Tuesday, April 28, 2009

Sah! Dr. Mansor calon PKR pilihan raya kecil Penanti



Sah! Dr. Mansor calon PKR pilihan raya kecil Penanti

SOKONGAN... Calon PKR-Pakatan, Dr. Mansor Othman disambut oleh bekas penyandang kerusi DUN Penanti, Mohammad Fairus Khairuddin (kanan) selepas beliau diumumkan calon bahagian itu malam tadi.

PETALING JAYA: Sah! Sebagaimana diramalkan sebelum ini bekas Setiausaha Politik Datuk Seri Anwar Ibrahim, Dr. Mansor Othman akan diturunkan sebagai calon bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti mewakili Pakatan Rakyat.

Mansor merupakan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Negeri Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pulau Pinang.

Ia diumumkan oleh Anwar, Penasihat PKR di Yayasan, Aman, Penanti dalam bahagian Permatang Pauh kira-kira 10 malam tadi.

Anwar berkata, lewat petang semalam beliau telah mengadakan pertemuan Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat yang turut dihadiri Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Lim Kit Siang.

"Mereka telah dimaklumkan mengenai cadangan calon Keadilan dan memberi perakuan untuk sama-sama membantu kempen PRK DUN Penanti kelak," kata dalam blog beliau.

Mansor, 56, merupakan bekas pensyarah Universiti Sains Malaysia (USM).

Beliau merupakan antara pesaing utama untuk menjadi calon PKR pada pilihan raya kecil berkenaan.

Difahamkan, Mansor menjadi pilihan utama memandangkan beliau tidak dicalonkan mewakili PKR sebagai senator oleh Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang semalam.

Mansor pernah bertanding di peringkat DUN ketika pilihan raya umum Mac 2008.

Pilihan raya kecil Penanti adalah pilihan raya kecil keenam yang diadakan selepas pilihan raya umum pada 8 Mac tahun lepas.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 23 Mei sebagai hari penamaan calon dan 31 Mei sebagai tarikh mengundi bagi pilihan raya kecil Penanti.

Kerusi Penanti kosong apabila Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang I Mohammad Fairus Khairuddin melepaskan jawatannya.

No comments:

Post a Comment