Sunday, July 25, 2010

Hentikan Kezaliman, Tegakkan Keadilan: Penyelesai Isu Perpaduan Melayu dan Islam.

Hentikan Kezaliman, Tegakkan Keadilan: Penyelesai Isu Perpaduan Melayu dan Islam.

Untuk kesekian kalinya, isu perpaduan Melayu ditonjolkan oleh UMNO lagi. Parti yang bernafas lama hasil luapan sentimen perkauman ini amat menyedari bahawa kedudukan politiknya adalah semakin terdesak dan terancam. Sokongan orang Melayu terutamanya generasi muda semakin menurun. Sokongan orang bukan Melayu pula kini amat terhakis. Gelombang sokongan rakyat di Sabah dan Sarawak jelas sudah beralih kepada Pakatan Rakyat. Lantaran, UMNO sedang menggunakan politik michevelli yang dianutinya. Isu perpaduan Melayu dikumandangkan lagi sebagai strategi perang psikologi memecahbelah Pakatan Rakyat. Ini dilakukan selepas gagal menggunakan fitnah ‘liwat’, membeli wakil-wakil rakyat PR dan menuduh Anwar Ibrahim sebagai pengkhianat Melayu, agen Yahudi, CIA dan Amerika Syarikat serta berbagai tuduhan lagi. Dalam masa yang sama media penyampai maklumat kepada rakyat cuba disekat dengan harapan ‘psywar’ yang dilancar ini menjadi.

Sebenarnya, perpaduan yang dijaja ini hanyalah untuk menyelamatkan politik UMNO itu sendiri. UMNO ditolak rakyat bukan kerana perpecahan kepimpinan Melayu. Ia diakibatkan oleh segala kemungkaran dan kezaliman yang dilakukan oleh mereka sendiri. Segala khazanah negara sedang di ‘faraid’ sesama sendiri dengan pelbagai cara. Tabung simpanan felda susut teruk dan yang terbaru ini harta Petronas pula sedang dikeringkan. Seluruh instrumen pentadbiran negara telah dikembirikan demi menjaga survival UMNO. Ekonomi negara sedang menguncup dan para pelabur semakin menjarak diri dari kita. Kehidupan rakyat semakin tertekan dan tersepit. Kita semakin bimbang bagaimana nanti rakyat miskin di bandar-bandar dan luar bandar terutama di Sabah dan Sarawak dapat meneruskan kehidupan mereka yang sudahpun sengsara sekian lama. Menyedari rakyat semakin meminggirkannya, UMNO melagang isu perpaduan Melayu.


Hakikatnya, pelbagai agenda perpaduan politik Melayu telahpun dicuba sebelum ini. Namun, semuanya berakhir dengan kegagalan. Paling jelas, gabungan PAS dan UMNO di dalam Barisan Nasional pada tahun 1971 berkesudahan PAS di tendang keluar dari BN. Kegagalan ini mencetuskan percubaan bentuk baru oleh Anwar Ibrahim, apabila beliau dan rakan-rakannya dari ABIM berijtihad untuk aktif dalam UMNO. Ia berakhir dengan satu kemelut besar yang paling menyayat hati dalam sejarah politik Melayu Islam. Beliau disingkir dari jawatannya sebagai Timbalan Perdana Menteri dan Timbalan Presiden UMNO secara cukup hina dan mengaibkan. Tidak pernah berlaku dalam sejarah Melayu seorang pemimpin hebatnya dijatuhkan dengan fitnah ‘liwat’ seperti ini. Begitu pelik dan luarbiasa, namun ia boleh berlaku di dalam budaya politik UMNO.

Jelaslah, perpecahan politik Melayu tetap berlaku meskipun para pemimpinnya berada dalam wadah yang sama, sama ada UMNO atau BN. Lupakah kita dengan peristiwa pembunuhan Allahyarham Dato Mohd Taha di Gemencheh Negeri Sembilan? Apakah kita lupa dengan pergolakan politik di antara Team A dan B di dalam UMNO hingga menyebabkan UMNO di bubarkan pada tahun 1987 dan kemudiannya mengakibatkan tertubuhnya UMNO Baru dan Parti Semangat 46? Meskipun kemudiannya Parti Semangat 46 dibubarkan dan kembali bergabung di dalam UMNO, namun isu perpaduan Melayu tidak juga berkesudahan. Malah, penggabungan Semangat 46 ke dalam UMNO seakan-akan sengaja dirancang sebagai persediaan untuk mencipta krisis baru politik Melayu dengan peristiwa penyingkiran DSAI dari UMNO beberapa kemudiannya.

