Monday, July 23, 2012
Ucapan DATO' MENTERI BESAR SELANGOR PERHIMPUNAN BULANAN SUK 23 Julai 2012 / 3 Ramadhan 1433
Ucapan
YAB TAN SRI DATO' SERI ABDUL KHALID BIN IBRAHIM
DATO' MENTERI BESAR SELANGOR
Pada
PERHIMPUNAN BULANAN SUK
ANJURAN LEMBAGA PERUMAHAN
DAN HARTANAH SELANGOR
Tarikh
23 JULAI 2012 (ISNIN)
3 RAMADAN 1433
Tempat
DEWAN JUBLI PERAK
BANGUNAN SSAAS SHAH ALAM
Masa
8.30 PAGI
Bismillahirrahmanirrahim,
Assalamualaikum Warahmatullah, Selamat Sejahtera dan Selamat Pagi.
>Yang Berhormat Dato’ Teng Chang Kim,
Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor;
>Yang Berhormat Dato’ Haji Mohammed Khusrin bin Haji Munawi,
Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor;
>Yang Berhormat Datin Paduka Zauyah Be binti Loth Khan,
Penasihat Undang-Undang Negeri Selangor;
>Yang Berhormat Dato’ Mohd. Arif bin Ab. Rahman,
Pegawai Kewangan Negeri Selangor;
>Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor;
>Yang Berbahagia Datin Paduka Alinah binti Ahmad,
Ketua Pengarah Eksekutif Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor;
>Yang Berusaha Ketua-Ketua Jabatan Peringkat Negeri, Daerah dan Persekutuan;
>Yang Berusaha Pegawai-Pegawai Kanan dan Warga Kerja Pelbagai Jabatan, serta Para Wartawan yang Budiman.
(1) Alhamdulillah, dengan izin dan perlindungan Allah Subhanahuwataala, pada pagi Syahru Ramadan ini kita dapat berkumpul di Auditorium Dewan Jubli Perak ini bagi menjayakan Perhimpunan Bulanan Jabatan Kerajaan Negeri Selangor, yang dihoskan oleh Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS). Saya ucapkan terima kasih kepada semua yang hadir.
(2) Di kesempatan ini saya merakamkan ucapan tahniah kepada LPHS kerana menyediakan buku Pelan Strategik LPHS 2012-2022 yang bakal dilancarkan sebentar lagi. Usaha LPHS menghasilkan buku pelan strategik ini, secara jelas menampilkan komitmen serta kesungguhan agensi ini melaksanakan peranannya sebagai penasihat kepada Kerajaan Negeri dalam bidang perumahan dan hartanah bagi memastikan pembangunan yang mampan serta lestari di negeri Selangor.
Dato’-Dato’, Datin Paduka-Datin Paduka, Ahli-Ahli Yang Berhormat, Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang Dikasihi Allah;
(3) Pada hakikatnya, segala pencapaian perkhidmatan organisasi merupakan sinergi atau penggemblengan antara semua pihak termasuk setiap lapisan kakitangan yang menunjukkan prestasi yang baik dan profesional. Saya berasa bangga kerana biasanya masa ke hujung tahun semasa, terdapat jabatan atau agensi kerajaan negeri mengadakan majlis penganugerahan hadiah perkhidmatan cemerlang kepada sejumlah kakitangan yang menunjukkan prestasi terbaik atau cemerlang pada tahun sebelumnya.
(4) Misalnya, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri ini mengadakan anugerah perkhidmatan cemerlang bagi tahun 2011, pada bulan lalu, dan pada awal Julai ini, Majlis Bandaraya Shah Alam juga mengadakan majlis yang serupa. Jika kita renungi, majlis seumpama tidak lain, adalah untuk menghargai tugas dan jasa bakti setiap pekerja di jabatan dan agensi. Ia bermakna, hanya pekerja yang terbukti menunjukkan hasil kerja yang menepati sasaran atau melebihi standard yang ditetapkan, yang dipilih untuk menerima penghargaan daripada organisasi.
