Thursday, April 30, 2009

Sidang DUN Perak diteruskan

Sidang DUN Perak diteruskan

Oleh AMIZUL TUNIZAR AHMAD TERMIZI
utusanperak@utusan.cm.my

IPOH 29 April - Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir menegaskan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak tetap akan bersidang pada 7 Mei ini walaupun kedudukan beliau belum diputuskan oleh mahkamah.

Menurutnya, selagi mahkamah belum membuat keputusan berkenaan pelantikannya, beliau masih Menteri Besar yang sah dan begitu juga dengan barisan Exco kerajaan negeri.

Katanya, Speaker DUN Perak, V. Sivakumar juga mesti mengiktiraf dan menghormati pelantikan beliau dan enam Exco kerajaan negeri sehingga mahkamah memutuskan sebaliknya.

''DUN Perak perlu bersidang walaupun kes semakan kehakiman yang difailkan oleh Datuk Seri Mohammad Ir. Nizar Jamaluddin terhadap saya belum diputuskan.

''Kedudukan saya sebagai Menteri Besar adalah jelas. Ini kerana Mohammad Nizar yang mencabar kedudukan saya," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan negeri di sini hari ini.

Menurut Zambry, soal pelantikan Menteri Besar adalah di bawah bidang kuasa Sultan Perak dan Mohammad Nizar sedar tentang perkara itu.

''Sebab itu semasa mengisi borang pencalonan untuk bertanding di Parlimen Bukit Gantang, Mohammad Nizar tidak meletakkan jawatannya sebagai Menteri Besar tetapi sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Panjang," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut membidas tindakan Setiausaha DAP Perak, Nga Kor Ming yang mengeluarkan kenyataan mendakwa seolah-olah beliau sudah mengetahui keputusan yang akan dibuat oleh mahkamah kerana mengadakan sidang DUN pada 7 Mei ini.

Katanya, kenyataan Kor Ming itu adalah satu perbuatan yang tidak bertanggungjawab dan berunsur hasutan kerana mempersoalkan sistem kehakiman negara.

''Saya tidak pernah mengganggu mahkamah dalam membuat sebarang keputusan dan saya tidak pernah mempersoalkan kebebasan sistem kehakiman negara walaupun ada kalanya tidak menyebelahi saya," tegas beliau.

Zambry turut mengecam tindakan Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham yang menghina keputusan Mahkamah Persekutuan berhubung penggantungan beliau dan enam Exco kerajaan negeri baru-baru ini.

Katanya, Koo Ham semasa berucap pada satu ceramah Pas di Lumut pada 17 April lalu telah mendakwa Mahkamah Persekutuan membuat keputusan tidak mengikut undang-undang dan telah menukar undang-undang hanya kerana kes kerajaan negeri Perak.

''Kenyataan yang dibuat oleh Koo Ham bukan sahaja menghina keputusan Mahkamah Persekutuan, malah satu tindakan menghasut rakyat Perak supaya tidak menghormati undang-undang dan sistem kehakiman negara," katanya.

PAS: 'Mi celup' lawan 'Mi goreng'

PAS: 'Mi celup' lawan 'Mi goreng'
Abdul Rahim Sabri & Jimadie Shah Othman | Apr 29, 09 6:20pm
Nik Abduh - anak kepada Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat - menjadi sasaran kritikan keras dua pemimpin yang dikaitkan dengan "Kumpulan Erdogan" selepas menghentam pembantu bapanya dalam isu kerajaan perpaduan yang dicadangkan presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Ahli jawatankuasa PAS pusat, Khalid Samad menyifatkan "tuduhan secara borong" Nik Abduh itu sebagai "tidak bertanggungjawab", "kurang matang" dan "mengundang fitnah".

"Tuduhan semberono macam ini bagi saya tidak bertanggungjawab dan mengundang fitnah. Hasil daripada tuduhan ini, akan wujud suasana syak-wasangka dan saling tuduh-menuduh di antara pembantu-pembantu yang entah mana satu," coretnya dalam blognya hari ini.

Sebelum ini, Nik Abduh menghentam pembantu bapanya yang didakwanya bertanggungjawab menyebabkan Nik Aziz pada mulanya menolak cadangan kerajaan perpaduan yang dicadangkan Abdul Hadi.

Dalam blognya sebelum ini, Nik Abduh juga menyifatkan pembantu-pembantu bapanya sebagai "mereka yang hanya belajar ugama sekadar ‘mi celup', lalu mendakwa diri mereka pun ulama juga".

Mengulas lanjut, Khalid menasihatkan budaya "menggunakan istilah menghina terhadap sahabat seperjuangan" dalam parti hendaklah dihentikan.

"Saya harap budaya ini ditamatkan. Dan sebagai pemimpin Pemuda peringkat nasional, Nik Abduh patut menunjukkan contoh yang baik.

'Sikap angkuh'

"Istilah-istilah seperti 'pejuang nafsu', 'ulama mi celup' dan sebagainya amat tidak sesuai digunakan. Ia menghina orang lain dan menzahirkan satu sikap yang terlalu angkuh," coretnya lagi.

Khalid juga berkata, dakwaan Nik Abduh bahawa bapanya "menerima muzakarah atau muqabalah, selepas bermatian menolaknya" sebagai "tidak tepat".

"TGNA (Tuan Guru Nik Aziz) tak pernah menerima ‘muzakarah' dan itulah sebabnya mengapa akhirnya istilah yang diguna ditukar kepada ‘muqabalah'.

"Ulama 'mi celup' pun faham beza muzakarah dan muqabalah, takkan yang 'ulama mi goreng' tak faham? Yang mi goreng ini lama sikit berada dalam kuali," sindirnya.

Sementara itu, Exco Pemuda PAS Pusat, Abdullah Abdul Karim mendesak rakan sejawatannya itu mendedahkan nama pembantu Nik Aziz yang didakwanya cuba melaga-lagakan mursyidul am PAS itu dan Abdul Hadi berhubung isu tersebut.

Ini kerana, kata Abdullah, tindakan tidak menamakan identiti pembantu Nik Aziz secara terperinci, boleh mendorong berlaku pepecahan dalam parti.

"Untuk mengelak daripada berpecah-belah, tolong namakan segera.

'Tunjuk bukti'

"Jangan berselindung di sebalik tulisan. Namakan segera," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.

"Untuk mengelak dan menyelesaikan perkara ini, tolong namakan dan tunjukkan bukti," tambahnya.

Tindakan Nik Abduh yang mendakwa pembantu-pembantu bapanya dengan tuduhan tersebut, adalah satu "tuduhan yang serius", tambahnya.

Ekoran itu, kata Abdullah, hal tersebut menyebabkan ahli dan pimpinan yang lain, tertanya-tanya siapakah pembantu bapanya yang dimaksudkan.

"Mereka tertanya-tanya. Adakah ia ditujukan kepada (setiausaha politik Nik Aziz) Anual Bakri Haron atau (Naib Presiden PAS) Datuk Husam Musa?

"Dia (Nik Abduh) tak sebut nama menyebabkan orang yang dituduh tak boleh bela diri.

"Mengikut prinsip Islam, orang yang menuduh kena tunjuk bukti. Ini tidak, dia buat tuduhan orang lain kena buktikan," kata Abdullah lagi.

Usul lucut jawatan Sivakumar sebagai Speaker

Usul lucut jawatan Sivakumar sebagai Speaker
Apr 29, 09 3:29pm
Pejabat Setiausaha Dewan Negeri Perak telah menerima satu usul untuk melucutkan V Sivakumar dari jawatan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak.

Usul tersebut dicadangkan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Zambry Abd Kadir dan disokong oleh ADUN Sungai Rapat, Datuk Hamidah Osman.

Menurut Setiausaha DUN Perak, Abdullah Antong Sabri, usul tersebut telah diberi notis untuk dibawa di dalam mesyuarat pertama, penggal kedua, DUN Perak ke-12 pada 7 Mei depan.

"Sekiranya usul ini diluluskan di dalam mesyuarata tersebut, maka urusan mesyuarat berikutnya ialah pemilihan Speaker DUN yang baru akan dibuat," katanya dalam surat yang dihantar kepada ADUN Perak.

ADUN Tebing Tinggi, Ong Boon Piow dari DAP, mengesahkan telah menerima surat tersebut jam 2 petang ini. Ia dihantar melalui khidmat hantaran laju.

Sehubungan itu, Abdullah meminta ADUN-ADUN mngemukakan cadangan nama Speaker yang baru.

Borang pencalonan Speaker baru itu turut dikepilkan bersama surat tersebut.

Menurut Abdullah, borang pencalonan itu hendaklah dikemukakan beserta borang persetujuan ahli yang dipilih kepada pihak pentadbiran (DUN) selewat-lewatnya esok, 30 April.

Sementara itu, Setiausaha DAP Perak, Nga Kor Ming, ketika dihubungi Malaysiakini berkata, ia adalah insiden pertama dalam sejarah Malaysia untuk melucutkan seorang Speaker

Beliau yang juga ADUN Sungai Remis dan ahli Parlimen Taiping merasa terkejut dan menyifatkannya sebagai satu tindakan yang luar biasa.

Sehubungan itu, Nga mengecam BN kerana menggunakan Abdullah yang telah dipecat oleh Speaker sebelum ini, utnuk mengeluarkan surat tersebut.

Katanya, semua itu menunjukkan bahawa BN telah bertindak sewenang-sewenangnya.

Katanya, menurut peraturan tetap DUN Perak, Speaker (Sivakumar) mempunyak hak untuk menerima atau menolak sebarang usul, termasuk usul untuk memecatnya.

Nga menyamakannya dengan tindakan Speaker DUN Melaka menolak usul tidak percaya yang dibentangkan oleh wakil DAP terhadap Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam minggu lalu.

Beliau mendakwa tindakan Zambry itu menghina mahkamah, kerana prosiding kes sama ada beliau merupakan menteri besar Perak yang sah. masih belum selesai.

Pakatan tolak: AMK kecewa dengan 'kekecewaan' SPR

Pakatan tolak: AMK kecewa dengan 'kekecewaan' SPR
Oleh G. MANIMARAN

PETALING JAYA: Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK) menyelar Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wan Ahmad Wan Omar yang kecewa dengan pendirian Pakatan Rakyat menolak syor pendekatan baru proses pengendalian pilihan raya.

Justeru, Ketuanya, Shamsul Iskandar Mohd, Akin berkata, pihaknya menolak 'kekecewaan' Wan Ahmad yang sepatutnya bersikap neutral dalam menjalankan amanah SPR.

Kini SPR bercadang menguatkuasakan beberapa pendekatan baru iaitu mengehadkan bilangan penyokong parti politik yang bertanding pada hari penamaan calon, menguatkuasakan 'hari bertenang' menjelang proses pengundian dan melarang berkempen memancing undi semasa proses pengundian berlangsung.

"Apa yang sedang dirangka oleh SPR ini, sangat jelas bertentangan dengan amalan demokrasi di mana-mana negara demokratik.

"AMK percaya bahawa pendekatan ini diilhamkan dalam keadaan lima pilihan raya kecil yang berlangsung, sebermula di Permatang Pauh sehinggalah yang terkini di Bukit Gantang, Bukit Selambau dan Batang Ai, menyaksikan BN ditenggelami dengan ribuan penyokong Pakatan Rakyat yang hadir sewaktu penamaan calon," kata beliau dalam kenyataannya semalam.

Sehubungan itu, kata beliau, harus diingat bahawa seramai manapun bilangan penyokong yang hadir, ia bukan satu masalah sekiranya pihak keselamatan bersikap profesional untuk mengawal provokasi melampau daripada mana-mana pihak.

"Malah terbukti dalam siri-siri pilihan raya kecil sebelum ini, penyokong Pakatan Rakyatlah yang terpaksa berhadapan dengan ugutan dan provokasi melampau oleh samseng upahan yang 'jelas kelihatan' menyokong BN.

"Demikian juga dengan penguatkuasaan larangan memancing undi dan juga pondok panas.

"AMK tidak lupa bagaimana pada pilihan raya Umum 2004, larangan yang sama dikenakan ke atas semua parti politik, tetapi BN dengan angkuh tetap membina pondok-pondok panas di kawasan pusat pengundian," kata Shamsul.

Beliau menambah, Pakatan Rakyat sama sekali tidak akan menerima alasan kononnya untuk mengelakkan ketegangan dan ketakutan di kalangan pengundi untuk menunaikan tanggungjawab mereka.

Pengundi memang akan sukar dan takut untuk mengundi jika dua perkara dihalalkan oleh SPR iaitu kebanjiran pihak polis dan juga hari pengundian yang jatuh pada hari bekerja, katanya lagi.

Penanti: Pemuda PAS juga mahu tanding, pusat kata tidak

Penanti: Pemuda PAS juga mahu tanding, pusat kata tidak
Oleh G. MANIMARAN dan NURUL AIN MOHD HUSSAIN

PETALING JAYA: Tidak sampai 24 jam selepas Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengumumkan calonnya Mansor Othman, Pemuda PAS Pulau Pinang dan Bahagian Permatang Pauh dilihat memberi kata dua - mahu meletakkan calon mereka pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti 31 Mei ini.

PAS dikatakan menganggap kerusi tersebut sebagai kubu kuat parti itu walaupun pada pilihan raya umum lalu ia ditandingi oleh wakil PKR.

Difahamkan PAS Permatang Pauh mengambil langkah mahu 'memulau' pilihan raya kecil Penanti ekoran rasa tidak puas hati PKR bertanding.

Pemimpin-pemimpin PAS negeri itu mahu PKR memberi laluan kepada PAS untuk bertanding di Penanti bulan depan.

Ketua PAS Permatang Pauh, Omar Hassan memberitahu, parti tersebut mahu bertanding di kerusi tersebut kerana pengundi di bahagian itu sudah tiada keyakinan terhadap PKR.

"Penyokong akar umbi mahu perubahan. Kami akan menunggu dan lihat sama ada permintaan kami akan dipenuhi," kata beliau kepada The Star ketika dihubungi.

PAS Permatang Pauh memutuskan demikian pada mesyuarat malam tadi.

Terdahulu, Ketua Pemuda PAS, Mohd. Hafiz Mohd Nordin berkata, satu perbincangan dengan presiden parti berhubung hal itu akan diadakan dalam tempoh terdekat ini.

"Ini adalah permintaan akar umbi yang mahukan PAS mengambil balik kawasan itu, Pemuda sendiri telah mempunyai calon yang sesuai," kata beliau dipetik Bernama.

Semalam, Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Timbalan Pengerusi Perhubungan PKR Pulau Pinang, Mansor Othman, 56, telah dipilih sebagai calon parti itu untuk bertanding pada pilihan raya kecil DUN Penanti bulan depan.

Kerusi itu kosong berikutan peletakan jawatan penyandangnya, yang juga bekas Timbalan Ketua Menteri 1, Mohammad Fairus Khairuddin.

Mohd. Hafiz berkata, setakat ini belum ada sebarang perbincangan yang dibuat antara PAS dengan Penasihat PKR itu berhubung calon Pemuda PAS yang turut akan bertanding di DUN Penanti.

DUN Penanti mempunyai 15,384 pemilih berdaftar 72.68 peratus daripadanya pengundi Melayu, 24.22 peratus Cina, 2.39 peratus India dan 0.71 peratus lainlain bangsa.

KOMEN PAS PUSAT

Dalam pada itu, Pengarah Pilihan Raya PAS pusat, Datuk Mustafa Ali ketika dihubungi mStar Online pula berkata, pihaknya tidak akan meletakkan calon di Penanti kali ini.

"PAS tidak akan meletakkan calon," kata beliau sambil menambah, apa yang berlaku di Pulau Pinang adalah masalah dalaman parti.

"Kita akan dapatkan laporan tentang masalah di Pulau Pinang... kita perlu pergi ke lapangan dan dengar rungutan mereka," kata beliau lagi.

Mustafa menjelaskan, apa yang pasti, berdasarkan persefahaman yang telah wujud dalam Pakatan Rakyat, PKR yang akan meletakkan calonnya dan PAS akan menyokong.

"Kami akan menghormati persefahaman yang telah dicapai oleh Pakatan, parti yang pernah bertanding (dalam pilihan raya umum) akan meletakkan calon masing-masing dalam pilihan raya kecil.

"Apa-apa perubahan (tukar kawasan dan bolehkan parti lain bertanding) hanya akan dibuat ketika pilihan raya umum akan datang," tambah beliau. Ahad lalu, Mustafa juga ada menegaskan bahawa PAS akan memberi laluan kepada PKR untuk bertanding di Penanti pada pilihan raya kecil yang diumumkan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) kelmarin.

Jelasnya, parti itu menghormati hak PKR untuk meletakkan calon mereka untuk mempertahankan kerusi DUN berkenaan.

"Kita (PAS) tidak bercadang untuk bertanding di Penanti walaupun itu kubu kuat PAS. Kita hormati hak mereka (PKR).

"Setahu saya setakat ini PAS juga tidak ada perbicangan mengenainya (bertanding di Penanti)," katanya.

Beliau turut menafikan khabar angin yang mengatakan parti itu akan meletakkan calon untuk bertanding di kerusi DUN Penanti.

Sebelum ini, Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr. Hassan Mohamed Ali mengizinkan sekiranya ada cadangan untuk meletakkan calon parti itu pada pilihan raya kecil kawasan berkenaan.

Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti kosong berikutan peletakan jawatan penyandangnya, Mohammad Fairus Khairuddin, 33, dari PKR pada 16 April lalu dengan alasan untuk membersihkan namanya daripada segala tohmahan selain bagi membolehkan beliau melanjutkan pelajaran.

Wednesday, April 29, 2009

Pakatan: Larang pondok panas tidak munasabah

Pakatan: Larang pondok panas tidak munasabah
Abdul Rahim Sabri | Apr 28, 09 7:59pm
Pakatan Rakyat menyifatkan keputusan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) melarang parti-parti yang bertanding mendirikan pondok panas dalam pilihanraya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti 31 Mei ini sebagai "tidak munasabah".

"Keputusan tersebut amat memeranjatkan kami. Dalam perbincangan (kami dengan SPR), mereka seolah-olah menerima dan kami optimistik tidak ada masalah," kata Pengarah Pilihanraya PAS Pusat, Datuk Mustafa Ali.

Mustafa berkata perbincangan mereka dengan SPR berlangsung Khamis minggu lalu. Ia turut dihadiri Naib Presiden PKR, Sivarasa Rasiah; dua ahli jawatankuasa PAS Pusat, Dr Mariah Mahmud dan Dr Dzulkifli Ahmad serta bendahari DAP, Fong Kui Lun.

Semalam Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, suruhanjaya itu melarang penggunaan pondok panas dan perayu undi dalam pilihanraya kecil kali ini.

Abdul Aziz berkata, ia bertujuan memastikan hari mengundi berjalan dengan "aman, tenang dan tanpa kesesakan lalulintas," selain "menyejukkan suasana" selepas berkempen.

Sementara itu, Sivarasa pula berkata, Pakatan Rakyat menolak keputusan SPR itu kerana ia melanggar Akta Kesalahan Pilihanraya 1954.

"Kita telah teliti dari sudut undang-undang. Kita menolak pendirian SPR ini kerana pendirian tidak munasabah.

Tolak alasan SPR

"(Keputusan itu) tidak ikut undang-undang pilihanraya itu sendiri dan bercanggah dengan tafsiran mereka (SPR)," kata Sivarasa.

Beliau kemudiannya membacakan sepucuk surat dari SPR pada 2004 yang ditandatangani Datuk Wan Ahmad Wan Omar selaku setiausaha SPR ketika itu.

Dalam surat tersebut, Wan Ahmad membenarkan penubuhan pondok panas di luar kawasan sempadan 50 meter dari tempat mengundi.

Sivarasa yang juga ahli parlimen Subang berkata, pondok panas dibenarkan mengikut seksyen 24b (2) Akta Kesalahan Pilihanraya 1954.

Sementara itu, Mustafa berkata, Pakatan akan menemui SPR untuk berbincang mengenainya Khamis atau selewat-lewatnya minggu depan.

Dalam sidang media yang sama, Dr Mariah menolak alasan yang diberi oleh SPR untuk tidak membenarkan pondok panas didirikan.

"Sebenarnya, sudah cukup untuk tempatkan anggota polis di tempat mengundi (pada hari mengundi).

Tidak cetus pergaduhan

"Sebelum ini, tidak tercetus pergaduhan antara penyokong parti. Bersemangat lebih, biasalah," katanya.

Tambahnya, pondok panas merupakan satu tradisi sejak pilihanraya pertama negara pada 1959.

"Asalkan ia di luar jarak 50 meter dari kawasan tempat mengundi," kata Dr Mariah yang juga ahli Parlimen Kota Raja.

Menjawab soalan pemberita mengenai sejauhmana pentingnya pondok panas tersebut, Mustafa berkata:

"Ia penting. Pengundi boleh ulang semak sama ada nama pengundi ada ataupun tidak.

"Kalau tak ada (nama pengundi) kita boleh membuat semakan lagi dengan SPR," katanya.

Tuesday, April 28, 2009

Saman Zambry-Nizar balik ke Mahkamah Tinggi

Saman Zambry-Nizar balik ke Mahkamah Tinggi
Apr 28, 09 3:58pm
Mahkamah Persekutuan hari ini memutuskan bahawa pertikaian antara Datuk Dr Zambry Abdul Kadir dan Datuk Seri Mohd Nizar Jamaluddin mengenai siapa menteri besar yang sah akan didengar dan ditentukan oleh Mahkamah Tinggi.

Panel lima hakim yang diketuai Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Alauddin Mohd Sheriff sebulat suara memutuskan wujud pertikaian fakta dalam dua afidavit yang diikrarkan oleh Mohd Nizar dan Penasihat Undang-undangan Negeri Perak, Datuk Ahmad Kamal Md Shahid.

Prosiding untuk meneliti afidavit Ahmad Kamal akan didengar di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Abdul Aziz Abd Rahim pada hari Isnin. Ini merupakan kali kedua kes itu dirujuk semula ke Mahkamah Tinggi, lapor Bernama.

Kali pertama ialah pada 23 Mac apabila Mahkamah Persekutuan memutuskan isu membabitkan tafsiran Perkara 16(6) Undang-undang Tubuh Negeri Perak perlu didengar dan diputuskan di Mahkamah Tinggi dan hanya boleh dirujuk semula ke Mahkamah Persekutuan melalui rayuan.

Alauddin, Hakim Besar Malaya Datuk Ariffin Zakaria dan hakim-hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Zulkefli Ahmad Makinuddin, Datuk Wira Mohd Ghazali Mohd Yusuf

dan Datuk James Foong hari ini dijadual mendengar permohonan Zambry, yang difailkan pada 21 April, untuk memohon pengisytiharan bahawa beliau adalah menteri besar yang sah.

Dengan panel lima hakim itu yang bersidang, permohonan Mohammad Nizar bagi panel sembilan hakim untuk mendengar kes itu telah ditolak.

