Monday, November 16, 2009

KONVENSYEN KEADILAN SELANGOR

Hujung minggu ini jadual saya padat dengan acara Konvensyen KEADILAN di Ipoh, Shah Alam dan Kota Bharu. Sebelum ke Ipoh, sempat saya meluangkan masa melawat Permatang Pauh.
Pagi tadi di Shah Alam, saya sampaikan ucaptama di Konvensyen KEADILAN. Antara intipati ucapan, ditekankan Selangor adalah “pengkalan” penting merealisasikan agenda Perubahan KEADILAN dan Pakatan Rakyat.

Oleh itu ahli mesti beriltizam dengan agenda parti. Mereka adalah agen perubahan yang seharusnya meresap sehingga ke akar umbi dan seterusnya menjadi penyambung lidah serta penyampai dasar pentadbiran Pakatan Rakyat.

Justeru ahli mesti memberi sokongan tidak berbelah bahagi kepada kepimpinan parti baik di peringkat pusat mahupun negeri dengan maksud menjayakan cita-cita perjuangan.

Saya ulangi teguran bahawa tidak ada kompromi terhadap mereka yang melanggar disiplin parti dan perjuangan. Kepada mereka yang angkuh seolah olah diri lebih utama dari perjuangan, silakan sahaja mengundur diri. Perjuangan ini dibina dari keringat dan air mata mereka yang teguh kepada prinsip perjuangan; untuk menegakkan Keadilan buat semua, merentasi batas kaum dan kepercayaan.

Adalah tanggungjawab kita semua; ahli parlimen, adun, senator, ahli majelis dan pendokong untuk memastikan hala tuju parti tidak tersasar. Perjuangan ini adalah untuk memerdekakan bangsa dari terus diperintah regim lemah dan gagal mengagihkan kekayaan secara adil.
Marilah kita bersama sama merenung nasihat ini: “kemerdekaan berkehendak juga kepada pengetahuan, tetapi kita tidak percaya bahawasanya pengetahuan yang ditaburkan…ada mengandungi benih kemerdekaan itu.”

Kata kata tersebut dimuatkan dalam majalah Seruan Azhar yang mulai terbit pada tahun 1926 di Mesir, inisiatif pelajar-pelajar Melayu. Benar, ianya bertujuan menyemarakkan kemahuan menambah ilmu untuk memerdekakan bangsa dari penjajah asing. Walaupun begitu kata kata tersebut masih membekas manakala nasib bangsa seolah olah masih diperintah regim penjajah.
Segenap lapisan pendokong, baik kepimpinan ataupun aktivis di cabang, mesti mempunyai kefahaman dan kesedaran mengenai apa yang kita perjuangkan. Cara berfikir dan bertindak pendokong tidak boleh sama sekali mirip umno-barisan nasional.

Penyelewengan kuasa serta budaya rasuah harus segera dibanteras. Pembudayaan rasuah yang melahirkan generasi kebergantungan dan mentaliti subsidi tidak akan memangkin Perubahan, jauh sekali kemenangan.

Wahai ananda cahaya mata,
Kokohkan tegak jangan beralih,
Manfaatkan segala sendi anggota,
Kemampuan sendiri jadikan benih.

Kepimpinan juga mestilah tidak mengabaikan kebajikan pendokong dan penyokong. Tanpa mereka parti ini akan gagal berfungsi sekaligus menggagalkan cita-cita perjuangan. Pengorbanan mereka tidak harus dipandang remeh. Keberanian dan kesetiaan menempuh saat-saat sukar akan dihargai dan diingati.
Kalau kuncup sudah mengembang
Banyaklah kumbang datang menyeri
Kalau hidup berkasih sayang
Tuahnya merata di seluruh negeri
ANWAR IBRAHIM
Layari http://pkrtgkarang.blogspot.com/

No comments:

Post a Comment