(5) Namun begitu, dalam aspek lain, tujuan pemberian penghargaan ini, adalah juga untuk merangsang mana-mana pekerja yang kurang berprestasi baik atau memuaskan supaya lebih berusaha untuk melakukan tugas dan tanggungjawab dengan lebih baik atau memenuhi standard yang ditetapkan oleh organsisasi.
(6) Kerajaan Negeri wajar mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada semua penjawat awam yang menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat dengan penuh prihatin, adil dan saksama. Saya begitu teruja terhadap sikap profesional kalangan penjawat awam negeri Selangor yang sedia melaksanakan setiap dasar dan keputusan Kerajaan Negeri sekarang dengan cepat, tepat dan menyeluruh.
(7) Semua tindakan sedemikian adalah wajar dilakukan lantaran perkhidmatan awam perlu bersifat sistematik dan pragmatik dalam setiap tindakan serta mahir menilai kemahuan dan kehendak rakyat selaku pembayar cukai dan sebagai pelanggan. Kita maklum, penduduk negeri Selangor yang kini berjumlah sekitar 5.4 juta orang, yang pelbagai ragam dan peringkat, dan bahkan pelbagai fahaman politik, yang sudah tentu sentiasa mengharapkan perkhidmatan yang terbaik daripada kalangan penjawat awam.
(8) Oleh itu, semangat untuk sentiasa memberikan yang terbaik ini mesti disemai dan dipraktiskan oleh setiap kakitangan awam bagi membentuk satu pasukan yang mantap dengan satu wadah yang sama, iaitu berpaksikan falsafah untuk merakyatkan ekonomi, dan berorientasikan kebajikan sebagaimana dimanifestasikan dalam agenda “Merakyatkan Ekonomi Selangor”, yang dilancarkan pada 21 Jun 2008, iaitu genap 100 hari Pakatan Rakyat menerajui Kerajaan Negeri Selangor.
(9) Ia juga bermakna, ketua-ketua jabatan, para pegawai dan kakitangan kerajaan negeri Selangor supaya kerap turun padang menemui rakyat untuk lebih mendengar dan lebih memahami masalah rakyat, sebagaimana yang kita lakukan menerusi Program Khas Terima Kasih Rakyat ke seluruh daerah di Selangor. Rakyat pula, dari usia bayi ke usia emas, sewajarnya diberitahu tentang pelbagai program yang disediakan untuk mereka dan menikmati pelbagai projek kebajikan tersebut tanpa ada “sekatan” atau “ketirisan” di mana-mana peringkat pengagihannya.
Para Hadirin yang Dihormati;
(10) Saya bersyukur, kini program-program, skim dan insentif dalam agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor berjaya menambah sumber pendapatan rakyat terutama golongan petani, ibu tunggal dan pekerja ladang. Misalnya, kini rata-rata keluarga petani di Daerah Kuala Selangor dan Daerah Sabak Bernam mula menikmati peningkatan pendapatan di antara RM1500 dan RM2000 sebulan.
(11) Ribuan rakyat di desa dan di bandar yang miskin pula kini boleh menceburi bidang perniagaan atau usahawan kecil dan sederhana menerusi skim pinjaman tanpa faedah yang disediakan oleh Kerajaan sekarang, bagi menambah sumber pendapatan dan sekali gus meningkatkan kualiti hidup bersesuaian dengan status negeri ini yang diisytihar negeri maju pada tahun 2005. Bahkan penjawat awam beserta ahli keluarga turut dibantu sekiranya berhasrat untuk melanjutkan pelajaran.
(12) Oleh itu, diharapkan, dan saya yakin, rakyat Selangor pelbagai peringkat terutama golongan petani, nelayan, ibu tunggal dan warga emas dapat menyambut Hari Raya Aidilfitri sejak dua tiga tahun ini dengan lebih ceria dan bergaya!
Dif-Dif dan Para Hadirin yang Berbahagia;
(13) Sekarang kita kembali memperkatakan ehwal sektor perumahan yang menjadi tugas utama Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS). Sesungguhnya, tugas menyelaras projek-projek perumahan ini memang merupakan antara agenda utama Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat yang mendapati sebanyak 140 projek perumahan terbengkalai semasa Umno-BN menerajui Kerajaan ini dalam tempoh begitu lama, lebih 50 tahun.
(14) Kerajaan Negeri sekarang lantas menunjukkan keprihatinan dalam usaha membantu para pembeli projek perumahan terbengkalai. Misalnya sejak dua tahun ini, pihak Kerajaan Negeri seperti Permodalan Negeri Selangor, Perbadanan Negeri Selangor dan Pemerbadanan Menteri Besar (MBi), berjaya menyelesaikan beberapa projek perumahan terbengkalai. Projek yang terbesar daripada segi bilangan rumah adalah Projek di Bukit Botak melibatkan 1,422 unit rumah berkembar, dan projek perumahan terbengkalai di Taman Alam Perdana di Kuala Selangor, melibatkan sebanyak 1116 unit.
(15) Kerajaan negeri juga berusaha untuk mengatasi masalah setinggan, misalnya menawarkan pembinaan rumah-rumah kos rendah bagi tujuan penempatan semula setinggan. Misalnya, projek Pangsapuri Berembang Indah Ampang, yang merupakan satu lagi komitmen dan inisiatif Kerajaan Negeri dengan kerjasama semua pihak yang terlibat, yang prihatin terhadap masalah yang dialami oleh penduduk di sini.
(16) Saya selaku Dato’ Menteri Besar negeri ini, sewajarnya berasa gembira terhadap usaha dan kesungguhan LPHS melahirkan pelan strategik yang dapat menggariskan hala tuju organisasi dalam tempoh 10 tahun mendatang. Pihak Kerajaan Negeri, melalui Jawatankuasa Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan yang kini diterajui oleh arkitek berpengalaman, Yang Berhormat Tuan Iskandar Abdul Samad, termasuk Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) dan pihak lain, sedia menggembleng tugas yang diamanahkan untuk kepuasaan para pembeli rumah pelbagai kategori.
(17) Saya percaya buku yang dihasilkan LPHS ini adalah bukti kesungguhannya dalam usaha mempertingkat kualiti sistem penyampaian dan memperkasa khidmatnya kepada pelanggan. Kita maklum, perumahan merupakan agenda utama bagi setiap negara di dunia. Ia demikian kerana perumahan bukan sahaja merupakan struktur fizikal yang menyediakan perlindungan kepada penghuninya tetapi juga berkait rapat dengan sosioekonomi, politik, kejiranan dan persekitaran.
(18) Selain itu, sektor perumahan merupakan pemangkin terhadap pembentukan sesebuah institusi keluarga. Jika baik, sejahtera dan bahagia sesebuah keluarga maka berkemungkinan baik, sejahtera dan bahagialah generasi yang dilahirkan dalam sesebuah masyarakat. Sekiranya wujud kepincangan dalam institusi keluarga maka kesan sosial dan ekonominya bakal turut dirasai oleh generasi berikutnya.
Para Hadirin yang Budiman;
(19) Kerajaan Negeri sekarang juga berusaha untuk menyediakan kediaman yang mampu dibeli oleh setiap keluarga, khususnya mereka yang berpendapatan rendah. Komitmen Kerajaan Negeri ini boleh dilihat melalui kajian keperluan perumahan yang dilakukan bagi membantu golongan yang berpendapatan sederhana yang terdiri daripada 40 peratus daripada penduduk negeri Selangor, iaitu mereka yang mempunyai pendapatan isi rumah di antara RM2,500.00 dan RM5,000.00 sebulan.
(20) Hasil kajian tersebut melahirkan konsep asas perumahan mampu milik yang menetapkan kadar harga jualan di antara RM85,000.00 dan RM120,000.00 seunit dengan spesifikasi keluasan di antara 800 kaki persegi hingga 1,000 kaki persegi. Kediaman mampu milik ini dilengkapi kemudahan asas dan awam seperti perpustakaan, tadika, kawasan riadah, dan surau atau dewan komuniti. Bangunan hijau atau “Green Building” juga merupakan antara ciri reka bentuk terkini yang ditekankan dalam pembinaan rumah mampu milik.
