Monday, November 9, 2009

MENGILAP HARAPAN RAKYAT

09 Nov
Menggilap Harapan Rakyat
“Tidaklah kami mahu melainkan untuk melakukan islah sekuat daya kami.”
Petikan ayat ke-88 dari Surah Hud di atas menjadi pembuka kata Perisytiharan Permatang Pauh yang telah sama-sama kita lafazkan pada tanggal 12 September 1998.
Agenda Reformasi yang menjadi asas perjuangan Parti Keadilan Rakyat (KeADILan) hari ini bukanlah untuk menyanjung dua tiga kerat pimpinan yang dipilih tetapi untuk mengangkat harapan rakyat yang dahagakan perubahan.
Bertemakan “Menggilap Harapan Rakyat”, Konvensyen Negeri di Pulau Pinang memulakan siri konvensyen negeri KeADILan di seluruh negara.
Saya membawa ingatan semua yang hadir agar kembali kepada Perisytiharan Permatang Pauh akan dasar dan asas perjuangan Reformasi yang telah kita mulakan lebih 10 tahun dulu.
Komitmen dan kesetiaan kita kepada asas prinsip perjuangan parti kita – yang berjuang dengan gagasan Ketuanan Rakyat dan keadilan sejagat serta mendukung cita-cita negara bangsa Malaysia yang berbilang bangsa dan agama – harus digarap dan dihadam oleh setiap pimpinan dan aktivis parti.
Saya juga dengan tegas memberikan amaran kepada seluruh anasir-anasir ‘pengacau’ dalam parti yang gagal untuk patuh pada disiplin dan ideologi parti, mereka harus undur sebelum disingkir.
Turut diingatkan tentang tipu daya parti pemerintah yang begitu ghairah melaungkan slogan 1Malaysia – kononnya membela rakyat seluruhnya tetapi hakikatnya masih terus membiarkan rasuah berleluasa, ketirisan perbelanjaan yang makin parah, sistem kehakiman yang nazak menanti ajal dan kezaliman serta salahguna kuasa yang terus menekan kehidupan rakyat.
Hak rakyat di negeri-negeri Pakatan terus dinafikan. 1Malaysia hanyalah sekadar slogan lunak dan enak bak madu namun di dalamnya terlarut racun bisa yang busuk, jijik dan meloyakan.
Saya menyeru seluruh pimpinan untuk sama-sama mengembleng tenaga dan upaya untuk terus komited dan setia dalam perjuangan Reformasi ini.
Semangat perjuangan baru perlu terus dicari. Anak muda mesti berani untuk terus melawan rasuah dan salahguna kuasa. Wanita srikandi Reformasi perlu bersungguh meraih sokongan dan menyampaikan mesej perjuangan yang kita bawa. Reformasi harus terus!
Di akhir pidato, saya lontarkan pantun ini buat hadirin:
Telur tembakul disimpan rapi,Sekian lama sudah kempunan;Akan kuredah lautan api,Asal rakyat memberi perkenan.
ANWAR IBRAHIM
Layari http://pkrtgkarang.blogspot.com/

No comments:

Post a Comment