KENYATAAN MEDIA
16 Disember 2011
KEADILAN: MANSUH, BUKAN PINDA AKTA UNIVERSITI DAN KOLEJ UNIVERSITI
Keputusan Mahkamah Rayuan November lalu bahawa AUKU bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan merupakan satu keputusan yang benar-benar bersejarah.
Di dalam responsnya, Perdana Menteri Najib Razak mengumumkan bahawa Seksyen 15 AUKU akan dipinda untuk membenarkan mahasiswa aktif di dalam parti politik. Namun di dalam ucapan yang sama, PM mengumumkan politik tetap akan diharamkan daripada kampus.
Malangnya cadangan pindaan AUKU ini nampaknya sama seperti kegagalan agenda transformasi Najib selama ini seperti yang kita lihat di dalam reformasi ISA dan Akta Perhimpunan Aman – pengumuman yang Nampak berani pada mulanya tetapi apabila diteliti secara dekat Nampak berani tetapi sebenarnya meneruskan dasar-dasar lapuk yang sedia ada.
Kita lihat sahaja kekeliruan respons terhadap isu ini sendiri oleh anggota kabinet Najib sendiri serta pentadbir-pentadbir university yang berakhir dengan penangkapan 15 mahasiswa daripada Solidariti Mahasiswa Malaysia yang mengadakan flash mob di KL Sentral bagi membantah AUKU.
KEADILAN telah dijemput untuk turut serta di dalam Sidang Meja Bulat mengenai pindaan AUKU yang dianjurkan oleh Saifuddin Abdullah, Timbalan Menteri II Pengajian Tinggi. Kami akan diwakili oleh Nik Nazmi Nik Ahmad dan input kami akan berasaskan pendirian berikut.
Seksyen 15 sebenarnya hanya merangkumi kebebasan berpersatuan mahasiswa.
Tetapi, seksyen-seksyen lain yang sebenarnya:
a) membolehkan pemusatan kuasa pentadbiran universiti di Malaysia, termasuk perlantikan naib-naib canselor oleh Menteri;
b) mengadakan prosedur disiplin yang tidak adil bagi kesalahan-kesalahan di bawah AUKU;
c) menyekat kuasa Majlis Perwakilan Pelajar.
Kebebasan akademik sudah mati selama empat puluh tahun di Malaysia. Hanya dengan memansuhkan AUKU, budaya ketakutan yang sudah berakar umbi di universiti-universiti negara kita dapat diatasi.
PM mesti menunjukkan keazaman politik jika beliau benar-benar serius tentang kebebasan dan kecemerlangan akademik dengan memansuhkan AUKU keselurhannya dan memperkenalkan undang-undang baru yang menjamin otonomi universiti, pensyarah dan mahasiswa.
Pada masa yang sama, kami mahukan negeri-negeri Pakatan yang menguasai universiti dan kolej tertentu untuk menunjukkan komitmen yang lebih mendalam kepada kebebasan akademik. Mahasiswa kritikal di dalam cara Kerajaan Negeri Kedah menghadapi isu Kolej Universiti Insaniah dan bagaimana Kerajaan Negeri Selangor tidak mengambil tindakan terhadap cadangan menjadikan Universiti Selangor sebagai institusi bebas-AUKU dari segi semangatnya.
Komitmen kita untuk memansuhkan AUKU dan mengembalikan kebebasan akademik sudah wujud sekian lama dan tekandung di dalam Buku Jingga. Kita harus berbuat demikian di negeri-negeri Pakatan dan terus mendesak perkara yang sama daripada pentadbiran Najib sehingga universiti-universiti kita benar-benar bebas dan menjadi simbol kecemerlangan seperti suatu ketika dahulu.
NURUL IZZAH ANWAR (NAIB PRESIDEN)
SHAMSUL ISKANDAR MD AKIN (KETUA ANGKATAN MUDA)
NIK NAZMI NIK AHMAD (PENGARAH KOMUNIKASI)
Layari http://pkrtgkarang.blogspot.com/
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment