasama sesama kita. Jalinan kesemua faktor ini adalah penting bagi menjamin perpaduan dan keharmonian kita di negeri Selangor khususnya, dan di Malaysia umumnya. (30) Namun begitu, Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat Selangor berhak untuk bersikap berhati-hati dalam hal menyambut kemerdekaan yang dianjurkan oleh Kerajaan Pusat ini, kerana biasanya terselit “maksud tersembunyi” untuk meraih kepentingan politik di pihak pemimpin atasan Kerajaan Pusat. Dilaporkan pada malam 17 Julai lalu, Datuk Seri Najib Razak berkunjung ke Little India; Tan Sri Muhyiddin Yassin ke Kampung Baru dan Datuk Seri Liow Tiong Lai ke Jalan Petaling, serentak pada jam 8.00 malam, berucap mempromosikan tema, ’55 Tahun Merdeka, Janji Ditepati’. (31) Kita semua wajar menyoal; apakah makna merdeka sekiranya kaum India kekal dinafi kad pengenalan sejak puluhan tahun? Janji apakah yang ditepati jika Kampung Baru dinodai pimpinan Umno? Kemerdekaan apakah maknanya bagi kaum Cina apabila Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina dipermainkan oleh pentadbiran Najib? Atau, makna kemerdekaan apakah bagi kerajaan negeri Selangor apabila kerajaan Pusat campur tangan dalam tadbir urus kerajaan Selangor ini dengan melantik JKKKP di merata kampung? (32) Seperkara lagi, betapa tidak adil dan tidak profesionalnya kalangan pemimpin Kerajaan Pusat terhadap kalangan pemimpin pembangkang kerana sejak 54 tahun ini mereka tidak pernah diundang untuk sama-sama menyertai Sambutan Ulang Tahun Kemerdekaan yang dihadiri oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Adakah pemimpin Umno-BN menganggap kalangan pemimpin pembangkang, terutama yang menerajui negeri-negeri Kelantan, Pulau Pinang, Selangor dan Kedah, bukan pemimpin di Malaysia, padahal kami semua dipilih oleh majoriti rakyat di negeri masing-masing. Dato’-Dato’, Datin Paduka-Datin Paduka, Ahli-Ahli Yang Berhormat, Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang Berbahagia; (33) Sempena bulan yang mulia ini, saya ucapkan “Selamat berpuasa kepada seluruh umat Islam.” Khususnya, saya juga ucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada semua Ahli Yang Berhormat dan seluruh warga kerja perkhidmatan awam negeri Selangor yang bekerjasama dengan saya dan barisan pemimpin Kerajaan Negeri untuk memajukan dan menyejahterakan rakyat dan memakmurkan negeri Selangor Darul Ehsan. (34) Sekianlah sahaja ucapan saya. Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya melancarkan buku Pelan Strategik Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor Tahun 2012-2022, dan saya juga merasmikan Kempen Kibar Jalur Gemilang sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-55 Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu-Malaysia. Wassalamualaikum warahmatullah wabarakatuh, dan Salam Perpaduan. Layari http://pkrtgkarang.blogspot.com/

Saturday, July 21, 2012

Kedahkini: Panas!!! Sabotaj Syabas & Kerajaan Pusat demi Poli...

Kedahkini: Panas!!! Sabotaj Syabas & Kerajaan Pusat demi Poli...: Perangkap TS Khalid memberi Air percuma adalah serampang dua mata pertama merakyatkan ekonomi bagaimana wang negeri yang diuruskan deng...

Layari http://pkrtgkarang.blogspot.com/