Tuesday, April 28, 2009

Penanti: Diumum malam ini, bekas Setiausaha Politik Anwar calon PKR?

Selasa April 28, 2009
Penanti: Diumum malam ini, bekas Setiausaha Politik Anwar calon PKR?
Dr. Mansor Osman bakal diturunkan, jika menang mungkin dipilih Timbalan Ketua Menteri

Oleh G. MANIMARAN

PETALING JAYA: Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang biasanya 'lewat' dalam mengumumkan calonnya bertanding pilihan raya kecil mengambil langkah awal menamakan bakal calon parti itu bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti, malam ini.

Calonnya disebut-sebut ialah Dr. Mansor Osman, bekas setiausaha politik Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menjadi Timbalan Perdana Menteri.

Nama itu menjadi perhatian daripada kalangan tiga pemimpin PKR Pulau Pinang.

Mansor juga merupakan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan PKR Pulau Pinang.

Mansor pernah bertanding di kerusi DUN Pulau Betong pada Mac 2008 tetapi tewas dengan perbezaan 294 undi di tangan Muhamad Farid Saad dari Barisan Nasional (BN)-Umno.

"Kami sudah memilih calon, akan mengumumkan calon ini esok (malam ini)... akan diumumkan di Penanti," kata Pengarah Pilihan Raya PKR yang baru, Saifuddin Nasution ketika dihubungi mStar Online.

Perkara itu akan diumumkan oleh Anwar yang juga Penasihat PKR di Yayasan Aman, Permatang Pauh.

Penanti terletak dalam bahagian Parlimen Permatang Pauh yang Anwar merupakan Ahli Parlimennya.

Ini kali kedua bahagian Parlimen Permatang Pauh menyaksikan pilihan raya kecil. Pada Ogos lalu pilihan raya kecil melibatkan kerusi Parlimen manakala bulan depan pula DUN Penanti.

Pelantikan Saifuddin sebagai Pengarah Pilihan Raya PKR diumumkan oleh Anwar semalam. Sebelum ini Saifuddin merupakan Pengarah Strategik PKR.

Pagi semalam Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 23 Mei ini sebagai tarikh penamaan calon bagi pilihan raya kecil kerusi DUN Penanti dan jika ada pertandingan, hari mengundi adalah pada 31 Mei.

Kekosongan kerusi bahagian pilihan raya Penanti wujud berikutan peletakan jawatan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Mohammad Fairus Khairuddin.

Fairus, 33, daripada PKR mengumumkan peletakan jawatannya pada 16 April lalu dengan alasan untuk melanjutkan pelajaran, selain membersihkan namanya daripada segala tohmahan.

Beliau sebelum itu turut meletak jawatan sebagai Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang berikutan dakwaan terlibat dengan rasuah.

Ketika ditanya sebab PKR mengumumkan calonnya terlalu awal berbanding masa-masa lalu, Saifuddin berkata, "pengumuman dibuat mengikut keperluan... adakalanya kita perlu mengumumkan lebih awal, ada waktunya kita perlu mengumumkan lewat."

"Tak timbul soal cepat atau lambat," katanya.

Dengan pengumuman hari ini, kata beliau, PKR akan ada masa kira-kira tiga minggu menjelang hari penamaan calon untuk membuat persiapan.

Ketika pilihan raya kecil Bukit Selambau dan Batang Ai baru-baru ini PKR merupakan parti terakhir membuat pengumuman mengenai calonnya.

Pada pilihan raya umum Mac 2008, Fairus memenangi kerusi tersebut dengan 7,346 undi menewaskan calon BN, Datuk Abdul Jalil Abdul Majid.

Majoriti ialah 2,219 undi.

Daftar Pemilih yang akan digunakan SPR pada pilihan raya ini ialah Daftar Pemilih Induk 2008 yang dikemas kini sehingga 16 April lalu, yang mengandungi 15,384 pemilih berdaftar yang terdiri daripada 15,360 pemilih biasa dan 24 pemilih pos.

Daripada jumlah itu, 72.68 peratus adalah pengundi Melayu, 24.22 peratus Cina, 2.39 peratus India dan 0.71 peratus lain-lain kaum.

No comments:

Post a Comment