Tuesday, January 4, 2011

Ucapan Dr M: Pindaan Perlembagaan Buang Kuasa Raja 1993

Oleh/By : DATO' SERI DR. MAHATHIR BIN MOHAMAD
Tempat/Venue : DEWAN RAKYAT, KUALA LUMPUR
Tarikh/Date : 08/03/93
Tajuk/Title : SEMASA PERBAHASAN RANG
UNDANG-UNDANG AKTA PERLEMBAGAAN
(PINDAAN) 1993
Tuan Yang di-Pertua,
Saya telah menjelaskan dengan panjang lebar pada 18
Januari 1993 mengenai tujuan Kerajaan meminda Perlembagaan
Persekutuan berhubung dengan apa yang dianggap sebagai
kekebalan atau immunity Raja-Raja, iaitu mereka tidak boleh
dihadapkan ke mahkamah biasa untuk orang ramai kerana
melakukan apa-apa kesalahan. Pindaan ini dibuat kerana
difikirkan pengecualian Raja-Raja daripada tindakan undang-
undang sudah tidak sesuai lagi dengan aliran zaman. Dengan
pindaan ini adalah dipercayai perasaan marah kepada Raja
atau Sistem Beraja dapat dielakkan kerana rakyat akan
dilindungi oleh undang-undang daripada dianiaya oleh Raja
dan dengan itu adalah dipercayai dan diharap Raja tidak akan
melakukannya. Dengan pindaan ini, perhubungan di antara
Raja dengan rakyat akan menjadi lebih teratur dengan kedua-
kedua pihak mempunyai hak-hak tertentu di bawah undang-
undang yang jelas dan bukan lagi hanya ditentukan oleh adat
yang mudah disalaherti dan disalahtafsirkan. Rakyat tidak
lagi akan marah kepada Raja kerana apa yang dilakukan oleh
Raja adalah terhad kepada peruntukan di bawah undang-undang.
Sebaliknya jika rakyat melakukan sesuatu kesalahan terhadap
Raja, maka yang akan menentukan hukum ialah pengadil atau
hakim dalam Mahkamah Khas yang akan menguatkuasakan undang-
undang biasa.
2. Setelah dibahas, Rang Undang-Undang Akta Perlembagaan
(Pindaan) 1993 telah diluluskan mengikut peruntukan
Perlembagaan dengan lebih daripada dua pertiga majoriti oleh
Dewan Rakyat dan Dewan Negara. Menurut prosedur, Rang
Undang-undang ini telah dihantarkan kepada Yang di-Pertuan
Agong untuk diperkenankan.
3. Setelah menerimanya Yang di-Pertuan Agong mengikut
Perlembagaan mempunyai dua pilihan, iaitu:
* Baginda memberi perkenan kepada Rang Undang-Undang
tersebut dalam tempoh 30 hari; atau
* Baginda memulangkan balik kepada Parlimen dengan
menyatakan mengapa Rang Undang-Undang tersebut
tidak diperkenankan untuk dipertimbangkan semula
atau diubahsuaikan oleh Parlimen.
4. Kini Yang di-Pertuan Agong telah mengembalikan Rang
Undang-Undang tersebut dengan cadangan beberapa
pengubahsuaian untuk dipertimbangkan semula oleh Parlimen.
Jika Parlimen meluluskan Rang Undang-Undang ini, sama ada
dengan pengubahsuaian atau tidak, ia akan dikembalikan
kepada Yang di-Pertuan Agong. Jika Yang di-Pertuan Agong
memperkenankannya maka ia akan menjadi sebahagian daripada
undang-undang yang sah. Jika tidak diperkenankan ia akan
menjadi sah selepas genap 30 hari.
5. Pengubahsuaian yang dibuat terhadap Rang Undang-Undang
berkenaan adalah hasil daripada beberapa perbincangan di
antara pihak Kerajaan dengan pihak Raja-Raja.
Pengubahsuaian ini disyorkan demi memperkemaskan undang-
undang berkenaan dan menjaga kehormatan Raja-Raja.
6. Pengubahsuaian ini tidak menjejaskan tujuan utama Rang
Undang-Undang Akta Perlembagaan (Pindaan) l993 yang
diluluskan oleh Parlimen, iaitu menentukan Raja boleh
didakwa di bawah undang-undang negara. Perbezaannya ialah
Raja-Raja akan dihadapkan ke Mahkamah Khas sahaja.
Peruntukan asal dalam Perlembagaan bahawa Raja tidak boleh
dihadapkan ke mahkamah biasa dikekalkan.
7. Penyesuaian ini memerlukan dua perkara yang baru
ditambah kepada Rang Undang-Undang berkenaan. Perkara yang
pertama ialah mengenai kedudukan Yang di-Pertuan Agong atau
kedudukan Raja sekiranya Baginda atau Raja menghadapi
tindakan undang-undang. Yang di-Pertuan Agong hendaklah
berhenti menjalankan fungsinya sebagai Agong apabila
menghadapi tindakan undang-undang. Begitu juga dengan Raja-
Raja Negeri. Sekiranya Raja menghadapi tindakan undang-
undang, Raja hendaklah berhenti menjalankan fungsi Baginda
dan jika didapati bersalah dan dihukum penjara lebih
daripada satu hari akan diturunkan takhta melainkan jika
Baginda diampun. Dalam tempoh Raja berhenti menjalankan
fungsi-fungsi Raja, seorang Pemangku Raja atau Jemaah
Pemangku Raja akan dilantik mengikut Perlembagaan Negeri
untuk menjalankan fungsi Raja negeri berkenaan. Bagi
membolehkan fungsi-fungsi Raja itu dijalankan oleh seorang
Pemangku Raja atau Jemaah Pemangku Raja, Jadual Kelapan
Perlembagaan Persekutuan perlu dipinda. Penyesuaian ini,
saya percaya, disyorkan oleh Raja-Raja kerana tentulah aneh
dan tidak dapat diterima oleh masyarakat dan juga oleh Raja-
Raja jika seorang Raja yang dihadapkan ke Mahkamah Khas ini
terus menjalankan tugasnya sebagai Raja atau ianya masih
terus menjadi Raja setelah dihukum oleh mahkamah dan
menjalani hukuman.
8. Mengikut peruntukan Perkara 71 Fasal 4 Perlembagaan
Persekutuan, Perlembagaan Negeri mesti mengandungi
peruntukan-peruntukan yang dinyatakan di dalam Jadual
Kelapan Perlembagaan Persekutuan. Maka selaras dengan
pindaan-pindaan yang diperbuat kepada Jadual Kelapan itu
Kerajaan Negeri juga perlu mengambil tindakan untuk meminda
Perlembagaan Negeri masing-masing supaya Perlembagaan Negeri
juga selaras dengan peruntukan Jadual Kelapan Perlembagaan
Persekutuan.
9. Adalah diharapkan Kerajaan-Kerajaan Negeri akan
menghormati keputusan Raja-Raja dan Perlembagaan Persekutuan
dengan membuat pindaan tersebut.
10. Sekiranya Perlembagaan Negeri tidak juga dipinda supaya
peruntukan Perlembagaan Negeri sejajar dengan pindaan yang
dibuat kepada Jadual Kelapan itu, maka mengikut kuasa yang
diberi di bawah Perkara 71 Fasal 4 Perlembagaan Persekutuan,
satu undang-undang boleh dibuat di peringkat Persekutuan
untuk memastikan bahawa peruntukan-peruntukan di dalam
Jadual Kelapan Perlembagaan Persekutuan itu dapat juga
dikuatkuasakan di dalam negeri-negeri. Dengan demikian kita
berharap pindaan-pindaan yang dimaksudkan itu akan
dilaksanakan oleh semua Kerajaan Negeri.
11. Pindaan yang kedua ialah sebarang tindakan ke atas
Raja-Raja tidak boleh diambil tanpa persetujuan Peguam
Negara. Ini adalah bagi menjamin Raja-Raja tidak diheret ke
mahkamah oleh pihak-pihak yang hendak memalukan Raja-Raja
atas sebab-sebab yang tidak berasas.
Tuan Yang di-Pertua,
12. Kerajaan menyokong Rang Undang-Undang pindaan yang
disyorkan dan dipersetujui oleh Majlis Raja-Raja ini kerana
ianya selaras dengan pindaan asal. Pindaan ini adalah untuk
kebaikan rakyat, Raja-Raja dan Kerajaan. Ianya memberi
keadilan kepada semua pihak dan sesuai dengan pentadbiran
negara masakini serta selaras dengan pemikiran di zaman ini
berkenaan dengan Sistem Beraja.
13. Persetujuan Raja-Raja kepada pindaan Rang Undang-Undang
ini adalah baik untuk masa depan Sistem Raja Berperlembagaan
dan Demokrasi Berparlimen negara ini.
14. Kerajaan menyanjung tinggi kebijaksanaan Raja-Raja
kerana bersetuju dengan pindaan Perlembagaan dengan
pengubahsuaian ini.
15. Dengan lulusnya pindaan kepada Rang Undang-Undang ini
kelak oleh Parlimen dan diperkenankan oleh Seri Paduka
Baginda Yang di-Pertuan Agong, kita yakin semua pihak akan
dapat menumpukan perhatian dan usaha-usaha ke arah
pembangunan dan kemajuan negara tanpa gangguan lagi.
Tuan Yang di-Pertua,
16. Perbincangan berkenaan pindaan kepada Perlembagaan
untuk memberi perlindungan undang-undang kepada rakyat
daripada sebarang tekanan atau penganiayaan oleh Raja telah
mengambil masa yang agak panjang. Kadang-kadang kita dengar
kritikan bahawa serangan terhadap Raja, tingkah-laku dan
cara hidup mereka adalah keterlaluan.
17. Sayugia diingatkan bahawa sehingga tahun 1990 tidak ada
sesiapa yang mengkritik atau menegur Raja secara terbuka.
Ini mungkin kerana adat resam orang Melayu atau kerana takut
melanggar Akta Hasutan.
18. Tetapi selepas Pilihanraya Umum 1990 perasaan marah
kepada Raja Kelantan telah meluap kerana Baginda telah
secara aktif dan terbuka berkempen bagi pihak parti bapa
saudaranya. Rakyat tidak dapat menerima bukan sahaja
perbuatan membelakangkan larangan berpolitik oleh Raja,
tetapi juga percubaan untuk menaikkan keluarga sendiri ke
jawatan tinggi -- satu jenis nepotisma yang amat berbau
feudal dan anti demokrasi.
19. Semenjak itu rakyat mula mengkritik Raja secara
terbuka. Mereka tidak berasa segan-silu lagi. Apa yang
telah dilakukan oleh Raja Kelantan ialah membuka, dengan
izin Tuan Yang di-Pertua 'a can of worms'. Malangnya bau
busuk yang keluar terlekat juga kepada Raja-Raja lain. Bak
kata pepatah Melayu kerana seekor kerbau membawa lumpur,
habis semuanya terpalit juga.
20. Kerana Raja Kelantan, adat resam dan ketakutan rakyat
kepada undang-undang telah hilang. Maka apabila berlaku
peristiwa Gomez, rakyat membuat teguran dan kritikan
terhadap Raja-Raja dengan begitu lantang. Kerajaan yang
dipilih oleh rakyat yang percaya kepada kedaulatan undang-
undang tidak dapat berdiam diri. Untuk memberi perlindungan
kepada rakyat maka pindaan telah dibuat kepada Perlembagaan
seperti dalam Akta yang dibahaskan oleh Dewan ini pada 18
dan 19 Januari 1993.
Tuan Yang di-Pertua,
21. Sepatutnya Raja Kelantan sedar dan insaf akan hasil dan
kesan penglibatannya dalam politik parti keluarganya.
Tetapi nampaknya Raja Kelantan tidak sedar dan tidak insaf.
22. Dalam usahanya untuk menolak pindaan yang telah
dipersetujui oleh Raja-Raja, Raja Kelantan telah antara lain
mendakwa bahawa persidangan Dewan yang mulia ini semasa
membahaskan Pindaan Perlembagaan pada 18 Januari 1993 adalah
tidak sah. Raja Kelantan mendakwa pula bahawa persidangan
ini pun tidak sah.
Tuan Yang di-Pertua,
23. Saya khuatir Raja Kelantan mungkin telah sekali lagi
membuka, dengan izin, satu lagi 'can of worms'. Apabila
dakwaan dibuat oleh satu pihak terhadap pihak yang lain,
pihak yang lain juga boleh melempar dakwaan yang sama.
24. Jika Dewan Yang Mulia ini didakwa tidak sah oleh Raja
Kelantan, Dewan ini juga boleh mendakwa, dengan sebab-sebab
yang berasas, bahawa mungkin perlantikan dan penabalan Raja
Kelantan sekarang sebagai Sultan Negeri Kelantan tidak sah.
Mungkin ada orang lain yang lebih berhak.
25. Jika dakwaan-dakwaan seperti ini mula dibuat, mungkin
ia akan merebak dan berpanjangan dan lumpur akan terpalit
pula kepada tubuh badan orang lain.
26. Kita tidak ada niat jahat terhadap Raja Kelantan.
Tetapi gerak-geri Raja Kelantan dalam isu pindaan
Perlembagaan ini amatlah tidak menyenangkan. Bukan sahaja
Kerajaan Pusat tidak dihormati, tetapi Raja-Raja lain juga
tidak dihormati.
27. Jika setelah bermesyuarat secara teratur, Majlis Raja-
Raja tidak memegang kepada keputusan yang dibuat, siapakah
yang akan menghormati mesyuarat Majlis Raja-Raja, atau
Majlis itu atau Raja-Raja? Saya tidak ingin meramalkan
kesan yang akan menyusuli kehilangan kepercayaan dan
kehormatan kepada Majlis Raja-Raja dan institusi Raja kerana
perbuatan Raja Kelantan.
Tuan Yang Di-Pertua,
28. Saya ingin sekali lagi menegaskan bahawa Raja tidak
pernah mengatasi undang-undang. Negara kita dibentuk
mengikut satu Perlembagaan yang bertulis. Kita semua
memegang jawatan masing-masing mengikut peruntukan ini,
termasuklah Raja-Raja. Perlembagaan atau undang-undang
tubuh atau undang-undang asas negara adalah undang-undang
yang menentukan adanya Raja, adanya Yang di-Pertuan Agong,
adanya Majlis Raja-Raja, adanya Jemaah Menteri dan
sebagainya. Institusi-institusi ini dari awal lagi tidak
wujud dengan sendirinya tetapi adalah hasil perjanjian di
antara rakyat dengan pihak yang dipertuankan, hasil daripada
satu kontrak sosial yang contohnya ialah perjanjian di
antara Demang Lebar Daun dengan Sang Sapurba Trimurti
Tribuana.
29. Apabila kita menubuhkan Persekutuan Tanah Melayu pada
tahun 1957, Raja-Raja telah secara rasmi menandatangani
perjanjian Federation of Malaya dan menerima undang-undang
asas, iaitu Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu yang
menentukan kedudukan, tempat dan peranan masing-masing.
Penerimaan undang-undang ini bermakna semua pihak meletakkan
diri mereka di bawah undang-undang. Soal Raja-Raja
mengatasi undang-undang tidak wujud dan tidak pernah ada.
30. Hanya yang ada ialah Raja-Raja tidak boleh dihadapkan
ke mahkamah-mahkamah yang pada ketika itu diwujudkan oleh
Perlembagaan. Tidak boleh dihadapkan ke mahkamah tidak
bermakna dikecualikan daripada peruntukan undang-undang
negara ini. Bahkan tidak boleh dihadapkan ke mahkamah juga
merupakan satu undang-undang, dan di bawah undang-undang
inilah maka Raja tidak boleh dihadapkan ke mahkamah. Jika
ini dianggap satu keistimewaan Raja-Raja, maka keistimewaan
ini masih kekal dengan pindaan yang disyorkan oleh Majlis
Raja-Raja.
31. Sekarang ini diperuntukkan satu badan khas untuk
membicarakan Raja-Raja yang melakukan kesalahan di bawah
undang-undang negara. Mahkamah Khas yang ditubuhkan ini
bukan untuk rakyat tetapi untuk Raja. Ini tidak melucutkan
keistimewaan Raja daripada segi tidak boleh didakwa di
mahkamah biasa, tetapi menambah keistimewaan itu dengan
mewujudkan satu mahkamah yang khas bagi Raja.
32. Bagi rakyat, yang penting ialah mereka mendapat
perlindungan undang-undang daripada sebarang penyalahgunaan
kedudukan yang dilakukan oleh Raja. Bagi Raja, keistimewaan
mereka dikekalkan. Bagi negara, konsep Raja Berperlembagaan
dan Demokrasi Berparlimen mendapat makna yang lebih tepat
dan jelas.
Tuan Yang di-Pertua
33. Ada pihak yang cuba menggambarkan persetujuan Raja-Raja
ini sebagai hasil daripada tekanan ala-Mac Michael. Pihak
ini berasa kecewa kerana segala usaha dan nasihat mereka
yang tidak baik tidak berhasil. Mereka ingin menggunakan
isu ini sebagai isu politik. Mereka tidak sama sekali
memikirkan tentang kepentingan rakyat yang perlu dilindungi
daripada tindakan-tindakan yang salah oleh Raja. Saya yakin
mereka akan menyebarkan dakwaan mereka kononnya Kerajaan ini
bertindak seperti Mac Michael dengan membuat tekanan ke atas
Raja sehingga mereka bersetuju. Kita berpendapat bahawa
persetujuan ini adalah suatu kebaikan. Sama ada ia
diperlukan oleh undang-undang ataupun tidak, terpulanglah
kepada mahkamah untuk menentukannya.
34. Saya harap mereka ini yang kecewa dalam politik, yang
tidak ada tempat dalam politik negara akan berhenti daripada
usaha yang tidak berfaedah ini dan sebaliknya bekerjasama
dengan Kerajaan untuk membangunkan negara ini. Kalau sudah
tidak laku, saya rasa tidak usahlah kita menjual lagi diri
kita. Mereka ini takut hendak berhadapan dengan Parlimen
apabila melihat mereka akan kalah. Sebab itu mereka tidak
hadir pada kali ini. Dulu mereka hadir, tetapi kemudian
telah keluar daripada Dewan. Tindakan mereka adalah cara
orang pengecut, yang tahu akan kalah. Kita sepatutnya
berani menghadapi lawan, dan kalau kalah, menerimanya.
Dalam politik, kita tidak selalu boleh menang. Kalau semua
orang selalu menang, tentulah susah. Dalam politik,
bagaimana kita hendak membentuk Kerajaan jika kalau yang
kalah pun menang, dan yang menang, menang?
35. Jadi saya harap mereka yang ingin terus dalam politik
menerima hakikat bahawa kadangkala kita menang dan
kadangkala kita kalah. Ini, bila menang, terima keputusan
tetapi bila kalah enggan terima keputusan. Inilah yang
menjadi masalah kepada kita.

36. Oleh kerana sebab-sebab ini saya menyokong pindaan yang
disyorkan oleh Yang di-Pertuan Agong yang telah dipersetujui
oleh Majlis Raja-Raja kepada Akta meminda Perlembagaan
Persekutuan yang telah diluluskan oleh Dewan ini pada 19 Januari 1993.
Layari http://pkrtgkarang.blogspot.com/

No comments:

Post a Comment