Monday, July 26, 2010
Sunday, July 25, 2010
Hentikan Kezaliman, Tegakkan Keadilan: Penyelesai Isu Perpaduan Melayu dan Islam.
Hentikan Kezaliman, Tegakkan Keadilan: Penyelesai Isu Perpaduan Melayu dan Islam.
Untuk kesekian kalinya, isu perpaduan Melayu ditonjolkan oleh UMNO lagi. Parti yang bernafas lama hasil luapan sentimen perkauman ini amat menyedari bahawa kedudukan politiknya adalah semakin terdesak dan terancam. Sokongan orang Melayu terutamanya generasi muda semakin menurun. Sokongan orang bukan Melayu pula kini amat terhakis. Gelombang sokongan rakyat di Sabah dan Sarawak jelas sudah beralih kepada Pakatan Rakyat. Lantaran, UMNO sedang menggunakan politik michevelli yang dianutinya. Isu perpaduan Melayu dikumandangkan lagi sebagai strategi perang psikologi memecahbelah Pakatan Rakyat. Ini dilakukan selepas gagal menggunakan fitnah ‘liwat’, membeli wakil-wakil rakyat PR dan menuduh Anwar Ibrahim sebagai pengkhianat Melayu, agen Yahudi, CIA dan Amerika Syarikat serta berbagai tuduhan lagi. Dalam masa yang sama media penyampai maklumat kepada rakyat cuba disekat dengan harapan ‘psywar’ yang dilancar ini menjadi.
Sebenarnya, perpaduan yang dijaja ini hanyalah untuk menyelamatkan politik UMNO itu sendiri. UMNO ditolak rakyat bukan kerana perpecahan kepimpinan Melayu. Ia diakibatkan oleh segala kemungkaran dan kezaliman yang dilakukan oleh mereka sendiri. Segala khazanah negara sedang di ‘faraid’ sesama sendiri dengan pelbagai cara. Tabung simpanan felda susut teruk dan yang terbaru ini harta Petronas pula sedang dikeringkan. Seluruh instrumen pentadbiran negara telah dikembirikan demi menjaga survival UMNO. Ekonomi negara sedang menguncup dan para pelabur semakin menjarak diri dari kita. Kehidupan rakyat semakin tertekan dan tersepit. Kita semakin bimbang bagaimana nanti rakyat miskin di bandar-bandar dan luar bandar terutama di Sabah dan Sarawak dapat meneruskan kehidupan mereka yang sudahpun sengsara sekian lama. Menyedari rakyat semakin meminggirkannya, UMNO melagang isu perpaduan Melayu.
Hakikatnya, pelbagai agenda perpaduan politik Melayu telahpun dicuba sebelum ini. Namun, semuanya berakhir dengan kegagalan. Paling jelas, gabungan PAS dan UMNO di dalam Barisan Nasional pada tahun 1971 berkesudahan PAS di tendang keluar dari BN. Kegagalan ini mencetuskan percubaan bentuk baru oleh Anwar Ibrahim, apabila beliau dan rakan-rakannya dari ABIM berijtihad untuk aktif dalam UMNO. Ia berakhir dengan satu kemelut besar yang paling menyayat hati dalam sejarah politik Melayu Islam. Beliau disingkir dari jawatannya sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden UMNO secara cukup hina dan mengaibkan. Tidak pernah berlaku dalam sejarah Melayu seorang pemimpin hebatnya dijatuhkan dengan fitnah ‘liwat’ seperti ini. Begitu pelik dan luarbiasa, namun ia boleh berlaku di dalam budaya politik UMNO.
Jelaslah, perpecahan politik Melayu tetap berlaku meskipun para pemimpinnya berada dalam wadah yang sama, sama ada UMNO atau BN. Lupakah kita dengan peristiwa pembunuhan Allahyarham Dato Mohd Taha di Gemencheh Negeri Sembilan? Apakah kita lupa dengan pergolakan politik di antara Team A dan B di dalam UMNO hingga menyebabkan UMNO di bubarkan pada tahun 1987 dan kemudiannya mengakibatkan tertubuhnya UMNO Baru dan Parti Semangat 46? Meskipun kemudiannya Parti Semangat 46 dibubarkan dan kembali bergabung di dalam UMNO, namun isu perpaduan Melayu tidak juga berkesudahan. Malah, penggabungan Semangat 46 ke dalam UMNO seakan-akan sengaja dirancang sebagai persediaan untuk mencipta krisis baru politik Melayu dengan peristiwa penyingkiran DSAI dari UMNO beberapa kemudiannya.
Bagaimana mungkin UMNO mengemudi perpaduan Melayu sedangkan perpaduan itu tidak wujud dalam tubuh badannya sendiri? UMNO kini adalah bagai enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing. UMNO umpama sebuah bangunan yang kelihatan besar dan hebat, sedangkan segala tiang, rasuk dan gelegarnya telahpun hancur luluh dimakan bubuk dan anai-anai. Ia bakal runtuh bila-bila masa sahaja. Dengan pelbagai perkembangan mutakhir yang berlaku, kita meramalkan satu krisis baru yang amat menggemparkan akan berlaku di dalam kepimpinan UMNO tidak berapa lama lagi. Percayalah!
Perjuangan para pemimpin UMNO bukanlah untuk menegakkan agama dan keadilan kepada rakyat. Asas perjuangan mereka adalah kecintaan kepada dunia dan ketakutan kepada mati. Maka, amalan rasuah, kronisme, penipuan, khianat, memfitnah sesama sendiri dan jatuh menjatuhkan merupakan suatu kemestian demi merebut dan mengekalkan kuasa. Dana dan sumber negara di mana jua akan diperah dan khianati semahunya. Maka judi sukan yang jelas haram menjadi halal demi memperkayakan mereka yang sudah kaya dan menjadikan rakyat yang miskin semakin papa kedana.
Hakikatnya, perpaduan sejati apa jua kelompok tidak akan wujud apabila tiadanya nilai-nilai teras yang merealitikan perpaduan itu iaitu keikhlasan, kejujuran dan keadilan serta saling menjaga rukun dan adab dalam muamalah dan perhubungan. Inilah yang dapat kita fahami dari firman Allah yang bermaksud:
“Dan berpegang teguhlah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah dan jangan bercerai-berai…..” (Ali-Imran: 103)
Isu perpaduan Melayu dan survival Islam di Malaysia ini tidak akan dapat diselesaikan jika kita masih melihatnya melalui teropong UMNO dan para kuncunya. Ia perlu dikaji dari perspektif baru dalam fenomena baru realiti politik berasaskan demokrasi di Malaysia. Jika UMNO benar-benar ikhlas, hentikan segala kezaliman, penindasan dan kemungkaran yang diamalkan selama ini. Suburkanlah iklim demokratik di Malaysia berasaskan perlembagaan negara yang ada. Wujudkan ruang persaingan yang terbuka dan sihat dan berasaskan syariat yang ditetapkan Islam. Ini akan menjadikan kita lebih kreatif dalam usaha menyampaikan khidmat yang terbaik untuk seluruh rakyat tanpa mengira kaum dan agama berasaskan kebenaran dan keadilan. Dengan ini Islam yang murni akan lebih terserlah. Barisan kepimpinan Islam yang bertaqwa, bijaksana dan adil akan dapat dilahirkan. Masyarakat bukan Islam akan lebih memahami Islam dan melihatnya secara objektif dan tepat. Perkara ini sedang menjadi kenyataan. Masyarakat bukan Islam tidak lagi menjadi fobia kepada Islam apabila bersedia mengundi parti Islam di dalam pilihanraya, selepas sekian lama, UMNO telah menjadikan segala berunsur Islam sebagai momokan kepada mereka. Perkembangan inilah yang amat menggerunkan UMNO sekarang ini, lantas menjadikan slogan perpaduan Melayu sebagai gendang perang terakhir sebelum terus tumbang di telan gelombang rakyat yang menuntut keadilan.
24 Julai 2010
DR MUHD NUR MANUTY
Pengerusi
Biro Pemahaman & Pemantapan Agama
Parti KeADILan Rakyat
Layari http://pkrtgkarang.blogspot.com/
Monday, July 19, 2010
Kenaikan Harga: Tidak Prihatin Dan Tidak Bertanggungjawab
KENYATAAN AKHBAR
16 Julai 2010
Hakikatnya, kenaikan harga petrol, diesel, LPG dan gula ini adalah tidak bertanggungjawab kerana tidak ada tindakan proaktif untuk menyediakan mekanisme bantuan kepada golongan yang paling terkesan dengan kenaikan ini, sebelum pengumuman dibuat. Kerajaan Persekutuan telah mengumumkan rancangan pemotongan subsidi ini sejak tahun 2008 lagi atas alasan untuk menstrukturkan semula pemberian subsidi agar ia lebih memihak kepada golongan yang memerlukan. Sehingga kini, rakyat masih tertunggu-tunggu mekanisme bantuan tersebut. Pada masa yang sama, kenaikan demi kenaikan diumumkan.
Kenaikan harga gula sebanyak 28% sejak awal tahun ini (kenaikan 20 sen pada 1 Januari 2010, diikuti kenaikan 20 sen berikutnya pada 16 Julai 2010) sudah tentu akan mempunyai kesan kepada harga makanan. Kesan berganda daripada kenaikan harga petrol, diesel, LPG dan gula ini akan memberi tekanan kepada golongan berpendapatan rendah di bawah RM2,000 sebulan, yang mana 75% adalah Bumiputra yang kononnya dibela oleh Barisan Nasional.
Sasaran penjimatan sebanyak RM750 juta yang diumumkan Pejabat Perdana Menteri adalah sedikit berbanding dengan keborosan dan pembaziran yang berlaku akibat kelalaian Barisan Nasional. Semalam, Dewan Rakyat dimaklumkan bahawa perbelanjaan Jabatan Perdana Menteri telah mencecah RM3.8 billion pada tahun 2009 dan dijangka mengatasi peruntukan RM3.9 billion bagi tahun 2010. Ini termasuklah perbelanjaan Sekretariat Mantan Perdana Menteri dan Sekretariat Permata yang dinaungi oleh isteri Perdana Menteri.
Malah, penjimatan RM750 juta itu tidak setanding dengan kerugian yang ditanggung rakyat apabila konglomerat milik rakyat iaitu Sime Darby mengalami kerugian sebanyak RM946 juta dan menerima pula pampasan dari kerajaan berjumlah RM700 juta.
Membebankan rakyat atas alasan mengurangkan defisit dan menggunakan penjimatan untuk menampung keborosan kerajaan seperti ini perlu dihentikan segera. Di mana letaknya maruah seorang Perdana Menteri yang mengambil wang rakyat atas nama penstrukturan subsidi dan digunakan untuk membayar perunding asing seperti APCO sehingga mencecah RM77 juta setahun semata-mata untuk menaikkan imej beliau, sedangkan bayaran kepada APCO itu hampir sama jumlahnya dengan anggaran penjimatan subsidi gula sebanyak RM126 juta (seperti diumumkan PEMANDU).
Pun begitu, saya tidak menolak bulat-bulat kaedah penstrukturan semula subsidi untuk memastikan lebih banyak bantuan sampai terus kepada golongan 75% di bawah pendapatan isi rumah RM2,000 sebulan. Penjimatan dari pengurangan subsidi sepatutnya disalurkan terus kepada golongan ini melalui mekanisme-mekanisme yang perlu diumumkan serentak dengan kenaikan harga.
Saya menuntut supaya Perdana Menteri mengumumkan secepat mungkin bagaimanakah penjimatan RM750 juta ini akan dibelanjakan untuk rakyat. Nasihat saya supaya penjimatan ini disalurkan dalam bentuk kenaikan peruntukan untuk institusi pengajian tinggi, pelaburan baru dalam bidang pendidikan dan bantuan kebajikan terus kepada golongan berpendapatan di bawah RM2,000 agar penjimatan itu sampai terus kepada rakyat.
Sebelum ini pun, kerajaan telah menggunakan alasan mengurangkan defisit apabila menaikkan harga minyak dan keperluan asas. Tindakan ini sedikit pun tidak membantu menyelesaikan masalah defisit negara, malah ia makin meningkat. Bagi tahun 2008, di kemuncak kenaikan harga minyak, defisit negara melonjak kepada 4.8% berbanding 3.2% bagi tahun sebelum itu. Keadaan ini berlaku kerana kerajaan tidak berdisiplin dan tidak ada iltizam politik untuk menyalurkan penjimatan dari pemotongan subsidi ke sektor-sektor yang benar-benar memerlukan, sedangkan pembaziran dan kerugian terus berlaku.
Sebab itu, saya telah menegaskan berkali-kali bahawa ubat yang paling mujarab untuk memulihkan ekonomi negara adalah reformasi ekonomi yang menyeluruh, bukannya tertumpu kepada golongan lemah semata-mata.
Perdana Menteri tidak boleh meminta rakyat mengubah cara hidup, sedangkan kroni-kroni, ahli politik, golongan elit dan berkepentingan terus menikmati subsidi korporat seperti subsidi gas kepada penjana bebas yang menelan belanja RM18.9 billion setiap tahun, 25 kali ganda lebih besar dari penjimatan akibat potongan subsidi yang diumumkan semalam.
Oleh itu, saya menggariskan empat langkah segera yang perlu diambil oleh Perdana Menteri untuk meyakinkan rakyat bahawa pengorbanan mereka menanggung harga yang lebih tinggi untuk mengekang defisit adalah berbaloi:
1. Mengumumkan penambahbaikan drastik kepada kaedah dan sistem perolehan yang diamalkan kerajaan agar lebih telus dan mendapatkan nilai terbaik untuk rakyat;
2. Menstrukturkan semula pemberian subsidi gas kepada IPP agar penjimatan ini dapat disalurkan kepada rakyat;
3. Mengawalselia prestasi syarikat berkaitan kerajaan dan agensi yang dipertanggungjawabkan menjaga dana awam bagi mengelakkan kerugian berbillion ringgit yang ditanggung rakyat; dan yang terpenting
4. Membuktikan keikhlasan dalam perang menentang rasuah dengan menghentikan campur tangan politik di dalam SPRM dan Jabatan Peguam Negara.
Rakyat akan ternanti-nanti tindakan susulan Perdana Menteri jika benar Barisan Nasional ikhlas dalam menangani kekusutan ekonomi negara. Jika tidak, pengumuman kenaikan harga petrol, diesel, LPG dan gula semalam hanyalah sambungan kepada rentetan penindasan rakyat berpendapatan rendah demi golongan elit dan kroni.
Ketua Pembangkang
Layari http://pkrtgkarang.blogspot.com/
Wednesday, July 14, 2010
Media Diberi Maklumat Salah Mengenai Perlombongan Haram Di Kuala Langat
By Anwar Ibrahim
KENYATAAN AKHBAR
12 JULAI 2010
Laporan mengenai perlombongan pasir yang disiarkan akhbar hari ini adalah tidak benar kerana fakta-fakta yang diberikan kepada media adalah salah.
Berdasarkan gambar yang disiarkan akhbar, Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB) pasti gambar ini diambil di sekitar lombongnya yang mempunyai permit sah di Kampung Olak Lempit di Mukim Tanjung 12, Daerah Kuala Langat, bukannya di Bukit Canggang.
Permit melombong pasir di kawasan itu yang dikeluarkan pentadbir Tanah Kuala Langat sejak Januari 2010 selepas mendapat kelulusan jabatan teknikal termasuk Jabatan Alam Sekitar, Jabatan Pengairan dan Saliran, Jabatan Kerja Raya, Jabatan Mineral dan Geosains, Lembaga Urus Air Selangor, Majlis Daerah Kuala Langat dan pejabat Daerah/Tanah Kuala Langat.
Kelulusan dari jabatan ini diperolehi selepas Skim Melombong (mining Scheme) dan Pengurusan Alam Sekitar (EMP) diluluskan oleh jabatan-jabatan ini.
Operasi perlombongan dijalankan selepas JAS dan LUAS berpuashati dengan EMP yang disediakan oleh KSSB. Antara kandungan EMP adalah operasi perlombongan KSSB tidak jejaskan alam sekitar termasuklah Paya Indah Wetlands.
Syarikat perunding, Enviro Enhance Sdn Bhd juga bertanggungjawab menghantar laporan setiap bulan kepada JAS.
KSSB juga menyediakan zon penampan selebar 20 meter dari sempadan kawasan melombong. Kecerunan tebing yang landai dengan purata 27 darjah disediakan untuk memastikan tebing tidak runtuh dan membahayakan pekerja serta alam sekitar. Ini adalah mengikut Skim Melombong yang memenuhi syarat JMG.
Lombong KSSB ini adalah seluas 120 ekar, bukannya 120 hektar (250 ekar) seperti yang dilaporkan oleh akhbar.
Operasi fasa pertama hanyalah seluas sekitar 60 ekar. Operasi fasa kedua pula sedang dalam proses pembersihan kawasan.
Kerja-kerja melombong telah diberikan kepada syarikat kontraktor, Cheong Weng Trading yang berpengalaman selama 15 tahun dalam industri pasir.
Semenjak operasi bermula pada Januari 2010, sebanyak 400,000 tan metrik pasir telah dijual dengan pendapatan sekitar RM7 juta bukannya 10 juta tan pasir bernilai RM220 juta sepertia yang dilaporkan akhbar.
Adalah tidak munasabah untuk mengeluarkan 10 juta tan dalam masa 2 minggu seperti yang dilaporkan kerana untuk mengeluarkan pasir sebanyak itu memerlukan lebih 500,000 muatan lori.
Jentera-jentera dan peralatan melombong tidak berkemampuan untuk mengeluarkan 10 juta tan pasir dalam masa 2 minggu.
Kerajaan Negeri berterima kasih kepada mereka yang prihatin dengan kejadian curi pasir. Kita mencuba sedaya upaya untuk membanteras jenayah ini supaya negeri tidak terus kerugian.
Pentadbir Tanah telah mengenal pasti kawasan-kawasan kecurian pasir seluruh Selangor termasuklah di Bukit Canggang dan sedang mengambil tindakan termasuklah memberi Notis 7A di bawah Kanun Tanah Negara.
Kita juga berharap pihak media lebih berhati-hati dengan fakta yang diberikan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Kerajaan Negeri akan terus menambah baik perlombongan pasir yang menjadi sumber untuk agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor.
YAB TAN SRI DATO SERI ABDUL KHALID IBRAHIM
DATO’ MENTERI BESAR SELANGOR
Layari http://pkrtgkarang.blogspot.com/
Friday, July 9, 2010
Analisa Keputusan Kewangan & Operasi PETRONAS
Analisa Keputusan Kewangan & Operasi PETRONAS
PENDAHULUAN
- PETRONAS mengumumkan keputusan kewangan dan operasinya bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2010 pada 1 Julai yang lepas.
Secara keseluruhannya, kita mengakui kesukaran PETRONAS untuk mengekalkan prestasi kewangannya seperti tahun-tahun yang lepas di dalam keadaan pasaran dunia yang terkesan kerana kemelesetan ekonomi di Amerika Syarikat dan benua Eropah pada tahun lepas.
- Oleh itu, penurunan perolehan PETRONAS sebanyak 18.1% kepada RM216.4 bilion sudah pun dijangka. Begitu juga dengan penurunan keuntungan sebelum cukai sebanyak 23.2% kepada RM40.3 billion, berbanding tahun sebelumnya yang berjumlah RM52.5 bilion[1].
- Mengambil kira cabaran yang dihadapi PETRONAS untuk bersaing di peringkat dunia dan perubahan pasaran yang dialami industri minyak dan gas, seluruh warga PETRONAS wajar menerima pujian atas usaha mereka mengekalkan prestasi yang membanggakan bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2010.
- Pun begitu, terdapat beberapa perkara khusus yang perlu diberi perhatian berhubung keputusan kewangan dan hala tuju PETRONAS. Organisasi ini merupakan nadi kepada Perbendaharaan negara, maka banyak matlamat ekonomi negara berhubungkait dengan kedudukan kewangan dan strategi yang diambil PETRONAS.
KEBERGANTUNGAN KEPADA PETRONAS
- PETRONAS merupakan penyumbang terbesar kepada sumber pendapatan kerajaan. Tanpa sumbangan dari PETRONAS dan industri minyak dan gas di Malaysia, defisit belanjawan negara sudah pun mencecah paras 15.1% pada tahun 2009.
2005 | 2006 | 2007 | 2008 | 2009 | |
Nota 1[2]Dengan hasil minyak | 3.6 | 3.3 | 3.2 | 4.8 | 7.4 |
Nota 2[3]Tanpa hasil minyak | 6.8 | 8.6 | 8.8 | 11.7 | 15.1 |
Jadual 1: Defisit belanjawan negara
- Akibat kegagalan Barisan Nasional menjana ekonomi, saban tahun PETRONAS dibebankan dengan tanggungjawab menanggung perbelanjaan boros kerajaan tatkala sumbangan industri-industri lain makin berkurangan.
- Bagi tahun berakhir 31 Disember 2009, PETRONAS menyumbang RM70.9 bilion kepada kerajaan dalam pelbagai bentuk bayaran seperti royalti, dividen, cukai pendapatan, duti dan lain-lain. Ia menurun sedikit berbanding 2008 disebabkan cukai pendapatan PETRONAS yang lebih rendah akibat harga minyak yang jatuh.
- Walau bagaimana pun, kebergantungan kepada PETRONAS semakin meruncing kerana tidak ada tanda-tanda Barisan Nasional berniat untuk mengurangkan tekanan kewangan terhadap PETRONAS.
- Jadual 2 dan Jadual 3[4] menunjukkan darjah kebergantungan kerajaan kepada PETRONAS berasaskan dua penilaian, iaitu peratus sumbangan PETRONAS kepada pendapatan negara dan peratus sumbangan PETRONAS berbanding keuntungannya bagi tahun 2005 hingga 2010.
2005 | 2006 | 2007 | 2008 | 2009 | 2010 | |
Bayaran PETRONAS kepada kerajaan(RM bilion) | 31.2 | 41.7 | 52.3 | 67.6 | 74.0 | 57.6 |
Peratus sumbangan PETRONAS kepada pendapatan kerajaan[5] (%) | 28.7 | 34.4 | 35.4 | 44.0 | 44.9 | Tidak dinyatakan |
Jadual 2: Peratus sumbangan PETRONAS kepada pendapatan negara, berasaskan tahun kewangan
2005 | 2006 | 2007 | 2008 | 2009 | 2010 | |
Bayaran PETRONAS kepada kerajaan(RM bilion) | 31.2 | 41.7 | 52.3 | 67.6 | 74.0 | 57.6 |
Keuntungan sebelum cukai (RM bilion) | 58.0 | 70.2 | 76.3 | 95.5 | 89.1 | 67.3 |
Peratus sumbangan PETRONAS berbanding keuntungan (%) | 53.4 | 59.4 | 68.5 | 70.8 | 83.1 | 85.6 |
Jadual 3: Peratus sumbangan PETRONAS berbanding keuntungannya, berasaskan tahun kewangan
- Hakikatnya, kerajaan telah mencekik PETRONAS sehabis-habisnya sehinggakan pada tahun kewangan berakhir 31 Mac 2010, 85.6% dari keuntungannya diserahkan bulat-bulat kepada kerajaan.
- Kerajaan tidak boleh menafikan bahawa kekuatan kewangan PETRONAS telah dan sedang disalahgunakan untuk membiayai projek-projek dan perbelanjaan yang tidak melonjakkan kedudukan ekonomi negara, kerana angka-angka kewangan PETRONAS secara jelas menunjukkan bahawa rompakan besar-besaran ke atas dana PETRONAS sedang berlaku.
- Tindakan Perdana Menteri menuntut bayaran dividen sebanyak RM30 bilion, dalam keadaan pasaran minyak yang lemah berbanding sebelumnya dan keuntungan PETRONAS yang lebih rendah, membuktikan Barisan Nasional tidak ada iltizam politik untuk menghentikan ketagihan kebergantungan kepada dana PETRONAS.
- Ini mempunyai dua kesan utama kepada ekonomi negara.
- Pertama – sasaran untuk mengurangkan kebergantungan kepada PETRONAS seperti yang diumumkan di dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK10) adalah tidak lebih dari cakap-cakap kosong sahaja. Kalau paras kebergantungan itu kian memuncak saban tahun dan tiada langkah yang khusus yang diumumkan untuk menghentikan ketagihan itu, mana mungkin sasaran yang bercita-cita tinggi itu dicapai menjelang 2015?
- Kesan kedua adalah lebih membimbangkan. Tekanan kewangan terhadap PETRONAS menyebabkan keupayaannya untuk bersaing di peringkat global, dengan melaburkan kembali sebahagian dari keuntungannya, akan terbantut.
- Berdasarkan kepada pola pembayaran kepada kerajaan, PETRONAS akan berhadapan dengan keadaan yang mana ia perlu menggunakan rezab tunainya untuk membayar dividen kepada kerajaan pada masa hadapan.
- Jika pasaran minyak antarabangsa kekal pada kedudukan ini dan struktur kos industri juga tidak berubah, pembayaran dividen yang tinggi seperti ini akan menyebabkan tuntutan bayaran oleh kerajaan melebihi keuntungan PETRONAS.
- Keadaan ini tidak ubah seperti pepatah Melayu umpama jatuh ditimpa tangga. Kedudukan kewangan PETRONAS akan terus lemah dan ini menyekat kemampuannya untuk mendapatkan blok carigali yang baru, apatah lagi membuat pelaburan untuk mengeluarkan minyak baru.
- Perdana Menteri dan Jemaah Menteri perlu mentelaah industri minyak dan gas untuk memahami betapa runcingnya kedudukan PETRONAS gara-gara kerakusan kerajaan.
- Saya ingin memetik hujah-hujah yang dikemukakan oleh Jeroen van der Veer, Ketua Pegawai Eksekutif Shell di dalam satu pertemuan dengan pelabur-pelabur mengenai langkah-langkah yang diambil oleh Shell dalam mengekalkan keberdayasaingan syarikat itu menghadapi suasana ekonomi yang bergolak[6].
- Beliau menggunakan satu penanda aras yang biasa digunakan di dalam industri minyak dan gas, iaitu nisbah pelaburan semula (reinvestment ratio). Nisbah ini mengukur setakat mana syarikat-syarikat minyak melaburkan semula dananya untuk menggantikan rezab minyak yang telah digunakan.
- Menurut beliau, Shell meletakkan penekanan mencapai nisbah pelaburan semula yang tinggi untuk kekal berada di hadapan berbanding pesaingnya. Nisbah pelaburan semula Shell adalah antara yang tertinggi di dunia pada taham 75% (lihat Rajah 4).
Rajah 4: Perbandingan nisbah pelaburan semula 5 syarikat minyak terbesar di dunia
- Berapa nisbah pelaburan semula PETRONAS? Paras tertinggi yang dicapai iaitu 35.7% adalah pada tahun kewangan berakhir 31 Mac 2009 pada kala harga minyak memuncak, kemudian turun semula. Sepanjang 5 tahun yang lepas, nisbah pelaburan semula PETRONAS adalah sangat rendah berbanding nisbah purata yang diamalkan oleh pesaing-pesaing globalnya.
2005 | 2006 | 2007 | 2008 | 2009 | 2010 | |
Aliran tunai bebas/Free cash flow (USD billion) | 19,800 | 25,279 | 28,747 | 34,509 | 35,841 | 37,785 |
Perbelajaan kapital/ Capital expenditure(USD billion) | 4,566 | 4,920 | 5,992 | 8,550 | 12,808 | 10,719 |
Nisbah pelaburan semula/ Reinvestment ratio (%) | 23.1% | 19.5% | 20.8% | 24.8% | 35.7% | 28.4% |
Jadual 5: Nisbah pelaburan semula PETRONAS bagi tahun kewangan 2005 hingga 2010[7]
- Adalah jelas bahawa amalan memerah keringat PETRONAS untuk mengisi temolok kroni melalui projek dan perbelanjaan yang tidak memanfaatkan rakyat wajib dihentikan serta-merta.
- Ketagihan dan kebergantungan kepada PETRONAS sudah pun diterima umum sebagai penyakit utama pentadbiran ekonomi di negara ini.
- Ketagihan yang menggila sehinggakan 86% keuntungan PETRONAS diambil oleh kerajaan akan membunuh PETRONAS suatu hari nanti.
- Dimanakah pertimbangan Perdana Menteri sehinggakan keadaan ini boleh terus berlaku? Sedangkan amanah yang dipikul meletakkan tanggungjawab kepada Perdana Menteri untuk memastikan PETRONAS diwariskan kepada generasi akan datang dalam kedudukan yang lebih baik dari sekarang.
PERTUKARAN MENDADAK STRATEGI
- Saya mengambil pendekatan terbuka dengan perlantikan kepimpinan baru di PETRONAS, baik di peringkat eksekutif mahu pun Lembaga Pengarahnya.
- Sudah tentu kita berkongsi keperitan Tan Sri Hassan sebagai tokoh yang umpama sudah habis madu sepah dibuang, walau pun beliau mengabdikan diri membina PETRONAS sekian lama.
- Cara beliau digantikan banyak menimbulkan persoalan, seolah-olah tidak ada lagi kesantunan dan budi bahasa yang diamalkan mereka yang bergelar pemimpin negara.
- Namun, yang lebih merisaukan adalah kenyataan dan tindakan yang dibuat oleh kepimpinan baru PETRONAS yang nyata, memperlekehkan keputusan-keputusan yang diambil oleh Tan Sri Hassan sebelum ini.
- CEO baru PETRONAS, Datuk Shamsul Azhar Abbas pernah membuat kenyataan yang diertikan bahawa pengurusan lama di bawah Tan Sri Hassan Marican adalah “one man show”[8]. Itu adalah pendapat beliau dan kita menghormati pendapat beliau.
- Tetapi, apabila PETRONAS mengumumkan perubahan besar dari segi strategi dan pendekatan operasinya untuk mengalihkan fokus pelaburan kembali ke dalam negara, ini membimbangkan banyak pihak[9].
- Ada beberapa sebab yang perlu dihalusi kenapa pertukaran mendadak ini dikhuatiri akan menjejaskan lagi kedudukan PETRONAS dan memberi ruang kepada campur tangan politik untuk merompak dana PETRONAS.
- Saban tahun kita berbangga dengan keupayaan PETRONAS menjayakan operasi luar negaranya, sehinggakan sumbangan operasi luar negara lebih besar dari hasil dalam negara sejak tahun 2008.
- Strategi yang telah difikirkan semasak-masaknya dan dilaksanakan dengan teliti sejak tahun 1991 ini, telah membuahkan hasil yang dinikmati bersama oleh rakyat Malaysia.
- Banyak tindakan-tindakan pelaburan dan strategik PETRONAS mengambil kira fokusnya untuk membina nama di persada antarabangsa – sebab itu PETRONAS memilih untuk bersama-sama pasukan Formula 1 Mercedes dan bukannya pasukan 1Malaysia! Mercedes ada nilai antarabangsa, 1Malaysia belum tentu laku di Malaysia pun.
- Kita juga sedar bahawa rezab minyak dan gas di negara kita juga semakin berkurangan. Yang masih ada adalah rezab-rezab marginal (marginal fields) yang menelan belanja yang besar untuk dibangunkan, sedangkan pulangannya tidak seberapa.
- Sebab itu, kebelakangan ini kita lihat portfolio rezab minyak dan gas di Malaysia semakin cenderong kepada rezab-rezab di perairan dalam (deepwater) dan rezab gas berkarbon dioksida tinggi (high cardon dioxide gas reserves).
- Pada tahun 2010, 22.6%[10] dari rezab keseluruhan Malaysia adalah dari perairan dalam dan 14.5% dari rezab gas mempunyai kandungan karbon dioksida yang tinggi.
- Apa makna semua ini?
- Kualiti rezab yang kita ada adalah tidak sebaik rezab-rezab yang ada di tempat-tempat lain, kerana aktiviti carigali telah dijalankan buat sekian lama. Akibatnya, kos untuk mengeluarkan minyak dari rezab-rezab ini adalah berkali-kali ganda lebih mahal berbanding dengan kos mengeluarkan minyak di Iraq, Iran atau pun Sudan.
- Perkiraan ekonominya mudah – jika kita ada RM1 bilion untuk dilaburkan, apakah kita akan memilih pelaburan yang kosnya tinggi dan pulangan tidak seberapa, atau kita meneruskan strategi antarabangsa yang telah dibuktikan kejayaan setakat ini?
- Kalau pun kepimpinan baru PETRONAS memberi alasan bahawa pulangan dari operasi antarabangsa tidak memenuhi jangkaan, strategi meluaskan operasi di peringkat antarabangsa perlu dinilai melangkaui aspek kewangan semata-mata.
- Hakikatnya rezab yang ada di Malaysia semakin berkurangan dan akan habis pada suatu ketika nanti. Di negara-negara lain masih ada rezab-rezab besar yang boleh diterokai dan seterusnya akan menjamin bekalan minyak negara pada masa akan datang.
- Pada ketika syarikat-syarikat lain di seluruh negara berlumba-lumba mendapatkan rezab ini sehingga membelanjakan 75% dari keuntungan mereka untuk membeli rezab baru[11], PETRONAS adalah satu-satunya syarikat besar dunia yang mengambil pendekatan bertentangan – balik kampung tanam jagung.
- Jika keadaan ini berterusan, kita berdepan dengan keadaan PETRONAS tidak mempunyai rezab luar negara yang mencukupi untuk menggantikan rezab dalam negara, kerana kebanyakan rezab-rezab itu telah dibeli pesaing-pesaingnya.
- Sebab itu saya tidak yakin ini adalah strategi yang dinilai dengan semasak-masaknya oleh kepimpinan baru PETRONAS. Mereka yang faham dengan urus tadbir PETRONAS di bawah kepimpinan lama, faham bahawa proses menilai satu-satu strategi memakan masa yang lama, bukannya 3 bulan.
- Pertukaran strategi ini berbaur campur tangan dari Putrajaya.
- Pada tahun kewangan 2009, perbelanjaan kapital PETRONAS adalah sebanyak RM44 bilion dan menurun kepada RM37 bilion bagi tahun kewangan 2010.
- Di samping itu, PETRONAS juga menanggung kos operasi. Anggaran perbelanjaan kapital dan kos operasi bagi perniagaan carigalinya dijangkakan berjumlah RM40 bilion setiap tahun dan dibahagikan secara saksama di antara projek luar negara dan projek dalam negara.
- Oleh sebab itu, saya menuntut Perdana Menteri yang bertanggungjawab mengawal selia PETRONAS, agar berterus terang. Beliau perlu mengakui bahawa penukaran mendadak strategi PETRONAS ini ada kena mengena dengan cubaan mewujudkan kontrak yang tidak ada nilai ekonomi untuk diagihkan kepada kroni-kroni.
- Saya telah terangkan bahawa rezab-rezab yang ada di negara kita adalah kurang bermutu dan kos pembangunannya adalah lebih tinggi.
- Tetapi rezab-rezab ini juga dilihat sebagai lubuk emas oleh kroni-kroni kerana motif mereka bukanlah keuntungan kepada PETRONAS dan rakyat, tetapi untuk merompak dana PETRONAS secara besar-besaran.
- Saya juga difahamkan bahawa sebahagian besar dari rezab-rezab kurang bermutu yang akan dibangunkan ini dimiliki sepenuhnya oleh PETRONAS. Sebelum ini, ia tidak dibangunkan atas dasar kurang faedah kewangannya.
- Jadi, jika rezab-rezab ini dibangunkan, yang akan menanggung kerugian sepenuhnya adalah PETRONAS. Yang akan kaya raya adalah kroni-kroni yang diberikan kontrak-kontrak ini.
- Putrajaya tidak boleh campur tangan dalam urusan pemberian kontrak bagi rezab-rezab luar negara kerana ada wakil kerajaan asing di dalam lembaga tender yang dikendalikan PETRONAS.
- Tetapi bagi rezab-rezab dalam negara yang dimiliki sepenuhnya oleh PETRONAS, yang ada hanyalah wakil-wakil PETRONAS sahaja.
- Saya telah pun timbulkan kebimbangan ini semasa membahaskan Rancangan Malaysia Kesepuluh agar dana PETRONAS tidak diselewengkan oleh syarikat-syarikat milik kroni seperti Scomi, Kenchana dan SapuraCrest.
- Kali ini, kita minta sekali lagi Perdana Menteri untuk berterus terang dan berjanji dengan rakyat Malaysia, di Dewan Rakyat ini, bahawa pertukaran strategi secara mendadak ini tidak ada kena mengena dengan usaha mencekik PETRONAS dengan lebih teruk.
SUBSIDI GAS IPP YANG MEMBEBANKAN
- Saya ingin menyentuh sedikit mengenai langkah kerajaan secara berterusan memberikan subsidi gas kepada penjana bebas (IPP), pada ketika keuntungan PETRONAS merosot dan kedudukan kewangan negara semakin parah.
- Bagi tahun kewangan berakhir 2010, PETRONAS menanggung kos subsidi gas sebanyak RM18.9 bilion. Satu pertiga dari subsidi itu terus ke poket IPP.
- Lebih mengejutkan, PETRONAS juga terpaksa menanggung kos mengimport gas pada harga yang lebih mahal dari blok Natuna dan JDA untuk memenuhi penggunaan gas di Semenanjung Malaysia.
- Kesan buruknya berganda dan yang menjadi mangsa adalah rakyat Malaysia. Kos subsidi meningkat apabila kuantiti gas yang diimport meningkat. Pada masa yang sama, hasil jualan gas yang lebih tinggi oleh blok JDA di luar pesisir Kelantan tidak pula dinikmati oleh rakyat Kelantan kerana zalimnya Barisan Nasional menidakkan hak rakyat Kelantan.
- Kebejatan ini perlu dihentikan. Sebab itu saya alu-alukan langkah untuk memperkenalkan liberalisasi harga ke pasaran gas supaya kita dapat mengurangkan kos subsidi yang ditanggung PETRONAS.
- Namun, saya juga tidak terkejut bahawa langkah liberalisasi harga gas itu, hanya dihadkan kepada industri bukan penjana tenaga sahaja.
- Sedangkan pihak yang paling banyak menikmati keuntungan dari subsidi ini adalah penjana bebas.
- Liberalisasi harga gas yang hanya dihadkan kepada industri bukan tenaga boleh menaikkan kadar inflasi, kerana sebahagian besar industri ini terdiri dari industri kecil dan sederhana yang membekalkan barangan harian kepada rakyat.
- Maka, saya mohon kerajaan menukar pendekatan dengan menarik subsidi dari penjana bebas terlebih dahulu, sebelum memperluaskan liberalisasi tersebut ke industri bukan tenaga.
- Hanya dengan cara ini kita dapat menjamin sedikit keadilan kepada rakyat, walau pun kita tidak dapat mengembalikan berbilion ringgit wang rakyat dalam bentuk subsidi yang dicurahkan kepada penjana bebas sebelum ini.
PENUTUP
- Perkara-perkara yang ditimbulkan tidak harus dipandang enteng dan diperlekehkan kerana ia melibatkan kepentingan negara.
- Beberapa tindakan kerajaan dan kepimpinan baru PETRONAS secara jelas membelakangkan pendekatan berhemah dan bijaksana yang telah dilaksanakan oleh PETRONAS sejak sekian lama.
- Strategi yang kukuh dan terbukti berhasil inilah, yang memungkinkan tabiat boros dan buruk pimpinan negara terpaksa ditanggung oleh dana PETRONAS sekian lama.
- Kini, ada tanda-tanda bahawa kerakusan itu tidak mencukupi. Kaedah menekan PETRONAS membayar dividen yang terlampau tinggi sudah tidak memadai untuk menanggung ketamakan pihak yang berkepentingan, maka PETRONAS dipaksa mengubah strateginya agar kontrak-kontrak boleh dianugerahkan secara terus kepada kroni.
- Campur tangan ini perlu diawasi dan ditentang dengan sehebatnya. Budaya urus tadbir yang baik dan berkesan, hasil peninggalan Tan Sri Hassan Marican perlu dipertahankan kerana PETRONAS adalah terlalu berharga untuk dikucar-kacirkan oleh Barisan Nasional.
YB DATO’ SERI ANWAR IBRAHIM
Ketua Pembangkang
Layari http://pkrtgkarang.blogspot.com/
Monday, July 5, 2010
Menggantung Suara Keadilan Politik Kuna
By Anwar Ibrahim
Petang semalam saya mengumumkan perlantikan Mitchell Kapor sebagai salah seorang penasihat Negeri Selangor. Mitch merupakan tokoh yang sangat fasih dengan dunia maklumat dan teknologi. Pada paginya, acara dialog disusun bersama tokoh industri. Temanya New Frontiers in Information Technology.
Acara kedua bermula sekitar jam 3 petang bertemakan “Innovation and Entrepreneurship: Lessons Learned from Silicon Valley.”
Manakala Twitter, Facebook, Blog, Flickr dan Youtube kini semakin popular, kita sewajarnya memahami filsafat yang mendasari wadah maklumat tersebut. Ianya berkisar keterkaitan atau perhubungan antara satu sama lain. Maklumat semakin pantas menembusi ruang-ruang yang 10 tahun dahulu dirasakan mustahil. Kini maklumat begitu mudah dicapai, disebarkan dan dinilai oleh khalayak.
Masyarakat industri maklumat dan teknologi pastinya arif dengan Sumber Terbuka(Open Source). Ciri ini mustahak agar maklumat tidak dihadapkan dengan krisis monopoli dan otoritarian sekaligus memastikannya sentiasa demokratik. Usaha mengekang maklumat merupakan upaya kuna dan hanya mengakibatkan sesuatu negara dan masyarakat ditimpa malang ketinggalan. Apa tidaknya, maklumat kini adalah enjin utama memacu ekonomi dan politik.
Namun demikian hari ini, tatkala anak-anak muda asyik menelaah rencana dari Technological Review dan Monocole serta senantiasa melayari Wikipedia untuk mengetahui perkembangan terkini, pentadbiran Dato’ Sri Najib masih jauh ketinggalan dan terikut rentak yang bertentangan. Hari ini tatkala kita meraikan “Open Source,” Kementerian Dalam Negeri mengambil keputusan menggantung permit Suara Keadilan.
Tindakan ini jelas membuktikan perubahan bukanlah agenda utama pimpinan Umno-Barisan Nasional. Apabila dihimpit tekanan, kuasa kuku besi akan digunakan demi memasung kebenaran. Bagaimanapun pastinya berita ini tidak mengejutkan. Ini merupakan regim lama yang mewarisi politik lama. Perubahan adalah mustahil kerana mereka tidak pernahpun mendakapnya.
ANWAR IBRAHIM
Friday, July 2, 2010
Semangat Musyawarah Teras Utama KEADILAN
KENYATAAN MEDIA
Semangat musyawarah menjadi teras utama dalam proses membuat keputusan di dalam Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN). Program TemuRapat (retreat) KEADILAN yang telah berlangsung pada 26 – 27 Jun, di Hotel Quality, Shah Alam, Selangor, telah membuktikan bahawa KEADILAN sangat iltizam dengan prinsip musyawarah. Amalan tersebut bertepatan dengan perintah Allah (SWT) seperti yang termaktub di dalam al-Qur’an:
“..Dan juga bermesyuaratlah dengan mereka dalam urusan peperangan dan keduniaan. Kemudian apabila kamu telah berazam (sesudah mesyuarat untuk membuat sesuatu), maka bertawakallah kepada Allah (SWT), Sesungguhnya Allah Maha Mengasihi orang-orang yang bertawakkal kepadaNya.” (Surah Ali ‘Imran: 159).
“Berikan pandangan kamu semua kapada Aku.”
Soal kedudukan TSKI sebagai Menteri Besar Selangor tidak pernah timbul sama sekali. Tidak ada sebab untuk TSKI digantikan dengan orang lain sebagai Menteri Besar Selangor. TSKI akan terus diamanahkan dengan tugas memimpin kerajaan negeri. Tempoh dua tahun yang lalu telah membuktikan kemampuan bekas tokoh korporat yang berwibawa ini mentadbir negeri Selangor dengan cekap, telus dan amanah. Kerajaan negeri Selangor di bawah kepimpinan beliau terbukti cemerlang dan bebas dari gejala salahguna kuasa yang sangat sinonim dengan kerajaan terdahulu. Pemimpin dan anggota parti di segenap peringkat memberikan sokongan yang tidak berbelah bahagi terhadap TSKI sebagai Menteri Besar Selangor.
Bagi memperkukuhkan agenda parti dalam menghadapi pilihanraya umum yang akan datang, KEADILAN telah memilih seorang Naib Presiden kanan parti yang sangat berpengalaman, YB Azmin Ali, sebagai Pengerusi MPN Selangor. Sdra Azmin Ali bertanggungjawab terhadap pengurusan jentera parti di peringkat negeri Selangor. Jentera parti akan diperkemaskan untuk menangkis fitnah dan serangan jahat Barisan Nasioanal yang semakin menjadi-jadi mutakhir ini. Jentera parti juga akan diperkukuhkan sebagai langkah utama menuju ke Putrajaya.
Pengagihan tugas di antara memimpin kerajaan dan mengemudi jentera parti bukanlah sesuatu yang asing. Amalan ini berlaku di mana-mana, samada di dalam atau pun luar negara. Malah amalan ini turut dianuti oleh UMNO yang seringkali melakukannya bagi mengatasi keberantakan yang berlaku di kalangan ahli mereka.
Perhubungan UMNO Terengganu kini diketuai Dato Seri Hishamuddin walaupun kerajaan negeri sekarang ini dipimpin oleh Dato Ahmad Said. Tidak lama dahulu Tan Sri Muhammad Taib dilantik sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor walaupun Dato Seri Khir Toyo yang menjadi Menteri Besar. Di luar negara pula kita melihat kerjasama yang erat di antara parti dan kerajaan walaupun dipimpin oleh orang yang berbeza seperti yang berlaku di England, India, Amerika Syarikat dan banyak lagi. Malah amalan demokrasi di negara-negara berkenaan berkembang dengan sangat baik dan matang.
KEADILAN sebenarnya sangat maklum dengan mainan jahat Barisan Nasional melalui media yang dikuasai oleh mereka. Pelbagai cerita karut marut dihidangkan kepada rakyat. Mereka sangat berharap fitnah jahat ini akan dapat mengganggu gugat keutuhan kerajaan pimpinan Pakatan Rakyat. Malang bagi BN, sehingga ke hari ini, sokongan rakyat terhadap Pakatan Rakyat terus meningkat. Semangat anggota parti komponen juga tidak sama sekali terkesan oleh segala pembohongan tersebut.
Tarikh : 29 Jun 2010Prof Madya Dr Muhammad Nur ManutyAhli Majlis Pimpinan PusatPengerusi Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama (BIPPA)