Monday, July 23, 2012

Ucapan DATO' MENTERI BESAR SELANGOR MAJLIS JAMUAN RAKYAT sempena ROGRAM KHAS TERIMA KASIH RAKYAT

Ucapan YAB TAN SRI DATO' SERI ABDUL KHALID BIN IBRAHIM DATO' MENTERI BESAR SELANGOR Pada MAJLIS JAMUAN RAKYAT sempena ROGRAM KHAS TERIMA KASIH RAKYAT DAERAH KUALA SELANGOR Tarikh 13 JULAI 2012 (JUMAAT) 23 SYAABAN 1433 Tempat DEWAN ORANG RAMAI SUNGAI BULOH JERAM Masa 9.00 MALAM Terima kasih kepada Saudara Pengacara Majlis. Assalamualaikum Warahmatullah Hiwabarakatuh, Selamat Sejahtera, dan Selamat Malam. >Yang Berhormat Dato’ Teng Chang Khim, Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor; >Yang Berhormat Dato’ Haji Mohommed Khusrin bin Haji Munawi, Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor; >Yang Berhormat Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor; >Yang Berhormat Dr. Dzulkefly Bin Ahmad Ahli Parlimen Kuala Selangor; >Yang Berhormat Ir. Muthiah A/L Maria Pillay Ahli Dewan Negeri Bukit Malawati; >Yang Dihormatkan Penggawa Permatang Paduka Maha Bijaya Dato' Mohamad Yaacob Bin Dato' Ismail Orang Besar Daerah Kuala Selangor; >Yang Berbahagia Pegawai Daerah Kuala selangor Dato’ Haji Mohd Misri bin Haji Idris; >Yang Berbahagia Puan Noraini binti Roslan, Yang Dipertua Majlis Daerah Kuala Selangor; >Yang Berusaha Ketua-Ketua Jabatan Peringkat Negeri dan Daerah; >Yang Berbahagia Ahli-Ahli Majlis, Dato’-Dato’, Datin Paduka-Datin Paduka, Datin-Datin; >Yang Berusaha Pegawai Penyelaras DUN Daerah Kuala Selangor, Ketua-Ketua Kampung, Ahli JKKK serta seluruh warga kerja dan penduduk setempat yang hadir dalam Perhimpunan pagi ini. (1) Syukur Alhamdulillah, kerana pada malam yang mulia ini, kita diizinkan lagi oleh Allah Subhanahuwataala untuk bertemu mesra dalam Majlis Jamuan Rakyat sempena Program Khas Terima Kasih Rakyat yang dimulakan pada siang hari tadi. Saya seterusnya mengucapkan Salam Mesra dan Selamat menjamu selera kepada semua yang hadir. (2) Program sebegini haruslah diperbanyak bagi mengerat hubungan antara kita dan mempermudah komunikasi agar sentiasa memahami antara satu sama lain. Pada malam ini, jika kita lihat betapa pentingnya perpaduan yang dibina antara kaum di negeri ini sejak sekian lama. Daripada 5.4 juta orang penduduk Selangor, kaum Melayu sekitar 50 peratus, kaum Cina sekitar 28 peratus, kaum India sekitar 16 peratus manakala kaum lain sekitar 6 peratus. (3) Perangkaan tahun 2010 menunjukkan bahawa penduduk Daerah Kuala Selangor berjumlah sekitar 210 ribu orang. Mukim Tanjong Karang berpenduduk paling ramai, iaitu kira-kira 50 ribu orang, kedua, Jeram, 47 ribu, dan ketiga, Besatari Jaya, kira-kira 28 ribu orang manakala Hulu Tinggi paling sedikit penduduk, iaitu kira-kira 700 orang. Ahli-Ahli Yang Berhormat, Dato’-Dato’, Datin Paduka-Datin Paduka, Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang Dihormati; (4) Perkara yang perlu diketahui oleh rakyat Daerah Kuala Selangor ini khususnya, adalah bahawa sejak empat tahun lebih ini Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat berusaha “bikin apa yang kita cakap” kepada rakyat, bukan sekadar “omong kosong atau janji kosong”. Tidak sesekali kami mengeluarkan kata-kata ugutan kepada rakyat supaya terus setia kepada parti dan pemimpin dalam usaha mengekalkan kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor! (5) Oleh itu, janganlah kita sesama rakyat negeri ini cuba memainkan isu perkauman, misalnya mempermain-mainkan isu agama atau menghina kepercayaan kaum lain kerana perbuatan sedemikian boleh memecahbelahkan perpaduan ini. Padahal Allah sudahpun mengingatkan kita sejak 1400 tahun lalu melalui firman-Nya dalam surah al-An’am, ayat 108, yang bermaksud; “Dan janganlah kamu cerca benda-benda yang mereka sembah selain Allah, kerana mereka kelak mencerca Allah secara melampau batas akibat mereka tiada pengetahuan...” (6) Sebenarnya, negeri kita ini boleh terus menjadi kuat dan rakyat sentiasa selamat apabila kita semua bersatu dan saling hormat sesama kita termasuk kepada raja negeri ini. Saya perlu tegaskan di sini, bahawa dasar Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat di Selangor sejak empat tahun lebih ini adalah untuk membantu rakyat dan menyelesaikan pelbagai masalah mereka tanpa memilih kaum tertentu atau agama tertentu, ataupun mengutamakan ahli-ahli atau para penyokong parti politik tertentu. (7) Oleh itu, saya bagi pihak Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat Selangor memang wajar dan patut mengucapkan terima kasih kepada rakyat Selangor khususnya penduduk Daerah Kuala Selangor kerana memberi kemenangan kepada calon-calon daripada PKR, DAP dan PAS hingga kita berjaya menubuhkan Kerajaan Negeri menjelang fajar subuh 9 Mac tahun 2008. Maka, pada hari ini, saya dan barisan pemimpin mendapat peluang dan ruang yang penting untuk memberitahu rakyat di Daerah Kuala Selangor ini tentang semua bentuk bantuan yang disediakan kerajaan bagi kesejahteraan rakyat terutama golongan berpendapatan kurang RM2000 sebulan. Para Hadirin yang Berbahagia; (8) Di sebelah siang tadi, antara atur cara dalam Program Khas Terima Kasih Rakyat, saya dan barisan pemimpin Kerajaan Negeri Selangor duduk semeja bersama rakyat untuk mendengar luahan, masalah, hasrat dan impian rakyat Daerah Kuala Selangor ini terhadap Kerajaan Negeri sekarang. Banyak maklum balas yang kita terima dan kita bersedia untuk melakukan tindakan yang cepat dan tepat bagi manfaat rakyat Selangor khususnya rakyat di Daerah Kuala Selangor ini. (9) Pada waktu tengah hari tadi, saya dan penduduk kampung Kampung Sungai Terap bersolat Jumaat di Masjid Al-Hidayah. Selepas solat, saya makan tengah bersama jemaah dengan juadah yang disediakan oleh orang kampung secara “rewang” yang juga disebut kenduri rakyat. Selepas makan, kami mengadakan sesi penerangan ‘Geran Selangorku’ supaya rakyat mendapat maklumat lengkap mengenai tumpuan Kerajaan Negeri terhadap rancangan dan tindakan untuk membantu rakyat menerusi program-program dalam agenda merakyatkan ekonomi negeri Selangor. (10) Sebagai aktiviti santai, kami menggunakan Gelanggang Futsal di Dewan Orang Ramai, Kampung Sungai Terap, untuk perlawanan futsal antara belia di kampung Sungai Terap dan sekitarnya. Saya juga berkesempatan untuk menyertai pasukan futsal MB Selangor menentang pasukan futsal Pegawai Daerah Kuala Selangor. Para Hadirin Sekalian; (11) Selama empat tahun lebih mentadbir urus negeri Selangor, dengan tema “Selangor Negeri Idaman, Maju, Sejahtera dan Berkebajikan,” Kerajaan Pakatan Rakyat sudah melaksanakan hampir semua janji dalam Manifesto Pilihan Raya Umum ke-12 pada Mac 2008. Dalam tempoh itu, barisan pemimpin Kerajaan Negeri dan kakitangan kerajaan di peringkat daerah, mukim, kampung dan bagan, serta penglibatan ketua-ketua cabang, para penggerak belia, Ahli-Ahli Majlis, JKKK dan ahli-ahli parti komponen Pakatan Rakyat, terbukti dapat memperlihatkan persefahaman dan kerjasama bagi memantapkan dasar dan gaya tadbir urus Kerajaan yang telus, adil, bersih, berhemat dan berhemah. (12) Perlu ditegaskan di sini, bahawa dasar Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat di Selangor sejak empat tahun lebih ini adalah untuk membantu rakyat dan menyelesaikan pelbagai masalah mereka tanpa mengutamakan kaum tertentu atau agama tertentu, ataupun mengutamakan ahli-ahli atau para penyokong parti politik tertentu. Di sinilah, perbezaan antara Kerajaan Negeri sekarang daripada Kerajaan Negeri terdahulu! (13) Dalam sesi “Penerangan tentang Geran Selangorku” pada sebelah petang tadi, kami sudah jelaskan kepada rakyat tentang peruntukan Kerajaan Negeri berjumlah RM300 juta untuk diberikan kepada rakyat menerusi beberapa program lagi bertujuan menaik taraf pembangunan sosio-ekonomi rakyat Selangor, termasuk penduduk Daerah Kuala Selangor. (14) Antara bantuan yang menggunakan geran Selangorku adalah Pengenalan Gaji Minimum, RM10 juta; Membaik Pulih dan Menambah Baik Infrastuktur, RM 50 juta; Program Usahawan Muda, RM 30 juta; Pemerkasaan Wanita, RM30 juta; Program Sokongan Pendidikan, RM30 juta; Pembinaan Infrastruktur Sukan, RM30 juta; dan program lain yang melibatkan geran berjumlah sehingga RM22 juta bagi manfaat penduduk Luar Bandar, Peningkatan Kemahiran Penjawat Awam, Kebudayaan dan Peningkatan Kualiti Hidup Rakyat seluruhnya. Para Hadirin yang Berbahagia; (15) Perkara yang perlu juga diketahui oleh rakyat Selangor adalah bahawa Kerajaan Selangor sekarang berjaya mengutip cukai dengan cekap. Seterusnya, kita gunakan cukai tersebut untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat termasuk meningkatkan tahap ekonomi negeri agar pembangunan dapat dilakukan. Bahkan, dalam tempoh empat tahun lebih ini Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor menerima jumlah pelaburan melebihi RM36 bilion dan kita berjaya mewujudkan sebanyak 95,013 peluang pekerjaan. (16) Oleh itu adalah wajar Kerajaan Negeri Selangor sekarang menekankan perkara-perkara kebajikan dan kesejahteraan rakyat pelbagai kaum dan melakukan perubahan kerana kita mengutamakan kepentingan rakyat dan meminggirkan kepentingan peribadi dalam kalangan pemimpin. Tidak terlintas dalam fikiran kami untuk memberi kekayaan kepada kroni pemimpin Pakatan Rakyat atau ketua-ketua jabatan dan penjawat awam lain sebagaimana “lazim” berlaku semasa Kerajaan Umno-BN berkuasa. (17) Berhubung dengan pemberian geran pemilikan tanah, Kerajaan Negeri sedang berusaha untuk meluluskan 100 ribu permohonan geran tanah sebelum akhir tahun ini. Dalam tempoh empat tahun lebih ini, kira-kira 50 ribu pemohon yang layak sudah diberikan notis borang 5A atau surat kelulusan pemberimilikan tanah, menerusi program kediaman persendirian. Dalam bidang pendidikan, setiap tahun Kerajaan Negeri memberikan bantuan RM6 juta kepada sekolah agama rakyat, RM6 kepada sekolah Cina dan RM4 juta kepada sekolah Tamil. Bahkan gaji bulanan guru-guru Kafa dinaikkan dari RM400 ke RM1300. (18) Insya-Allah, jika Kerajaan Pakatan Rakyat kekal menerajui Negeri Selangor selepas Pilihan Raya Ke-13 nanti, kita berikan pendidikan percuma dari tahap rendah hingga ke institusi pengajian tinggi. Malahan, sekarangpun pelajar-pelajar di INPENS, Unisel atau Kuis, yang memperoleh GPA 3.7 ke atas, skim pinjaman PTPTN itu kita tukar jadikan biasiswa. (19) Di samping itu, banyak program kebajikan lagi disediakan untuk rakyat. Antaranya, sekarang ini kemudahan perkhidmatan jalur lebar WiFi sedang rancak dibangunkan agar seluruh rakyat Selangor boleh melayari internet secara percuma pada akhir tahun 2012. Ahli-Ahli Yang Berhormat, Dato’-Dato’, Datin Paduka-Datin Paduka, Tuan-Tuan dan Puan-Puan yang Dihormati; (20) Kita maklum, mana-mana kerajaan, termasuk di peringkat pentadbiran kerajaan pusat di Putrajaya, kadang-kadang terpaksa menghadapi masalah yang menggangu kelancaran tadbir urus kerajaan dan pelaksanaan program-program pembangunan untuk rakyat ini. Di Selangor pun, kita hadapi beberapa masalah kecil, misalnya masalah kecurian pasir yang berterusan dan kutipan sampah yang belum lancar. Tetapi Kerajaan Pakatan Rakyat terus berusaha untuk mengatasi masalah seumpama. Yang pasti, Kerajaan Negeri tidak mengabaikan tanggungjawab membantu rakyat secara adil dan menyeluruh. (21) Oleh itu, menerusi Program Khas Terima Kasih Rakyat, saya dan ketua-ketua jabatan, para pegawai dan kakitangan kerajaan, termasuk Penghulu, Pengerusi dan Ahli JKKK, AJK Masjid dan AJK Surau, Penggerak Belia dan barisan pemimpin parti-parti komponen Pakatan Rakyat, mahu turun padang sekerap mungkin untuk menemui rakyat supaya lebih mendengar dan lebih memahami masalah rakyat. Rakyat pula, dari usia bayi hingga usia emas, berhak mengetahui tentang pelbagai program yang disediakan untuk mereka dan berhak menikmati bantuan dan pelbagai projek kebajikan tersebut tanpa ada “sekatan” atau “ketirisan” di mana-mana peringkat pengagihannya. (22) Kita semua perlu berasa bangga bahawa Selangor adalah negeri yang mempelopori pogram-program kebajikan melalui agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) dan ‘Hasil Negeri untuk Rakyat’, dan kemudiannya diteruskan dengan slogan ‘Selangorku’. Melalui slogan ini, kita mengajak seluruh rakyat Selangor supaya bersama-sama bertanggungjawab membangunkan negeri Selangor dan mempertahan usaha-usaha murni negeri melalui pentadbiran yang tidak rasuah, adil dan bertanggungjawab. (23) Saya berharap dan berdoa agar program yang dijalankan sejak pagi tadi ini dapat memberikan banyak manfaat kepada semua lapisan rakyat di Daerah Kuala Selangor ini khususnya. (24) Akhir kata, saya ucapkan terima kasih sekali lagi kepada rakyat Selangor khususnya penduduk di Daerah Kuala Selangor yang bekerja bersama saya dan barisan pemimpin negeri serta bertekad untuk mengekalkan keamanan dan meningkatkan taraf hidup di negeri Selangor Darul Ehsan. Semoga Allah terus melindungi dan memberkati segala usaha murni Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat di Selangor demi kemakmuran negeri dan kesejahteraan rakyat. Sekianlah sahaja ucapan saya. Terima kasih. Wassalamualaikum Warahmatullah Hiwabarakatuh dan Salam Perpaduan. Layari http://pkrtgkarang.blogspot.com/

No comments:

Post a Comment