Terdahulu dalam prosiding hari ini, peguam yang mewakili Mohammad Nizar, Sulaiman Abdullah membantah permohonan Zambry atas alasan wujud pertikaian fakta berhubung pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak yang dijadual didengar di Mahkamah Tinggi minggu depan.

Wujud percanggahan

Katanya percanggahan itu adalah antara apa yang diikrarkan oleh Ahmad Kamal dalam afidavitnya dengan apa yang sebenarnya berlaku dalam pertemuan antara Mohd Nizar dan Sultan Perak Sultan Azlan Shah pada 4 Februari 2009.

"Saya menegaskan bahawa semasa saya menghadap Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan, saya tidak pernah menyatakan dan tidak memaklumkan, dan tidak pernah mencadangkan kepada DYMM Sultan bahawa terdapatnya kehilangan kepercayaan terhadap saya sebagai Menteri Besar oleh majoriti ahli-ahli DUN. Saya juga tidak pernah mencadangkan kepada DYMM Sultan untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri selaras dengan Perkara 16(6) Undang-undang Tubuh Kerajaan Perak.

"Merujuk kepada afidavit penasihat undang-undang, saya menyatakan bahawa versi Datuk Ahmad Kamal berkenaan apa yang telah berlaku adalah salah dan tidak tepat," kata Sulaiman ketika membacakan afidavit yang diikrarkan oleh Mohammad Nizar.

Beliau juga berhujah Ahmad Kamal telah mewakili Zambry apabila kes itu disebut di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Mohamad Ariff Md Yusof pada 18 Februari.

"Datuk Kamal telah mewakili Zambry dan ini jelas menunjukkan yang beliau tidak bersikap berkecuali," kata Sulaiman.

Prinsip 'res judicata'

Katanya atas prinsip "res judicata" (perkara yang sudah diputuskan), permohonan itu tidak sepatutnya didengar oleh Mahkamah Persekutuan kerana permohonan yang sama terhadap isu yang sama telah ditentukan oleh mahkamah yang sama pada 23 Mac.

Peguam Datuk Cecil Abraham yang mewakili Zambry dalam hujahan balasnya berkata terdapat keterangan dokumen berdasarkan dua pucuk surat yang ditulis oleh Mohd Nizar kepada Sultan Perak pada 4 dan 5 Februari untuk menunjukkan tidak terdapat pertikaian fakta seperti dakwaan responden.

Beliau juga berkata prinsip 'res judicata' tidak boleh diguna pakai kerana isu Perkara 63 tidak timbul pada perbicaraan di Mahkamah Persekutuan pada 23 Mac.

Turut hadir pada prosiding itu ialah Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail sebagai pencelah, peguam Mohd Reza Hassan selaku peguam pemerhati bagi Barisan Nasional dan Penolong Penasihat Undang-undang Negeri Perak Zulqarnain Hassan.

Di luar mahkamah, Mohd Nizar berkata kepada pemberita bahawa keputusan hari ini adalah petanda yang krisis politik Perak akan dapat mencapai penyelesaian muktamad.

"Saya harap persidangan Dewan Undangan Negeri 7 Mei ini ditangguhkan sehingga pertikaian ini diselesaikan di Mahkamah Tinggi. Tidak perlulah kita tergesa-gesa (untuk membuat persidangan itu) kerana terdapat banyak fakta-fakta yang dipertikaikan di sini," katanya.

Jika pentingkan diri, PAS berkerjasama dengan BN - Salahuddin

Jika pentingkan diri, PAS berkerjasama dengan BN - Salahuddin
Abdul Aziz Mustafa
Tue | Apr 28, 09 | 9:33:19 pm MYT
KUALA LUMPUR, 28 April (Hrkh) - Jika PAS mementingkan diri sendiri dan tidak mengutamakan aspirasi rakyat, ia kini berada dalam kerajaan negeri Perak, kata Ketua Pemuda PAS Salahuddin Ayub.

"Ogos tahun lalu, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Perak ketika itu, Datuk Seri Tajol Rosli Ghazali telah membuat pengumuman menawarkan satu perkongsian kuasa dengan PAS bagi membentuk kerajaan di Perak dan sanggup menerima Adun PAS sebagai Menteri Besar Perak.

"Jika kita mementingkan diri, sudah tentu kita menerima tawaran itu dan mencampak ke tepi aspirasi rakyat yang menolak Umno dan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya 8 Mac tahun lalu," katanya ketika mengulas dakwaan Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang menuduh perjuangan PAS hanya untuk kepentingan diri sahaja.

Kemarahan Menteri Dalam Negeri itu berpunca dari tindakan kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang dilaporkan menarik balik cadangan pembentukan kerajaan perpaduan.

Salahuddin mengulangi penegasan bahawa PAS mahu membentuk kerajaan yang direstui rakyat dan bukan melibatkan diri dalam kerajaan bangsawan baru yang tidak tahu lagi memahami keresahan rakyat.

"Jika PAS mementingkan diri, sudah tentu ia akan berlari-lari mengejar dan menyertai kerajaan elit Umno BN yang disifatkan oleh rakyat sebagai lost touch dengan mereka - langsung tidak memahami atau buat-buat tak faham keresahan mereka.

"Jika PAS mementingkan diri, sudah tentu PAS menyertai kerajaan yang pernah dijangka oleh Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai kerajaan perasuah sebelum pemilihan Umno dan selepas pemilihan pula beliau menyifatkan kerajaan pimpinan (Datuk Seri) Najib (Tun Razak) sebagai kerajaan yang turut dianggotai oleh mereka yang berperangai keji," kata Ahli Parlimen Kubang Kerian itu.

Salahuddin juga membangkitkan kenyataan Dr Mahathir yang menyifatkan tindakan Umno BN yang mengambilalih pemerintahan di Perak sebagai sesuatu yang bertentangan dengan undang-undang (in conflict with the law).

"Kenyataan Dr Mahathir menunjukkan mereka yang mengambil alih kerajaan Perak adalah kaki langgar undang-undang.

"Adakah tidak mementingkan diri bermakna berkerjasama dan mewujudkan perpaduan dengan kaki langgar undang-undang?!" beliau mempersoalkan.

Salahuddin juga menunjukkan SMS yang diterimanya. SMS itu menyatakan, "Dulu kerajaan anak-beranak, kini kerajaan suami isteri".

"Saya tidak tahu SMS ini ditujukan kepada siapa. Tetapi adakah tidak mementingkan diri itu berkerjasama dengan kerajaan anak-beranak atau kerajaan suami isteri?

"Kalau kerajaan suami isteri, adakah buat keputusan atas katil dan kita pula mesti menjadi kuli kepada keputusan mereka supaya tidak dituduh mementingkan diri?" tanya beliau.

YB MOHAMMAD FAIRUS KHAIRUDDIN

KENYATAAN MEDIA

YB MOHAMMAD FAIRUS KHAIRUDDIN

24 APRIL 2009

Saya dengan penuh tawaduk merakamkan kesyukuran yang tidak terhingga ke hadrat Allah SWT dengan segala Keagungan dan KebesaranNya yang telah menganugerahkan keadilan dan pembelaan terhadap kebenaran saya.

Pengumuman SPRM yang telah membebaskan saya dari segala tuduhan itu adalah suatu manifestasi kebenaran saya yang telah selama ini saya pertahankan. Ternyata usaha keji pihak-pihak tertentu yang telah menabur fitnah hingga menyebabkan luka terhadap saya, keluarga dan Parti Keadilan Rakyat tidak diizinkan Allah untuk menyanggah kebenaran saya. Syukur, Alhamdulillah. Saya juga telah mengarahkan peguam saya untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap individu-individu, ahli-ahli politik serta media-media tertentu yang telah mengaibkan serta menabur fitnah terhadap saya. Saya dengan ini mengulangi ketegasan saya untuk meletakkan jawatan selaku ADUN N12 Penanti serta menyatakan sokongan penuh kepada kepimpinan Parti Keadilan Rakyat di bawah teraju Ketua Umumnya; Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Justeru, anugerah Allah SWT yang tidak ternilai ini yang telah memberikan kejayaan kepada saya dalam membela kebenaran saya telah memberi kekuatan baru kepada diri saya sendiri, keluarga dan seluruh pencinta kebenaran dan keadilan. Sesungguhnya bernarlah firman Allah SWT di dalam Al Quran yang mafhumnya berbunyi “…Dan apabila datangnya al Haq(Kebenaran) itu, maka kebathilan pasti akan musnah.”


Salam Perjuangan.


Yang Benar,


MOHAMMAD FAIRUS BIN KHAIRUDDIN.

NO K/P: 760702-07-5413

Sah! Dr. Mansor calon PKR pilihan raya kecil Penanti



Sah! Dr. Mansor calon PKR pilihan raya kecil Penanti

SOKONGAN... Calon PKR-Pakatan, Dr. Mansor Othman disambut oleh bekas penyandang kerusi DUN Penanti, Mohammad Fairus Khairuddin (kanan) selepas beliau diumumkan calon bahagian itu malam tadi.

PETALING JAYA: Sah! Sebagaimana diramalkan sebelum ini bekas Setiausaha Politik Datuk Seri Anwar Ibrahim, Dr. Mansor Othman akan diturunkan sebagai calon bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti mewakili Pakatan Rakyat.

Mansor merupakan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Negeri Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pulau Pinang.

Ia diumumkan oleh Anwar, Penasihat PKR di Yayasan, Aman, Penanti dalam bahagian Permatang Pauh kira-kira 10 malam tadi.

Anwar berkata, lewat petang semalam beliau telah mengadakan pertemuan Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat yang turut dihadiri Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Lim Kit Siang.

"Mereka telah dimaklumkan mengenai cadangan calon Keadilan dan memberi perakuan untuk sama-sama membantu kempen PRK DUN Penanti kelak," kata dalam blog beliau.

Mansor, 56, merupakan bekas pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM).

Beliau merupakan antara pesaing utama untuk menjadi calon PKR pada pilihan raya kecil berkenaan.

Difahamkan, Mansor menjadi pilihan utama memandangkan beliau tidak dicalonkan mewakili PKR sebagai senator oleh Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang semalam.

Mansor pernah bertanding di peringkat DUN ketika pilihan raya umum Mac 2008.

Pilihan raya kecil Penanti adalah pilihan raya kecil keenam yang diadakan selepas pilihan raya umum pada 8 Mac tahun lepas.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 23 Mei sebagai hari penamaan calon dan 31 Mei sebagai tarikh mengundi bagi pilihan raya kecil Penanti.

Kerusi Penanti kosong apabila Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang I Mohammad Fairus Khairuddin melepaskan jawatannya.

Penanti: Diumum malam ini, bekas Setiausaha Politik Anwar calon PKR?

Selasa April 28, 2009
Penanti: Diumum malam ini, bekas Setiausaha Politik Anwar calon PKR?
Dr. Mansor Osman bakal diturunkan, jika menang mungkin dipilih Timbalan Ketua Menteri

Oleh G. MANIMARAN

PETALING JAYA: Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang biasanya 'lewat' dalam mengumumkan calonnya bertanding pilihan raya kecil mengambil langkah awal menamakan bakal calon parti itu bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti, malam ini.

Calonnya disebut-sebut ialah Dr. Mansor Osman, bekas setiausaha politik Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menjadi Timbalan Perdana Menteri.

Nama itu menjadi perhatian daripada kalangan tiga pemimpin PKR Pulau Pinang.

Mansor juga merupakan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan PKR Pulau Pinang.

Mansor pernah bertanding di kerusi DUN Pulau Betong pada Mac 2008 tetapi tewas dengan perbezaan 294 undi di tangan Muhamad Farid Saad dari Barisan Nasional (BN)-Umno.

"Kami sudah memilih calon, akan mengumumkan calon ini esok (malam ini)... akan diumumkan di Penanti," kata Pengarah Pilihan Raya PKR yang baru, Saifuddin Nasution ketika dihubungi mStar Online.

Perkara itu akan diumumkan oleh Anwar yang juga Penasihat PKR di Yayasan Aman, Permatang Pauh.

Penanti terletak dalam bahagian Parlimen Permatang Pauh yang Anwar merupakan Ahli Parlimennya.

Ini kali kedua bahagian Parlimen Permatang Pauh menyaksikan pilihan raya kecil. Pada Ogos lalu pilihan raya kecil melibatkan kerusi Parlimen manakala bulan depan pula DUN Penanti.

Pelantikan Saifuddin sebagai Pengarah Pilihan Raya PKR diumumkan oleh Anwar semalam. Sebelum ini Saifuddin merupakan Pengarah Strategik PKR.

Pagi semalam Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 23 Mei ini sebagai tarikh penamaan calon bagi pilihan raya kecil kerusi DUN Penanti dan jika ada pertandingan, hari mengundi adalah pada 31 Mei.

Kekosongan kerusi bahagian pilihan raya Penanti wujud berikutan peletakan jawatan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Mohammad Fairus Khairuddin.

Fairus, 33, daripada PKR mengumumkan peletakan jawatannya pada 16 April lalu dengan alasan untuk melanjutkan pelajaran, selain membersihkan namanya daripada segala tohmahan.

Beliau sebelum itu turut meletak jawatan sebagai Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang berikutan dakwaan terlibat dengan rasuah.

Ketika ditanya sebab PKR mengumumkan calonnya terlalu awal berbanding masa-masa lalu, Saifuddin berkata, "pengumuman dibuat mengikut keperluan... adakalanya kita perlu mengumumkan lebih awal, ada waktunya kita perlu mengumumkan lewat."

"Tak timbul soal cepat atau lambat," katanya.

Dengan pengumuman hari ini, kata beliau, PKR akan ada masa kira-kira tiga minggu menjelang hari penamaan calon untuk membuat persiapan.

Ketika pilihan raya kecil Bukit Selambau dan Batang Ai baru-baru ini PKR merupakan parti terakhir membuat pengumuman mengenai calonnya.

Pada pilihan raya umum Mac 2008, Fairus memenangi kerusi tersebut dengan 7,346 undi menewaskan calon BN, Datuk Abdul Jalil Abdul Majid.

Majoriti ialah 2,219 undi.

Daftar Pemilih yang akan digunakan SPR pada pilihan raya ini ialah Daftar Pemilih Induk 2008 yang dikemas kini sehingga 16 April lalu, yang mengandungi 15,384 pemilih berdaftar yang terdiri daripada 15,360 pemilih biasa dan 24 pemilih pos.

Daripada jumlah itu, 72.68 peratus adalah pengundi Melayu, 24.22 peratus Cina, 2.39 peratus India dan 0.71 peratus lain-lain kaum.

Larangan SPR: Pakatan mesyuarat tentukan pendirian

Larangan SPR: Pakatan mesyuarat tentukan pendirian
Oleh ZANARIAH ABD MUTALIB

PETALING JAYA: Pakatan Rakyat mendakwa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak konsisten dalam membuat peraturan berhubung pondok panas ketika hari pembuangan undi.

Pengarah Pilihan Raya Parti Keadilan Rakyat (PKR), Saifuddin Nasution Ismail berkata, keputusan SPR semalam yang melarang kewujudan pondok panas dan peraih undi sama sekali bertentangan dengan ketetapan yang dibuat pada pilihan raya umum 2004.

"Pada tahun 2004, sebelum pilihan raya, SPR tidak membenarkan pondok panas tetapi pada pagi hari mengundi, BN (Barisan Nasional) telah mendirikan pondok panas sedangkan kita patuh dengan peraturan itu.

"Bila kita tanya SPR, mereka kata peraturan itu diubah pada pagi pilihan raya itu," katanya ketika dihubungi mStar Online hari ini.

Kini SPR memutuskan semua parti politik tidak lagi dibenarkan mendirikan pondok panas selain dilarang memancing undi pada hari mengundi.

Langkah ini akan dikuatkuasakan mulai pilihan raya kecil kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti bulan depan.

Mengulas lanjut, Saifuddin berkata, SPR perlu konsisten dalam hal ini dan selari dengan peranan SPR sebagai badan yang menjalankan pilihan raya secara bersih, telus dan adil.

Berhubung mengehadkan jumlah penyokong pada hari penamaan calon, Saifuddin berkata, tindakan itu juga tidak wajar dilakukan SPR kerana pilihan raya adalah hari pesta demokrasi kepada rakyat.

"Ia adalah hari rakyat mengamalkan hak demokrasi yang mereka ada. SPR tidak perlu menjadikan faktor keselamatan sebagai alasan kerana itu kerja polis. Biar polis lakukan kerja mereka," katanya.

Katanya, beliau yakin larangan-larangan yang dikeluarkan oleh SPR ditujukan khusus kepada Pakatan Rakyat.

Sementara itu, Pengarah Pilihan Raya PAS, Datuk Mustafa Ali pula berkata, pihaknya juga sangat kecewa dengan keputusan SPR semalam.

Mustafa berkata, Pakatan Rakyat telah menyatakan alasan-alasan berhubung pendirian mereka yang menolak cadangan itu ketika pertemuan parti-parti politik dengan SPR Khamis lalu.

"Nampaknya, mereka telah mengeluarkan kenyataan larangan itu tanpa memberi hujah-hujah balas terhadap alasan yang telah kita berikan dan ini tidak sepatutnya berlaku," katanya.

Beliau percaya larangan itu dikeluarkan bagi menyekat jumlah peraih undi bagi Pakatan Rakyat yang lazimnya ramai pada hari mengundi.

"Kalau dulu, di sesetengah tempat, BN lebih ramai dari pembangkang tapi sekarang pembangkang dah lebih ramai berbanding BN," katanya.

Juster kata Mustafa, tindakan mengehadkan jumlah penyokong itu juga tidak wajar dilakukan kerana bilangan penyokong yang ramai untuk memeriahkan hari penamaan calon adalah perkara biasa.

Katanya, Pakatan Rakyat akan mengadakan mesyuarat sama ada hari ini atau esok berhubung keputusan SPR semalam.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi DAP, Dr. Tan Seng Giaw berkata, SPR menggunakan faktor kesesakan bagi melarang kewujudan pondok panas dan mengehadkan jumlah pengundi tidak perlu timbul.

Sehubungan itu kata Dr. Tan, beliau percaya pihak polis mampu mengawal keadaan pada hari penamaan calon dan hari mengundi.

PKR: Pecat 16 orang, lantik Saifuddin Pengarah Pilihan Raya ganti Azmin

Selasa April 28, 2009
PKR: Pecat 16 orang, lantik Saifuddin Pengarah Pilihan Raya ganti Azmin
Oleh G. MANIMARAN

PETALING JAYA: Parti Keadilan Rakyat (PKR) melantik Pengarah Strategiknya, Saifuddin Nasution sebagai Pengarah Pilihan Raya menggantikan Naib Presiden Azmin Ali dalam proses menyusun semula struktur pengurusan komponen Pakatan Rakyat itu.

Selain itu, PKR juga memecat 16 ahlinya kerana pelbagai kesalahan termasuk menentang calon parti itu dalam pilihan raya kecil baru-baru ini.

Azmin, Ahli Parlimen Gombak, yang melepaskan tugas Pengarah Pilihan Raya pula akan mengetuai pasukan petugas yang terdiri daripada kesemua Naib Presiden iaitu Dr. Lee Boon Chye, R. Sivarasa, Mustafa Kamil Ayub dan Dr. Jeffrey Kitingan.

Seorang lagi Naib Presiden, Tian Chua pula dilantik menggantikan Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Machang.

Turut menganggotai pasukan petugas itu ialah Ketua Angkatan Muda Keadilan, Shamsul Iskandar dan Ketua Wanita, Zuraidah Kamaruddin.

Selain itu, tugas pasukan adalah memastikan kelayakan dan keberkesanan serta disiplin pimpinan negeri, bahagian, ahli-ahli Parlimen dan ahli-ahli Dewan Undangan Negeri, kata Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam kenyataan yang dikeluarkan menerusi blognya semalam.

Ia merupakan sebahagian daripada perubahan yang dibawa Anwar yang menurutnya bertujuan menekankan semula hala tuju perjuagan parti dengan menggilap semula idealisme perjuangan, muhasabah dan menjana kekuatan parti.

Presiden PKR, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail kini diberikan bertanggungjawab memantau liputan media dan segera mengulas isu berbangkit, kata Anwar lagi.

Lain-lain lantikan ialah:

- Timbalan Presiden, Dr. Syed Husin Ali akan memberi tumpuan sepenuhnya dalam isu dasar perjuangan yang menunjangi parti - politik, ekonomi, pendidikan dan budaya.

Selain isu beliau juga diberikan tanggungjawab mengambil berat dasar umum tersebut, perihal yang diprihatinkan masyarakat Melayu dan Bumiputera perlu ditangani.

- Setiausaha Agung, Datuk Sallehuddin Hashim akan mengurus operasi ibu pejabat, perjalanan dan jentera parti, jawatankuasa pengurusan dan kempen keanggotaan.

- Pengerusi Jawatankuasa Latihan (Kepimpinan Parti): Fauziah Saleh

- Pengerusi Jawatankuasa Keanggotaan Baru: Johari Abdul

- Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan Antarabangsa: Mustafa Kamil Ayob;Timbalan Pengerusi: Dr Tan Kee Kwong

- Ketua Penerangan: Latheefa Koya

- Ketua Komunikasi: Johnson Chong

Dalam pada itu, Timbalan Presiden PKR, Dr. Syed Husin Ali dalam kenyataan berasingan memberitahu, mesyuarat Majlis Pimpinan Rakyat PKR dalam mesyuaratnya kelmarin telah mengambil keputusan sebulat suara untuk memecat 16 orang ahlinya.

Pemecatan berkuat kuasa serta-merta mulai tarikh pemecatan dilakukan.

"Mereka ini bertanding sebagai calon menentang calon parti, menyokong calon yang menentang calon parti, mengkritik parti melalui media dan mengisytiharkan diri keluar dari parti dalam ceramah atau melalui media.

"Mereka melakukan kesalahan-kesalahan tersebut dalam pilihan raya kecil Bukit Selambau dan Batang Ai baru-baru ini," katanya.

Mereka terdiri daripada:

- Moganakumar Subramaniam (Bahagian Merbok, Kedah)

- Jayagopal Andaikalam (Bahagian Pokok Sena, Kedah)

- Abdul Hamid Othman (Bahagian Padang Serai, Kedah)

- Roslan A. Hamid (Bahagian Padang Serai, Kedah)

- Abu Bakar Din (Bahagian Baling, Kedah)

- Abdul Wahab Mat Isa (Bahagian Sik, Kedah)

- Mustafa Hassan (Bahagian Sik, Kedah)

- Kalai Vanar Bala Sundram (Bahagian Jerai, Kedah)

- Deivanai Krishnan (Bahagian Jerai, Kedah)

- Abu Bakar Hamid (Bahagian Penaja Pendang, Kedah)

- Ahmad bin Ayub (Bahagian Penaja Pendang, Kedah)

- Azhar Ahmad (Bahagian Penaja Jerlun, Kedah)

- Dr. Ambrose Labang (Bahagian Julau, Sarawak)

- Wong Kee Kai (Bahagian Julau, Sarawak)

- Rajang Anak Unau (Bahagian Julau, Sarawak)

- Kudik Untung (Bahagian Julau, Sarawak)