(21) Di samping itu, saya perlu tegaskan di sini bahawa agensi-agensi kerajaan yang terbabit melaksanakan projek-projek perumahan perlu memastikan agar usaha ini dilaksanakan dengan lancar dan siap mengikut jadual serta berkualiti. Jika berlaku kelewatan ia bermakna melambatkan manfaat daripada projek-projek tersebut dinikmati oleh golongan sasar, iaitu rakyat. Pemaju yang gagal menyiapkan projek menurut perjanjian, boleh dikenakan tindakan sewajarnya.
Para Hadirin yang Mulia;
(22) Dalam hal untuk memperbaik sistem pemilikan tanah, Kerajaan Negeri sekarang melancarkan skim pemberian geran bagi rakyat yang menduduki tanah-tanah TOL ( temporary occupancy license) lebih 10 tahun diusahakan agar diberi hak milik kekal dengan bersyarat. Proses pemberian geran sah ini dilakukan secara berkelompok kerana Kerajaan Umno-BN dahulu memberinya secara terpilih, iaitu daripada 200 keluarga di satu-satu kampung itu, tidak sampai 10 peratus mendapat geran. Itupun mengikut kepentingan politik Umno-BN.
(23) Dasar tanah Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat adalah untuk menyelesaikan keseluruhan pemberian hak milikan ini tanpa mengambil kira fahaman politik mereka kerana sebagai rakyat Selangor mereka berhak mendapat geran tersebut. Sejak tahun 2009, lebih 10 ribu penduduk di Selangor sudah menerima notis borang 5A atau surat kelulusan pemberimilikan tanah, menerusi program kediaman persendirian. Misalnya, pada minggu lepas, sebanyak 177 borang 5A disampaikan kepada pemohon-pemohon di Taman Daya Selayang.
(24) Pada keseluruhannya, di kawasan petempatan ini seperti di Sabak Bernam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Kuala Langat dan Hulu Langat, juga dilakukan usaha menambah baik dan menaik taraf infrastruktur dan kemudahan awam bagi keselesaan penduduk. Saya cukup bangga kerana Pejabat Daerah bekerjasama erat bagi memenuhi setiap permohonan untuk memiliki tanah sendiri yang diduduki lebih 10 tahun tanpa taraf milikan yang sah.
(25) Saya berharap pelaksanaan Pelan Strategi LPHS ini mendapat kerjasama daripada warga kerja dan pihak-pihak lain yang berkepentingan dengan LPHS. Kita maklum, sesuatu agenda ataupun matlamat yang sudah dirangka itu tidak dapat direalisasikan tanpa kerjasama dan sokongan padu daripada pihak-pihak lain. Di pihak Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat Selangor, dalam usaha untuk membantu rakyat ini, kita sentiasa bersikap “kalau nak seribu daya, kalau tak nak seribu dalih.”
Para Hadirin sekalian;
(26) Isu terkini yang juga mahu diselesaikan oleh Kerajaan Negeri dengan kerjasama semua pihak terutama para penjawat awam, adalah isu pengambilalihan operasi Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (Syabas). Saya percaya sebilangan hadirin sudah mengikuti isu tentang cadangan dan rundingan termasuk tawaran wang bagi pengambilalihan syarikat-syarikat konsesi ini sejak tahun 2009 lagi. Namun, oleh sebab tiga daripada empat syarikat konsesi ini masih berdolak dalik, di samping Kerajaan Negeri tidak mendapat ”lampu hijau” daripada Kementerian berkenaan, maka sehingga hari ini misi Kerajaan Negeri menemui jalan buntu.
(27) Pihak Syabas pula, yang mungkin tindak-tanduknya direstui oleh pihak di luar Selangor, semakin menunjukkan belang dengan mengeluarkan amaran demi amaran tentang perlunya dicatu pengedaran air terawat. Dengan yang demikian, berdasarkan bidang kuasa Kerajaan Negeri yang tercatat dalam perjanjian tahun 2004, maka sekarang kita terpaksa ”step in” untuk menguruskan pengedaran dan perawatan air yang lebih efisien berbanding yang dilakukan oleh Syabas.
(28) Sekiranya, kerajaan pusat terus melengahkan keadaan, maka tiada pilihan lain Kerajaan Negeri mahu membawa kes ini ke mahkamah kerana kita ada kuasa ke atas syarikat konsesi ini sebagaimana dimaterai dalam perjanjian 2004 itu. Tetapi pada masa yang sama, kita mahu segera mengambil alih pengurusan air ini daripada Syabas, tambahan pula kita ada sejumlah pakar dalam bidang pengurusan dan perawatan air yang sedia berkhidmat untuk rakyat Selangor!
Dato’-Dato’, Datin Paduka-Datin Paduka, Ahli-Ahli Yang Berhormat, Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang Dikasihi Allah;
(29) Bersempena dengan bulan kemerdekaan yang bakal menjengah tidak lama lagi, marilah kita bersama-sama menyuntik semangat patriotik dalam diri dengan menjayakan Kempen Kibar Jalur Gemilang, yang bakal dilancarkan sebentar lagi. Semoga suntikan semangat patriotik ini secara tidak langsung dapat mengeratkan lagi silaturahim, persefahaman, kemesraan dan kerjasama sesama kita. Jalinan kesemua faktor ini adalah penting bagi menjamin perpaduan dan keharmonian kita di negeri Selangor khususnya, dan di Malaysia umumnya.
(30) Namun begitu, Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat Selangor berhak untuk bersikap berhati-hati dalam hal menyambut kemerdekaan yang dianjurkan oleh Kerajaan Pusat ini, kerana biasanya terselit “maksud tersembunyi” untuk meraih kepentingan politik di pihak pemimpin atasan Kerajaan Pusat. Dilaporkan pada malam 17 Julai lalu, Datuk Seri Najib Razak berkunjung ke Little India; Tan Sri Muhyiddin Yassin ke Kampung Baru dan Datuk Seri Liow Tiong Lai ke Jalan Petaling, serentak pada jam 8.00 malam, berucap mempromosikan tema, ’55 Tahun Merdeka, Janji Ditepati’.
(31) Kita semua wajar menyoal; apakah makna merdeka sekiranya kaum India kekal dinafi kad pengenalan sejak puluhan tahun? Janji apakah yang ditepati jika Kampung Baru dinodai pimpinan Umno? Kemerdekaan apakah maknanya bagi kaum Cina apabila Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina dipermainkan oleh pentadbiran Najib? Atau, makna kemerdekaan apakah bagi kerajaan negeri Selangor apabila kerajaan Pusat campur tangan dalam tadbir urus kerajaan Selangor ini dengan melantik JKKKP di merata kampung?
(32) Seperkara lagi, betapa tidak adil dan tidak profesionalnya kalangan pemimpin Kerajaan Pusat terhadap kalangan pemimpin pembangkang kerana sejak 54 tahun ini mereka tidak pernah diundang untuk sama-sama menyertai Sambutan Ulang Tahun Kemerdekaan yang dihadiri oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong. Adakah pemimpin Umno-BN menganggap kalangan pemimpin pembangkang, terutama yang menerajui negeri-negeri Kelantan, Pulau Pinang, Selangor dan Kedah, bukan pemimpin di Malaysia, padahal kami semua dipilih oleh majoriti rakyat di negeri masing-masing.
Dato’-Dato’, Datin Paduka-Datin Paduka, Ahli-Ahli Yang Berhormat, Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang Berbahagia;
(33) Sempena bulan yang mulia ini, saya ucapkan “Selamat berpuasa kepada seluruh umat Islam.” Khususnya, saya juga ucapkan berbanyak-banyak terima kasih kepada semua Ahli Yang Berhormat dan seluruh warga kerja perkhidmatan awam negeri Selangor yang bekerjasama dengan saya dan barisan pemimpin Kerajaan Negeri untuk memajukan dan menyejahterakan rakyat dan memakmurkan negeri Selangor Darul Ehsan.
(34) Sekianlah sahaja ucapan saya. Dengan lafaz Bismillahirrahmanirrahim, saya melancarkan buku Pelan Strategik Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor Tahun 2012-2022, dan saya juga merasmikan Kempen Kibar Jalur Gemilang sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-55 Kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu-Malaysia.
Wassalamualaikum warahmatullah wabarakatuh, dan Salam Perpaduan.
Layari http://pkrtgkarang.blogspot.com/
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment