Sunday, January 30, 2011

Islam menganjurkan kepada umatnya untuk menjunjung kesamaan, keadilan dan karamah insaniah.

Islam menganjurkan kepada umatnya untuk menjunjung kesamaan, keadilan dan karamah insaniah.
Karamah insaniah ini pernah dinukil oleh Ibnu Qutaibah malahan dipetik pula oleh salah seorang dari enam pemikir zaman Renaissance iaitu Pico Della Mirandola. Islam meletakkan peranan manusia sebagai khalifah al ard ( God’s Vicegerent on Earth). Malahan ini ditegaskan pula dalam ayat 4 Surah At-Tiin “laqad khalaqna al-insana fi ahsani taqwim” (Sesungguhnya Kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya)
 
Pesan al Quran juga menganjurkan agar kita umat manusia tidak mendatangkan keburukan di muka bumi. Sekiranya kita meneliti Maqasid al Syariah, terdapatnya lima perkara yang wajib dilindungi, antaranya, nyawa, agama dan juga harta benda.
 
Berpandukan kepada maqasid ini, seruan jihad misalnya bolehlah ditumpukan untuk membangun satu sistem yang berusaha menjamin Keadilan, menggalakkan pembangunan yang seimbang dan antara yang mustahak, iaitu satu upaya membasmi kemiskinan.
 
Sejajar juga dengan konsep maqasid ini, adalah suatu yang menjadi keutamaan buat kita memastikan keharmonian, maslahat dan kesejahteraan masyarakat di Malaysia. Adalah salah bagi saya sekiranya agama digunakan untuk memeras atau menakut-nakutkan mereka yang bukan beragama Islam. Bukankah antara mesej penting ajaran Islam itu ianya Rahmatan lil Alamin.
 
Kita boleh menyorot penyebaran ajaran Islam di Indonesia. Bagaimana Wali Bersembilan(Wali Songo) menyampaikan dakwah tanpa menumpahkan darah. Antara yang terkenal pastinya Sunan Bonang, yang menyampaikan dakwahnya melalui hiburan rakyat.
 
Ini boleh dikatakan contoh penggarapan kaedah dakwah (uslub dakwah) yang sensitif dan berusaha memahami waqi’ dan juga zaman. Inilah mustahaknya Maqasid, peri pentingnya maqasid dijelaskan oleh Imam Abu Ishaq al-Shatibiy bahawa ia adalah arwah al-a`mal. Ertinya, bersyariat tanpa maqasid adalah beragama tanpa ruh. Umat Islam seharusnya bergerak dari titik ini demi memaknai pesan Quran yang menjamin pembinaan masyarakat yang makmur, demi kemaslahatan rakyat keseluruhan dan menjamin Keadilan untuk semua.

Demokrasi dan masyarakat majmuk
 
Sewajarnya tidak muncul kekeliruan bahawa Demokrasi itu merupakan suatu yang bertentangan dengan Islam. Sungguhpun kitab fiqh, tawarikh mahupun kenegaraan tidak menyebut Demokrasi sebagai satu sistem yang baik dan wajib diamalkan oleh umat Islam, namun dari sudut ruh-nya, Islam tidak lah menolak sesuatu yang baik itu diamalkan oleh umatnya.

Kita janganlah cepat terperangkap dengan retorika-retorika yang kuat dibaluti sentimen anti Barat yang mana akhirnya menyebabkan kita menolak Demokrasi. Saya tidaklah pula menegaskan Demokrasi sebagai suatu sistem yang terbaik dan tidak akan ada suatu sistem yang lebih baik selepas ini. Retorika dekan 90an oleh Fukuyama kononnya selepas kejatuhan Soviet Union, yang terbaik dan akan terus berkekalan adalah Demokrasi Liberal merupakan satu bentuk pemikiran yang ekstrem jua. Tesis The End of History sudah lama ditolak malahan oleh penulisnya sendiri.

 Inilah pentingnya maqasid untuk memangkin usaha agar fiqh tidak terperangkap beku. Manakala adalah baik buat kita menyorot sejarah ketika negara Indonesia yang baru merdeka, tokoh seumpama Almarhum Pak Natsir yang bersama-sama dengan pergerakan dan tokoh lainnya mendirikan sebuah negara yang mengamalkan Demokrasi. Eksperimen tahun 1950an inilah yang menarik perhatian sarjana seumpama Herbert Feith yang pernah menulis “The Decline of Constitutional Democracy in Indonesia.”
 
Turki boleh menjadi contoh kepada negara Muslim lainnya. Turki pantas mengejar negara-negara lainnya dari sudut ekonomi dan pada masa yang sama pemimpin negara itu berteguh memegang kepada ajaran Islam. Turki juga menjadi ibrah kepada umat Islamnya bahawa perlaksanaan Demokrasi berupaya menjadi wahana buat kita berusaha membawa mesej Islam, Rahmatan lil Alamin itu.
 
Di Indonesia dan Turki, parti-parti yang menjadikan Islam sebagai teras, kuat dan istiqamah menganjurkan pembanterasan rasuah dan pembasmian kemiskinan. Ini merupakan penyakit yang sekian lama menjangkit umat dan negara Muslim. Di zaman ini, Demokrasi mampu menjadi wahana buat kita menyuarakan kritikan kita terhadap kezaliman yang berleluasa.

Hakikatnya di Malaysia, kita merupakan sebuah masyarakat majmuk yang terdiri dari pelbagai etnik, budaya dan kepercayaan. Kemerdekaan yang dikecapi itu hadir bersamanya suatu Perlembagaan Persekutuan yang mana, antara semangatnya mahu memperkukuh amalan Demokrasi serta menjamin hubungan antara kaum.

Walaubagaimanapun Perlembagaan Persekutuan yang kita tidak nafikan kepentingannya, bukanlah satu-satunya berperanan mempengaruhi pemikiran dan pendapat rakyat. Sisi budaya tidak dapat disisihkan. Agama misalnya masih sumber inspirasi yang berpengaruh ke atas rakyat Malaysia. Di sinilah peranan Maqasid mustahak membentuk pandangan orang-orang Melayu.

Maqasid berupaya meniupkan nafas segar kepada tafsiran fiqh kenegaraan sekaligus mengangkat subjek demokrasi dan hubungan antara kaum sebagai satu sisi masyarakat yang perlu diberi perhatian dan tidak dinafikan.
 
Maqasid mampu membangun hujah menyokong kedaulatan undang-undang, tatakelola yang baik demi memastikan rasuah disirna, hak bersuara dan pilihanraya yang bebas. Ianya juga seumpama pisau bedah yang tajam membedah rujukan klasik garapan ulama silam yang berhasrat mengangkat maksud sebenar syariah; iaitu melaksanakan keadilan untuk semua.

Kebijakan negara haruslah menumpukan untuk membawa kesejahteraan serta memastikan tiada lagi mereka yang terpinggir dan tersisih dari menikmati khazanah negara. Pemikir ekonomi dari Harvard John Kenneth Galbraith pernah menukilkan “the empowerment and public protection of the powerless”
 



Layari http://pkrtgkarang.blogspot.com/

No comments:

Post a Comment