Thursday, April 26, 2012

April 25, 2012 - Anwar: Najib Tidak Lakukan Sesuatu Selamatkan MAS

Wednesday, April 25, 2012 - Anwar: Najib Tidak Lakukan Sesuatu Selamatkan MAS


PETALING JAYA, 25 APR: Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyelar tindakan berdiam diri Perdana Menteri bagi menyelamatkan kedudukan Syarikat Malaysia Airlines (MAS) yang kini kritikal untuk melindungi syarikat penerbangan negara tersebut serta pekerja-pekerjanya.


Menurut Anwar, MAS mengalami kerugian terbesar dalam sejarah iaitu RM2.52 bilion pada tahun 2011 dan kini sedang dimiliki bersama dengan Syarikat Penerbangan AirAsia sejak lapan bulan lalu melalui pertukaran saham dan tindakan itu menyebabkan 20, 000 orang kakitangannya di bawah lapan kesatuan masih tidak tahu apa yang akan berlaku kepada mereka.

“Di manakah arah tuju MAS? Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sendiri mengakui baru-baru ini bahawa beliau kini dalam pertimbangan untuk menggabungkan kedua-dua syarikat penerbangan tersebut.

“Namun persoalannya, berapa lama dia akan menimbang perkara itu dan masa depan beribu-ribu pekerja MAS? Dan jika benar penggabungan itu berlaku, apakah beliau sedia untuk berkongsi dengan orang ramai kos perlaksanaan penggabungan berkenaan?

“Bagaimanapun, pendirian saya tetap konsisten. Saya menentang habis-habisan pertukaran saham tersebut sejak ia mula ditanda-tangani lapan bulan lalu. Saya juga bimbang apabila kedua-dua syarikat ini berada di bawah satu bumbung, ia akan menimbulkan persoalan monopoly, di mana kemasukan pengarah AirAsia ke dalam MAS berkemungkinan besar melanggar tadbir urus korporat selain pendirian dan pendapat kesatuan pekerja tidak dirujuk.

Hari ini, dengan nasib MAS yang terumbang-ambing, dan masalah yang berterusan, saya ingin menyoal Najib:
i) Berapa lamakah 20, 000 pekerja MAS di bawah lapan kesatuan akan dibiarkan tertanya-tanya nasib mereka? 

Terdapat spekulasi pekerja akan dibuang atau dipaksa masuk ke dalam penerbangan subsidiari;

ii) Apakah perubahan yang MAS sudah lakukan dari segi kecekapan operasi untuk mengatasi kenaikan harga minyak di samping mengurangkan kemerosotan nilai aset, serta membalikkan kerugian RM2.52 bilion tahun lepas untuk membuat keuntungan pada masa akan datang?

Sehubungan itu juga, saya mendesak Perdana Menteri:

i) Mengaku kepada rakyat Malaysia bahawa pertukaran saham dengan AirAsia adalah satu kesilapan;

ii) Menarik balik pertukaran saham dan rangka kerjasama yang menyeluruh;

iii) Menggantung segera pelan laluan pertukaran antara AirAsia dan MAS dan;

iv) Bekukan mana-mana pengambilan pengurusan atasan dalam MAS, untuk menghentikan persepsi bahawa terdapat usaha “AirAsia-nisation”.

Menurut beliau yang juga Ketua Umum PKR, MAS tidak harus diuruskan berdasarkan keputusan politik yang ternyata telah menjadikannya sebagai sebuah syarikat yang dirundung kerugian, seterusnya mengancam masa depan 20, 000 pekerja.

“Masa depan MAS terletak di tangan kakitangannya. Kerajaan tidak harus masuk campur urusan MAS secara tidak tentu hala. Sebaliknya, ia harus memperkukuhkan pengurusan kanannya dan tidak memulakan kembali sebarang keputusan berasaskan pertimbangan dan ukuran yang salah.

“Inilah salah satu peluang Najib untuk menggilap usaha transformasinya dan menjauhkan diri daripada kesilapan buruk yang dilakukannya di masa lalu.” jelas beliau dalam satu kenyataan media.


Posted by WARTAWAN RASMI LAMAN REFORMASI

Layari http://pkrtgkarang.blogspot.com/

No comments:

Post a Comment