Sidang DUN Perak diteruskan
Oleh AMIZUL TUNIZAR AHMAD TERMIZI
utusanperak@utusan.cm.my
IPOH 29 April - Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir menegaskan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak tetap akan bersidang pada 7 Mei ini walaupun kedudukan beliau belum diputuskan oleh mahkamah.
Menurutnya, selagi mahkamah belum membuat keputusan berkenaan pelantikannya, beliau masih Menteri Besar yang sah dan begitu juga dengan barisan Exco kerajaan negeri.
Katanya, Speaker DUN Perak, V. Sivakumar juga mesti mengiktiraf dan menghormati pelantikan beliau dan enam Exco kerajaan negeri sehingga mahkamah memutuskan sebaliknya.
''DUN Perak perlu bersidang walaupun kes semakan kehakiman yang difailkan oleh Datuk Seri Mohammad Ir. Nizar Jamaluddin terhadap saya belum diputuskan.
''Kedudukan saya sebagai Menteri Besar adalah jelas. Ini kerana Mohammad Nizar yang mencabar kedudukan saya," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan negeri di sini hari ini.
Menurut Zambry, soal pelantikan Menteri Besar adalah di bawah bidang kuasa Sultan Perak dan Mohammad Nizar sedar tentang perkara itu.
''Sebab itu semasa mengisi borang pencalonan untuk bertanding di Parlimen Bukit Gantang, Mohammad Nizar tidak meletakkan jawatannya sebagai Menteri Besar tetapi sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Panjang," katanya.
Dalam pada itu, beliau turut membidas tindakan Setiausaha DAP Perak, Nga Kor Ming yang mengeluarkan kenyataan mendakwa seolah-olah beliau sudah mengetahui keputusan yang akan dibuat oleh mahkamah kerana mengadakan sidang DUN pada 7 Mei ini.
Katanya, kenyataan Kor Ming itu adalah satu perbuatan yang tidak bertanggungjawab dan berunsur hasutan kerana mempersoalkan sistem kehakiman negara.
''Saya tidak pernah mengganggu mahkamah dalam membuat sebarang keputusan dan saya tidak pernah mempersoalkan kebebasan sistem kehakiman negara walaupun ada kalanya tidak menyebelahi saya," tegas beliau.
Zambry turut mengecam tindakan Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham yang menghina keputusan Mahkamah Persekutuan berhubung penggantungan beliau dan enam Exco kerajaan negeri baru-baru ini.
Katanya, Koo Ham semasa berucap pada satu ceramah Pas di Lumut pada 17 April lalu telah mendakwa Mahkamah Persekutuan membuat keputusan tidak mengikut undang-undang dan telah menukar undang-undang hanya kerana kes kerajaan negeri Perak.
''Kenyataan yang dibuat oleh Koo Ham bukan sahaja menghina keputusan Mahkamah Persekutuan, malah satu tindakan menghasut rakyat Perak supaya tidak menghormati undang-undang dan sistem kehakiman negara," katanya.
Thursday, April 30, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment