Tuesday, July 31, 2012
Tidak banyak masa yang tinggal untuk Perdana Menteri Najib Razak
Tidak banyak masa yang tinggal untuk Perdana Menteri Najib Razak.
Ramai yang berkata, seandainya pilihan raya umum ke-13 tidak diadakan pada September tahun ini, maka ia kemungkinan besar akan jatuh pada awal tahun depan.
Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU) telah membuat satu analisa berdasarkan tarikh pembubaran parlimen, hari pencalonan dan pengundian untuk 12 PRU dari tahun 1959 hingga 2008, sejak kemerdekaan. Analisa ini mendapati, daripada 12 kali pembubaran parlimen, enam kali berlaku pada awal tahun, iaitu Februari, Mac atau April; empat kali pada pertengahan tahun, iaitu Jun atau Julai, dan dua kali pada akhir tahun, iaitu Oktober atau November.
Beberapa bulan lalu ketika Najib mengumumkan pembentangan Belanjawan 2013 pada 28 September, ramai mula meramalkan tarikh PRU 13 berkisarkan tarikh ini. Padahal, tarikh pembentangan belanjawan telah ditetapkan sebelum bermulanya Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Parlimen ke-12. Ketika Abdullah Ahmad Badawi menyandang jawatan Menteri Kewangan, tarikh pembentangan belanjawan juga diawalkan dari Oktober (secara tradisional) kepada 29 Ogos, disebabkan bulan puasa dan faktor teknikal yang lain.Untuk meramalkan tarikh pembubaran parlimen dari sudut teknikal, selain mengambil kira tempoh dari hari penamaan calon hingga pengundian, iaitu tempoh kempen, kita juga perlu mengambil kira bilangan hari dari pembubaran parlimen hinggalah hari pencalonan.
Dalam tempoh ini, aktiviti rasmi yang paling mustahak adalah pengumuman pembubaran parlimen selepas PM menghadap DYMM Yang Dipertuan Agong, dan pengumuman tarikh hari pencalonan dan pengundian oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). Secara ringkas, ia diperlihatkan dalam tiga pola untuk 12 PRU yang telah diadakan.Yang pertama, dari PRU 1959 hingga 1969. Dalam tiga PRU yang diadakan ini, dari hari pembubaran parlimen sehingga pencalonan, purata tempohnya adalah 19 hari. Tempoh kempen adalah sama, iaitu 35 hari. Oleh itu, jumlahnya adalah 54 hari. Yang kedua, dari PRU 1974 hingga 1995.
Dalam enam PRU yang diadakan, dari hari pembubaran parlimen sehingga hari pencalonan, puratanya adalah 8 hari, dengan tempoh kempen secara puratanya 13 hari. Oleh itu, jumlahnya adalah 21 hari. Ketiga, dari PRU 1999 hingga 2008. Dalam tiga PRU yang diadakan, dari hari pembubaran parlimen sehingga hari pencalonan, puratanya adalah 10 hari. Tempoh kempen hampir sama, dengan purata 10 hari. Oleh itu, jumlahnya adalah 20 hari.Darurat diisytiharkan selepas tragedi 13 Mei 1969, dan parlimen kembali beroperasi hanya pada tahun 1971. Namun, tempoh kempen sebanyak 35 hari sebelum tragedi 13 Mei telah dikurangkan secara mendadak kepada 16 hari dalam PRU 1974, atau secara puratanya 13 hari untuk enam PRU selanjutnya. Bukan itu sahaja, mungkin apa yang diabaikan, tempoh antara pembubaran parlimen dan pencalonan juga berkurang dari purata 19 hari kepada 8 hari.Dengan kata lain, dari pembubaran parlimen hingga hari pengundian, tempohnya telah berkurang dari 54 hari kepada 21 hari, iaitu dikurangkan 33 hari - maknanya satu bulan!Hari ini, apabila kami menuntut tempoh kempen yang lebih panjang, dan tidak membincangkan tempoh dari pembubaran parlimen hingga hari pencalonan - maka regim Najib dan SPR yang licik dalam permainan politiknya, boleh memanjangkan tempoh kempen kepada 14 hari, pada masa yang sama, mengurangkan tempoh dari hari pembubaran parlimen ke hari pencalonan kepada 8 hari.
Maka, tempoh dari pembubaran parlimen ke pengundian hanya sejumlah 22 hari, sekadar dua hari lebih daripada 20 hari dalam tiga PRU yang terdekat.Atau, mereka memanjangkan tempoh kempen kepada 17 hari (tempoh kempen yang terpanjang selepas tragedi 13 Mei 1969, iaitu PRU tahun 1978), dan kemudian memendekkan tempoh dari tarikh pembubaran parlimen hingga hari pencalonan kepada 5 hari (tempoh terpendek dari hari pembubaran parlimen ke pencalonan selepas tragedi 13 Mei 1969, iaitu PRU 1986), jadi tempoh antara pembubaran parlimen hingga hari pengundian tetap sama, iaitu 22 hari!Jikalau PRU jatuh pada September - kita andaikan 16 September adalah hari pengundian (hanya ramalan), dan andaikan 22 hari antara pembubaran parlimen hingga hari pengundian, maka parlimen perlu dibubarkan paling lewat pada 25 Ogos, iaitu beberapa hari selepas Hari Raya Puasa.Jadi, tindakan regim Najib menjadikan slogan kempen Barisan Nasional "1Malaysia Janji Ditepati" sebagai tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia jelas telah hijack sambutan hari kemerdekaan. Najib cuba wujudkan suasana feel good dengan gelombang sambutan kemerdekaan. Ia bagai bayang dalam air, bagai mimpi dalam khayalan. Padahalnya, umpama program transformasi Najib, tidak memiliki sebarang makna yang konkrit.Jadi, seandainya parlimen tidak dibubarkan kelak, maka saya akan menulis lagi untuk mengulas mengapa transformasi kerajaan Najib juga bagai bayang dalam air, tidak membantu untuk kemajuan negara demokrasi.
*Ooi Heng ialah Pengarah badan pemikir Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU) dan kolumnis MerdekaReviewbahasa Melayu dan bahasa Cina. Diterjemah dan disunting dari teks asal yang disiarkan pada 25 Julai 2012.
Layari http://pkrtgkarang.blogspot.com/
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment