Sunday, December 23, 2012

Ustaz Rahmat Safie Tokoh Budaya Kuala Selangor Dalam Jelajah Budaya Selangor

Ustaz Rahmat Safie Tokoh Budaya Kuala Selangor Oleh Razali Endun Tanjung Karang, 15 Disember – Ustaz Rahmat Safie, 71 tahun, seorang penulis khat, telah dianugerahkan sebagai Tokoh Budaya Daerah Kuala Selangor, dalam suatu majlis yang agak luar biasa pernah diadakan. Beliau adalah di antara 11 orang tokoh budaya di daerah Kuala Selangor yang disenarai pendekkan sebagai calon penerima anugerah tersebut oleh sebuah jawatankuasa pemilih. Anak kelahiran Jeram tahun 1941 ini pernah menjadi guru agama selama 38 tahun sebelum bersara pada tahun 2001. Beliau juga pernah mengajar di Kajian Seni Lukis dan Seni Reka, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam. Majlis penganugerahan ini dianggap suatu peristiwa luar biasa kerana ia merupakan sebahagian daripada acara Malam Jelajah Budaya, yang dibuat bersama dengan suatu majlis perkahwinan, di rumah Torin bin Pejoh, Kampung Seri Tiram Jaya, Tanjung Karang. Dengan persetujuan tuan kenduri (Torin bin Pejoh), majlis perkahwinan itu digabungkan dengan program Jelajah Budaya Selangor siri ketiga, anjuran bersama Seniman Paksi Rakyat (Paksi) dengan Pusat Khidmat Penyelaras DUN Permatang (Hj Yahya Sahri), dan Kerajaan Negeri Selangor. Menurut Presiden Paksi, Shamsudin Othman atau lebih dikenali Dinsman, seingatnya inilah julung-julung kali pernah diadakan persembahan seni-budaya dalam majlis kenduri kahwin. Selama dua hari pada 14 dan 15 Disember, Paksi berkampung di rumah Torin bin Pejoh, bagi mengisi misi Jelajah Budaya mereka. Pada pagi Sabtu, para jemputan dihidangkan dengan nyanyian nasyid oleh kumpulan Dhuha yang dipimpin oleh Ustaz Shazly Abdullah, bekas imam masjid KLCC. Turut diadakan pada pagi itu ialah pertandingan mewarna di kalangan kanak-kanak tempatan antara 6-12 tahun. Sebelum itu, Prof Dr Shaharil Mohd Zain telah menyampaikan kuliah maghrib bertajuk “Bagaimana kini al-Quran menjadi sumber ilmu”, bertempat di surau Ehsaniah kampung tersebut. Diikuti selepas isyak malam Jumaat itu dengan persembahan teater “Menunggu Kata Dari Tuhan’ karya Dinsman, yang disampaikan dalam versi bercerita, oleh Bob Lokman. Persembahan bersahaja ini dibuat di rumah Torin bin Pejoh. Malam Jelajah Budaya ialah kemuncak kepada program dua hari tersebut. Ia diisi dengan persembahan muzik dan deklamasi puisi. Dua kumpulan muzik yang membuat persembahan menghiburkan malam itu ialah kumpulan Warisan Cempuling dari Bukit Kapar, Klang; dan kumpulan ghazal Gambus Warisan, Tanjung Karang. Turut menghiburkan malam itu ialah persembahan Kompang Berirama dari Bukit Belimbing, mengiringi upacara pengantin bersanding, yang juga menjadi sebahagian acara Malam Jelajah Budaya. Seramai lima orang penyaer mengisi slot pembacaan sajak. Mereka ialah Razali Endun dengan sajaknya ‘Kampungku’; Pyanhabib dengan sajaknya ‘Surat kepada PM’; Dinsman dengan sajaknya ‘Apakah yang kita cari pada puisi’; Ahkarim (dari Kedah) dengan sajaknya berjudul ‘Pisau’; dan seorang gadis deklamator tempatan. Kemuncak acara malam itu ialah pengumuman dan penyampaian anugerah Tokoh Budaya Daerah Kuala Selangor, yang disampaikan oleh Hj Yahya Sahri, Penyelaras Pusat Khidmat DUN Permatang. Penerima anugerah, Ustaz Rahmat Safie membawa pulang wang tunai RM1,000 bersama sijil dan plaq. Beliau merupakan budayawan yang ketiga dipilih untuk anugerah tersebut. Budayawan pertama yang telah dipilih ialah pelakon veteran Ruminah Sidek, sebagai Tokoh Budaya Daerah Klang; manakala tokoh kedua ialah penyair-pelukis terkenal Prof Dr Siti Zainon Ismail, sebagai Tokoh Budaya Daerah Gombak. Program Jelajah Budaya Selangor dengan tema “Ilmuwan Budaya Bersama Rakyat” adalah dalam siri penjelajahannya ke sembilan daerah di negeri Selangor. Program ini diusahakan oleh Seniman Paksi Rakyat (Paksi) dengan mendapat kerjasama sepenuhnya Kerajaan Negeri Selangor. Tujuannya selain membudayakan rakyat ialah menyemai keilmuan, supaya rakyat mendekati dan memahami konsep dan pengertian budaya itu dalam erti yang lebih luas.
Layari http://pkrtgkarang.blogspot.com/

No comments:

Post a Comment