Bagaimana mungkin UMNO mengemudi perpaduan Melayu sedangkan perpaduan itu tidak wujud dalam tubuh badannya sendiri? UMNO kini adalah bagai enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing. UMNO umpama sebuah bangunan yang kelihatan besar dan hebat, sedangkan segala tiang, rasuk dan gelegarnya telahpun hancur luluh dimakan bubuk dan anai-anai. Ia bakal runtuh bila-bila masa sahaja. Dengan pelbagai perkembangan mutakhir yang berlaku, kita meramalkan satu krisis baru yang amat menggemparkan akan berlaku di dalam kepimpinan UMNO tidak berapa lama lagi. Percayalah!

Perjuangan para pemimpin UMNO bukanlah untuk menegakkan agama dan keadilan kepada rakyat. Asas perjuangan mereka adalah kecintaan kepada dunia dan ketakutan kepada mati. Maka, amalan rasuah, kronisme, penipuan, khianat, memfitnah sesama sendiri dan jatuh menjatuhkan merupakan suatu kemestian demi merebut dan mengekalkan kuasa. Dana dan sumber negara di mana jua akan diperah dan khianati semahunya. Maka judi sukan yang jelas haram menjadi halal demi memperkayakan mereka yang sudah kaya dan menjadikan rakyat yang miskin semakin papa kedana.

Hakikatnya, perpaduan sejati apa jua kelompok tidak akan wujud apabila tiadanya nilai-nilai teras yang merealitikan perpaduan itu iaitu keikhlasan, kejujuran dan keadilan serta saling menjaga rukun dan adab dalam muamalah dan perhubungan. Inilah yang dapat kita fahami dari firman Allah yang bermaksud:

“Dan berpegang teguhlah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah dan jangan bercerai-berai…..” (Ali-Imran: 103)

Isu perpaduan Melayu dan survival Islam di Malaysia ini tidak akan dapat diselesaikan jika kita masih melihatnya melalui teropong UMNO dan para kuncunya. Ia perlu dikaji dari perspektif baru dalam fenomena baru realiti politik berasaskan demokrasi di Malaysia. Jika UMNO benar-benar ikhlas, hentikan segala kezaliman, penindasan dan kemungkaran yang diamalkan selama ini. Suburkanlah iklim demokratik di Malaysia berasaskan perlembagaan negara yang ada. Wujudkan ruang persaingan yang terbuka dan sihat dan berasaskan syariat yang ditetapkan Islam. Ini akan menjadikan kita lebih kreatif dalam usaha menyampaikan khidmat yang terbaik untuk seluruh rakyat tanpa mengira kaum dan agama berasaskan kebenaran dan keadilan. Dengan ini Islam yang murni akan lebih terserlah. Barisan kepimpinan Islam yang bertaqwa, bijaksana dan adil akan dapat dilahirkan. Masyarakat bukan Islam akan lebih memahami Islam dan melihatnya secara objektif dan tepat. Perkara ini sedang menjadi kenyataan. Masyarakat bukan Islam tidak lagi menjadi fobia kepada Islam apabila bersedia mengundi parti Islam di dalam pilihanraya, selepas sekian lama, UMNO telah menjadikan segala berunsur Islam sebagai momokan kepada mereka. Perkembangan inilah yang amat menggerunkan UMNO sekarang ini, lantas menjadikan slogan perpaduan Melayu sebagai gendang perang terakhir sebelum terus tumbang di telan gelombang rakyat yang menuntut keadilan.

24 Julai 2010

DR MUHD NUR MANUTY

Pengerusi

Biro Pemahaman & Pemantapan Agama

Parti KeADILan Rakyat


Layari http://pkrtgkarang.blogspot.com/

No comments:

Post a Comment