Sabtu Disember 11, 2010
60% Pengundi Berdaftar Tidak Tinggal Di Tempat Mereka mengundi - SPR
Oleh MOHD AL QAYUM AZIZI
KUALA LUMPUR: Satu kajian secara rambang yang dibuat oleh Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) mendapati lebih 60 peratus daripada pengundi berdaftar di negara ini tidak bermastautin mengikut alamat dalam kad pengenalan mereka.
Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, perkara itu telah menyebabkan apabila tiba pilihan raya semua akan balik ke kampung halaman untuk mengundi.
Bagaimanapun menurutnya, perkara itu tidak menjadi kesalahan dalam SPR tetapi perlembagaan ada menyatakan pengundi mesti mengundi di tempat mana mereka menetap.
"Pada pihak SPR itu bukan masalah dan perkara itu sebenarnya terletak pada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN)," katanya ketika ditemui selepas selesai rakaman rancangan Bicara Rakyat terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM) di sini, Jumaat.
Dalam pada itu, Abdul Aziz turut menjelaskan dakwaan sesetengah pihak bahawa kononnya pengundi tidak bermastautin ini adalah pengundi hantu.
Katanya, mereka ini sebenarnya bukanlah pengundi hantu.
"Ingin saya tegaskan pengundi hantu sebenarnya tidak wujud. Mereka adalah pengundi berdaftar yang sah dan tidak tinggal di tempat mengundi...itu saja," katanya.
Ujar beliau, jika terdapat pengundi hantu pihak SPR akan dapat mengesan kewujudan mereka kerana sistem maklumat sedia ada sentiasa di kemas kini.
Menyentuh mengenai pilihan raya Sarawak yang dijangka bakal diadakan pada waktu terdekat, Abdul Aziz memberitahu, persiapan telah dilakukan dengan teliti dan sehingga kini pihaknya telah 90 peratus sedia.
"Kita cuma sedang menunggu bajet untuk menjalankan semua persiapan yang telah dilakukan," katanya.
Bagaimanapun, Abdul Aziz berkata, tempoh untuk mengadakan pilihanraya di negeri Sarawak masih panjang iaitu sehingga Julai tahun hadapan.
"Yang penting sebelum Julai kerana itu adalah tempoh akhir," katanya ringkas.
Pada rakaman itu, Abdul Aziz turut menyeru kepada semua pengundi yang layak untuk mendaftar sebagai pengundi supaya berbuat demikian sebelum hujung tahun ini bagi memudahkan pihak SPR untuk memproses semua permohonan menjelang.
Layari http://pkrtgkarang.blogspot.com/
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment