Tuesday, August 5, 2014
‘TAN SRI KHALID CONTOHILAH KHALID AL WALID’
BUDI SELANGOR
GABUNGAN NGO-NGO BUDAYA & ETNIK SELANGOR)
KENYATAAN MEDIA
01 Ogos 2014 / 5 Syawal 1435
‘TAN SRI KHALID CONTOHILAH KHALID AL WALID’
BUDI SELANGOR Gabungan NGO-NGO Budaya dan Etnik dalam Negeri Selangor merasa amat bimbang dan rimas berkaitan perkembangan politik terkini Negeri Selangor. BUDI sangat mengharapkan senario kucar kacir ini selesai segera dalam aman damai dengan semangat kesetiawanan serta harmoni. Badan NGO seperti BUDI tidak bersikap politik kepartian, apa yang kami harapkan bila mana wujud kekeruhan akan muncul kejernihan manakala kekusutan yang muncul akan ada keharmonian.
BUDI sebagai badan NGO berpegang kepada prinsip dimana setiap individu mesti akur dan patuh kepada amalan peraturan Tataetika serta Tatakelola badan pertubuhan, dimana setiap NGO sepertimana parti politik mempunyai Jawatankuasa, keputusan Jawatankuasa mesti dipatuhi oleh setiap ahli. Maka bagi seorang ahli yang tidak menghormati keputusan Ahlijawatankuasa adalah seorang yang tidak punya disiplin serta tanggungjawab.
‘Khalid al Walid, yang terkenal sebagai ‘pedang islam' dilucut jawatan sebanyak dua kali oleh Khalifah Umar al-Khattab r.a, iaitu pada tahun 13 Hijrah sebagai panglima perang sejurus selepas Syaidina Umar r.a dilantik sebagai khalifah dan sekali lagi pada 17 Hijrah sebagai gabenor di Syria. Namun kedua-dua peristiwa ini tidak mengubah kehormatan Khalid terhadap Khalifah Umar r.a.
Demikian hormat dan keyakinan Khalid terhadap Umar r.a walau dalam keadaan beliau dilucutkan jawatan, amat difahaminya tindakan Umar r.a adalah untuk mengelak fitnah, bukan mencipta fitnah.’
Kisah panglima perang Islam handal yang telah mengepalai beberapa peperangan yang berakhir dengan kemenangan iaitu Khalid al Walid, namum jawatan Khalid al Walid telah dilucutkan oleh Khalifah Umar al Khattab, apa yang menariknya Khalid al Walid dengan penuh tanggungjawab dan hormat kepada ketuanya tidak mempertikaikan keputusan ketuanya serta tidak sedikitpun mengungkit jasanya serta tidak mempersoalkan apakah kesalahannya. Kehebatan jiwa Khalid al Walid ini sangat kami harapkan ada dalam jiwa dan diri Tan Sri Dato’ Seri Abul Khalid bin Ibrahim.
BUDI menyanjung tinggi serta menghormati ketekunan serta integriti yang ditunjukan oleh Tan Sri Khalid, namun begitu keputusan organisasi serta matlamat organisasi jauh mengatasi matlamat individu. BUDI menuntut agar Tan Sri Dato’ Seri Abdul Khalid bin Ibrahim (TSKI) dengan rela hati mengundur diri dan melepaskan jawatan Menteri Besar Selangor. BUDI membuat gesaan ini adalah selaras dengan keputusan yang telah dibuat oleh Parti iaitu Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) yang mana Tan Sri Khalid menjadi anggotanya , serta keputusan Pakatan Parti yang menjadi gabungan bagi tertubuhnya kerajaan campuran di Negeri Selangor ini iaitu Pakatan Rakyat (PR).
Dalam mesyuarat yang telah dilaksanakan oleh Majlis Pimpinan Pusat (MPP) KEADILAN dan Majlis Presiden Pakatan Rakyat (PR) telah sebulat suara bersetuju menukar Tan Sri Khalid dengan Datuk Seri Dr Wan Azizah binti Dato’ Wan Ismail. Maka berdasarkan keputusan ini BUDI mengesa agar Tan Sri Khalid akur dengan keputusan yang telah dibuat oleh KEADILAN dan Pakatan Rakyat.
BUDI bersama ahli-ahlinya antara Badan NGO yang aktif dalam memastikan sokongan rakyat kepada pembentukan Pakatan Rakyat sejak 1999 hingga 2008 serta bagi memastikan kemenangan Pakatan Rakyat di Selangor pada 2013. Badan-Badan NGO juga sangat mengharapkan sumbangan NGO-NGO yang menyokong usaha memartabatkan rakyat di hargai dan diberikan perhatian.
BUDI cukup yakin jiwa besar yang ditunjukan oleh Tan Sri Khalid akan mendapat sanjungan dan penghormatan daripada rakyat. Sudah pastinya Pakatan Rakyat Selangor akan memberikan kedudukan serta tanggungjawab yang bersesuainya dengan pengalaman yang ada pada beliau. Pastinya juga keputusan untuk melucutkan jawatan Menteri Besar adalah kerana satu agenda yang lebih besar yang telah difikirkan oleh pimpinan Pakatan Rakyat.
HAJI JAMALI BIN SALAMON
PENGERUSI
BUDI SELANGOR merangkap Setiausaha Agung Ikatan Jawa Sejiwa Selangor (iJawa)
Bersama Gabungan NGO-NGO BUDI Negeri Selangor
1. Ikatan Jawa Sejiwa Selangor (iJawa)
2. Yayasan Budaya Seni Nusantara
3. Kelab Seni Budaya Melayu Selangor
4. Kelab Cetusan Rasa Selangor & Kuala Lumpur
5. Kumpulan Pendokong Seni Budaya Selangor
6. Ikatan Sejahtera Jati Selangor
7. Kelab Anak Muda Bandar Petaling
Layari http://pkrtgkarang.blogspot.com/
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment